Pages

Thursday, June 2, 2011

718 orang awam terbunuh

TRIPOLI: Libya semalam menuduh Nato membunuh 718 orang awam dan mencederakan 4,067 lagi dalam serangan udara sepanjang 10 minggu lalu. Jumlah itu dinyatakan oleh jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim.

“Sejak 19 Mac hingga 26 Mei, 718 orang awam terbunuh dan 4,067 cedera, 433 daripadanya parah,” kata Mussa, memetik jumlah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Menurut Mussa, jumlah itu tidak termasuk anggota tentera yang terbunuh.
Kementerian Pertahanan Libya enggan mendedahkan jumlah itu.

Sebaik beliau bercakap, empat letupan kuat menggegarkan pusat bandar Tripoli, sasaran serangan udara Nato sejak lebih seminggu lalu, lapor seorang wartawan AFP.

Dua letupan pertama berlaku sekitar jam 9.45 malam diikuti dengan dua lagi 10 minit kemudian.
Nato bagaimanpun meragui dakwaan itu.

“Kami tidak ada bukti menunjukkan dakwaan itu benar,” kata timbalan jurucakap Nato, Carmen Romero.
Menurutnya, pakatan itu tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan kerana tidak mempunyai anggota tentera di darat.

Sementara itu, Nato melanjutkan misinya di Libya sehingga hujung September depan.

“Keputusan ini adalah satu mesej yang jelas kepada rejim Gaddafi. Kami berazam untuk meneruskan misi ini untuk melindungi rakyat Libya,” kata Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen.

“Kami akan meneruskan usaha untuk memenuhi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi ketenteraan sekarang berakhir pada 27 Jun.

Keputusan itu membolehkan negara terbabit masa untuk menyiapkan sumbangan mereka bagi 90 hari akan datang, kata seorang diplomat Nato. - Agensi
myMetro | 718 orang awam terbunuh

No comments: