SETIU – Inai masih merah di jari, namun takdir telah memisahkan sepasang suami isteri yang baru sebulan mendirikan rumah tangga, apabila si suami maut dalam kemalangan di Kampung Kolam, Merang, di sini, jam 7.50 malam kelmarin.
Mangsa, seorang buruh, Mohd Sapira Mohd Salleh, 30, ketika kejadian, mahu pulang ke rumahnya di Kampung Padang Pisang, Tepoh, Kuala Terengganu, namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan maut itu.
Mangsa yang memandu kereta Proton Saga dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu dilanggar sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu Mohamad Arif Mohamad, 16 tahun, dari Kampung Merang, Penarik.
Difahamkan mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga sebulan lalu dan ketika kejadian, arwah baru lepas menghantar isterinya pulang ke kampung di Rantau Panjang, Kelantan.
Menurut Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Arif gagal dikawal dalam keadaan hujan renyai sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, pemandu kereta Proton Saga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat daerah Setiu kira-kira 15 minit kemudian.
“Manakala pemandu Proton Iswara pula mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badan dan dihantar ke Hospital Setiu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.
Rohaizat berkata, kereta Proton Iswara itu remuk pada bahagian hadapan manakala Proton Saga pula remuk bahagian kanan akibat pertembungan kuat antara kedua-duanya.
Sementara itu, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, anaknya baru sahaja keluar dari rumah selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga untuk menghantar barang berdekatan rumahnya.
“Tidak sangka pula saya dikejutkan dengan berita kemalangan yang begitu menyayat hati kerana sebelum ini Mohamad Arif memang selalu membawa kereta saya walaupun tidak mempunyai lesen memandu.i,” katanya.-SH
2 comments:
ambil kesempatan untuk ucapkan selamat hari raya minal aidil wal faidzin
selamat hari raya maaf zahir dan batin
Post a Comment