Pages

Monday, August 29, 2011

25 pelajar Malaysia dipindah

BOYA   yang diletakkan di jeti  Ocean City tumbang  selepas dilanda Taufan Irene, semalam.
BOYA yang diletakkan di jeti Ocean City tumbang selepas dilanda Taufan Irene, semalam.

Keluarga tak perlu bimbang anak berada dalam selamat ketika Taufan Irene

KUALA LUMPUR: Seramai 25 pelajar Malaysia yang menuntut di Stevens Institute of Technology, di bandar Hoboken, New Jersey sudah dipindahkan ke kawasan selamat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini susulan Taufan Irene yang melan-da New York sejak petang kelmarin.
Sehubungan itu, keluarga kesemua pelajar berkenaan diminta tidak bimbang dengan kejadian yang berlaku di sana kerana keadaannya masih terkawal.
Pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal, Ammar Sirry Yashaa, 25 berkata sebagai langkah berjaga-jaga, pihak universiti mengarahkan mereka berpindah ke kawasan Castle Point, satu kawasan di dalam kampus yang lebih selamat kerana kedudukannya paling tinggi di bandar Hoboken.

Katanya, keadaan di kampus berkenaan masih lagi stabil, namun pihak berkuasa di sana sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk tempatan yang tinggal di kawasan lebih rendah supaya mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu.

“Kami akan ditempatkan di sini sehingga taufan reda dan setakat ini, keadaan masih terkawal dan bekalan makanan masih mencukupi. Bekalan air dan elektrik juga masih berfungsi seperti biasa.

“Bagaimanapun, kami masih perlu menunggu sehingga taufan berakhir dan melihat kesannya. Sekiranya banjir berlaku, kami perlu tinggal di sini sehingga banjir surut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Ammar yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) berkata, besar kemungkinan juga mereka akan menyambut Aidilfitri di kawasan pemindahan berkenaan, sekiranya keadaan masih tidak pulih.

Bagi pelajar tahun ketiga ijazah kejuruteraan mekanikal, Fauzan Afandi, 21, berkata sambutan Aidilfitri mungkin diteruskan seperti biasa kerana taufan dijangka berakhir petang ini (semalam).

“Hari raya dijangka jatuh pada Rabu dan kebiasaannya kami akan bersama-sama warga negara yang lain menyambut Aidilfitri di konsulat Malaysia di New York.

“Bagaimanapun, sekiranya keadaan di New York belum pulih, kami hanya akan menyambut Aidilfitri dengan suasana yang sederhana di kampus,” katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.

Sementara itu, Penasihat Kedutaan dan Ketua Canseri bagi Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Loh Teck Siong, berkata beliau bersama isteri dan anak lelaki berusia 13 tahun juga sudah berpindah ke 10 Waterside Plaza di 23rd Street di Manhattan yang menghadap East River iaitu Zon A untuk perpindahan.

Katanya, pusat Taufan Irene dijangka tiba di New York antara 3 pagi dan 7 pagi waktu tempatan (3 petang dan 7 malam waktu Malaysia) ini (semalam).

“Ada lebih 1,000 rakyat Malaysia yang tinggal di New York dan bandar raya itu kini sunyi sepi apabila semua penduduk berada di dalam rumah demi keselamatan diri, manakala semua kedai dan pengangkutan awam termasuk lapangan terbang ditutup,” katanya. bharian

No comments: