Pages

Saturday, September 17, 2011

Britain, Perancis didakwa cuba menjajah Libya




DAVID CAMEROn (kiri) dan Nicholas Sarkozy (kanan) melawat pesakit di Pusat Perubatan Tripoli di Tripli kelmarin.


NICOSIA - Lawatan ke Libya oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menandakan bermulanya penjajahan di Libya, sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, kata jurucakap Muammar Gaddafi, Musa Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin Barat berkenaan yang mengetuai perang ke atas Libya ekoran kedua-dua negara mereka menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang membantu menumbangkan Gaddafi, disambut sebagai wira semasa lawatan ke Tripoli dan Benghazi, timur Libya kelmarin.
Namun, Musa dalam satu wawancara telefon bersama stesen televisyen Syria, Arrai kelmarin mendakwa kedua-dua pemimpin itu membantu pemberontak Libya kerana mereka mempunyai niat tersembunyi.
"Lawatan Cameron dan Sarkozy itu menandakan proses untuk menjajah Libya telah bermula," kata Musa
"Mereka tiba segera untuk mengutip hasil kejatuhan Tripoli kepada pemberontak kerana mereka sebenarnya bimbang akan kehadiran Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain yang mahukan hasil minyak negara ini," jelasnya tanpa mendedahkan lokasi panggilan telefon itu dibuat.
Gaddafi, 69, dan orang-orang kanannya menyembunyikan diri sejak ibu kota Libya, Tripoli ditawan oleh para pemberontak yang disokong Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menjelang Hari Raya Aidilfitri lepas. Namun, bekas pemimpin Libya itu dipercayai masih berada di tanah airnya, walaupun keluarganya telah melarikan diri ke Algeria dan Niger.
"Mereka bergegas ke Tripoli untuk memeterai perjanjian rahsia dengan golongan pembelot dan tali barut (NTC) bagi mengawal pelaburan minyak dengan menggunakan alasan membangunkan semula Libya," ujar Musa.
"Mereka bercakap tentang kos ratusan bilion dolar untuk membangunkan semula Libya. Sedangkan mereka sebenarnya yang memusnahkan Libya dan menggunakan wang rakyat untuk membina semula negara ini," ujar Musa.
Cameron ketika berada di Tripoli menyatakan, Britain akan membebaskan aset Libya sebanyak AS$950 juta (RM2.93 bilion) yang disimpan di negara Eropah itu untuk membantu pemerintah baharu Libya iaitu NTC yang mewakili pemberontak. - AFP

No comments: