RAMALLAH - Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak mampu membayar gaji pekerja sektor awam di Tebing Barat dan Genting Gaza buat pertama kali sejak 2007 kerana tindakan khianat rejim Israel menghentikan perpindahan kutipan cukai kepada Palestin.
Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad berkata, tindakan Israel itu menyebabkan kerajaan PA yang berpusat di Ramallah berhadapan dengan krisis kewangan yang teruk.
Rejim Zionis menghentikan penyaluran hasil cukai yang dikutip bagi pihak Palestin selepas kumpulan pejuang Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian damai, minggu lalu, sekali gus menamatkan sengketa yang timbul sejak empat tahun lalu.
Fayyad berkata, kerajaan PA membayar gaji 150,000 kakitangan awam yang mencecah AS$170 juta (RM509 juta) pada minggu pertama setiap bulan sejak 2007 tetapi gagal berbuat demikian, bulan ini.
“Keadaan sememangnya sukar selama ini tetapi apabila Israel menghentikan perpindahan wang milik kami, ia menjadi mustahil untuk kerajaan membayar gaji pekerja,” katanya.
Israel mula menghentikan pemberian hasil cukai yang merangkumi 70 peratus pendapatan kerajaan PA pada 1 Mei lalu dengan alasan enggan wang itu disalurkan kepada Hamas yang dianggap sebagai pengganas.
No comments:
Post a Comment