WASHINGTON: Pakistan mungkin membenarkan pegawai Amerika Syarikat menyoal siasat tiga isteri Osama bin Laden.
Seorang pegawai Amerika berkata, keputusan itu akan menstabilkan hubungan antara kedua-dua negara yang terjejas teruk selepas pembunuhan pemimpin al-Qaeda di Pakistan.
Bagaimanapun, pegawai kanan Pakistan berkata di Islamabad, belum ada keputusan dicapai berhubung rancangan Amerika Syarikat itu.
Osama ditembak mati 2 Mei lalu dalam serangan sulit di Abbottabad, utara Pakistan. Pegawai Pakistan sebelum ini enggan membenarkan Amerika Syarikat menyoal siasat ketiga-tiga isteri Osama itu dengan alasan penyiasat tempatan belum selesai melakukan tugas mereka.
Ia juga berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan, seorang warga Yaman dan dua dari Arab Saudi serta anak mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Seorang isteri Osama itu cedera di kaki akibat terkena tembakan ketika operasi membunuh suaminya. Amerika Syarikat berhasrat menyoal siasat isteri Osama itu sebagai sebahagian daripada usaha menjejaki pergerakan dan rangkaian militannya di seluruh dunia. Dalam pada itu, Kementerian Luar Pakistan berkata, ia tidak menerima permohonan rasmi daripada Amerika Syarikat untuk menyoal anggota keluarga Osama yang berada dalam tahanannya.
Jurucakap kementerian, Tehmina Janjua. juga memberitahu wartawan di Islamabad, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi daripada negara asal ketiga-tiga isteri Osama. — Agensi
No comments:
Post a Comment