Pages

Tuesday, October 11, 2011

Kristian Mesir dan polis bertempur




KENDERAAN perisai polis dan orang awam musnah dibakar oleh penganut Kristian Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan di Kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 10 Okt. - Penganut Kristian dan polis tentera Mesir bertempur di sini semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh.
Penganut Kristian yang membantah mengenai serangan ke atas sebuah gereja dilaporkan membakar kenderaan, kereta perisai dan membaling batu ke arah polis yang didakwa bertindak keras.
Kabinet hari ini mengadakan mesyuarat tergempar berikutan insiden itu dan berikrar bahawa keganasan itu tidak akan menjejaskan pilihan raya pertama Mesir selepas presiden Hosni Mubarak digulingkan.
Insiden ini berlaku menjelang pilihan raya Parlimen di negara ini yang dijadual diadakan pada 28 November ini dengan calon akan mula mendaftar pada Rabu ini.
Pertempuran itu meningkatkan lagi kekecewaan aktivis terhadap tentera yang disifatkan oleh kebanyakan rakyat mahu terus berkuasa di belakang tabir, walaupun selepas menyerahkan tampuk kepimpinan Mesir, sesuatu yang dinafikan oleh pihak tentera.
Kementerian Kesihatan berkata, angka kematian ialah 24 orang, manakala 213 lagi cedera, tetapi identiti mangsa tidak didedahkan.
Agensi berita MENA melaporkan, Perdana Menteri Essam Sharaf turut mengadakan lawatan ke tempat kejadian yang terletak berhampiran bangunan televisyen kerajaan.
Penganut Kristian mengadakan protes bagi membantah serangan ke atas sebuah gereja di wilayah Aswan minggu lalu yang didakwa mereka dilakukan oleh radikal Islam.
Mereka turut menuntut pemecatan gabenor wilayah itu kerana gagal melindungi bangunan tersebut, tetapi aktivis kedua-dua agama menyatakan keganasan yang berlaku semalam disebabkan tindakan keras pihak tentera. - REUTERS

No comments: