Pages

Wednesday, May 11, 2011

Pemerintah Syria bertindak balas tahan ratusan aktivis



BEIRUT: Pasukan keselamatan Syria menahan ratusan aktivis dan pembantah antipemerintah dalam satu serbuan dari rumah ke rumah di seluruh negara itu, awal semalam.
Ia sebahagian daripada tindakan keras yang diambil oleh pemerintah negara itu yang bertujuan menghalang pemberontakan yang menyelubungi negara tersebut.Tindak balas pemerintah Syria itu mencetuskan sekatan antarabangsa baru ke atas negara itu, sedang Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan penjualan senjata ke negara itu.Langkah tersebut, yang mengikuti langkah sekatan yang diambil oleh Amerika Syarikat, juga melarang 13 pegawai pemerintah Syria daripada berkunjung ke salah sebuah daripada 27 negara anggota EU dan membekukan aset-aset mereka.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, satu misi kemanusiaan telah tidak dibenarkan masuk ke bandar Daraa di selatan Syria, yang telah terputus hubungan sejak dua minggu lalu, selepas askar-askar Syria bertindak keras menghalang para pembantah antipemerintah.Ketua bantuan kemanusiaan PBB, Cik Valerie Amos, berkata misi bantuan tersebut telah ditangguhkan sehingga lewat minggu ini.Cik Amos berkata, beliau sedang cuba mendapatkan jawapan tentang mengapa misi tersebut tidak dibenarkan masuk ke Daraa kelmarin seperti yang dijadualkan.Seorang jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, berkata Presiden Syria, Encik Bashar Al-Assad, telah menunjukkan 'kesediaannya' membenarkan misi kemanusiaan itu masuk ke Daraa dalam hubungan telefon beliau dengan Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, minggu lalu.Bagaimanapun, Encik Assad terus mengerahkan askar-askar dan kereta kebal untuk menghancurkan pemberontakan selama tujuh minggu itu, yang telah menimbulkan cabaran paling serius kepada pemerintahan keluarga beliau sejak empat dekad lalu.Rejim Encik Assad kelihatan berazam menghancurkan pemberontakan terhadapnya dengan menggunakan kekerasan dan intimidasi, walaupun adanya kemarahan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kematian 630 orang awam sejak pergolakan tercetus di negara itu, menurut kumpulan-kumpulan hak asasi.Penangkapan semalam, yang tertumpu kepada para penganjur protes dan mereka yang menyertainya, telah dilakukan di empat kawasan - Homs, Banias, beberapa kawasan luar bandar di Damsyik dan beberapa kawasan kampung di bandar Daraa. -- AP.cyberita

No comments: