Pages

Thursday, June 2, 2011

Puluhan kampit beras bertaburan atas jalan


PEKERJA sebuah syarikat pengedar beras memunggah kampit beras ke dalam sebuah lori lain selepas lori asal yang membawa beras itu terbalik di Sungai Buloh, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Jun - Berpuluh-puluh kampit beras bertaburan di atas jalan apabila sebuah lori yang sarat membawa muatan barangan tersebut terbabas lalu terbalik di Kilometer 458.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 9 pagi dipercayai berlaku apabila salah sebuah tayar di hadapan sebelah kiri kenderaan itu yang dalam perjalanan dari sebuah gudang di Rawang ke Klang tiba-tiba pecah.
Menurut jurucakap polis, berikutan itu, lori tersebut terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik.
"Ia mengakibatkan sebahagian daripada 700 kampit beras seberat 10 kilogram setiap satu yang dibawa kenderaan itu bertaburan di atas jalan.
"Pihak Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) yang datang berjaya menyekat cubaan segelintir orang ramai untuk mengambil beras itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pihak syarikat itu kemudian datang dan mengambil masa lebih sejam untuk memindahkan beras-beras yang bertaburan ke kenderaan lain.
Tambahnya, kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan di laluan berkenaan sejauh kira-kira tiga kilometer.
Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansur ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu. Utusan Malaysia Online - Kota

No comments: