2011/02/12
PENUNJUK perasaan penuh sesak di Dataran Tahrir bagi meneruskan protes buat hari ke-18. Gambar kecil, penunjuk perasaan gembira Mubarak letak jawatan.
KAHERAH: Lebih sejuta penunjuk perasaan berarak di kota Kaherah, Iskandariah, Suez dan Delta Nil semalam dan menunjukkan kegembiraan selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, semalam.
Mereka awalnya marah dengan kenyataan tentera menyokong pelan pemimpin mereka terus memegang kuasa hingga pilihan raya bermula September depan.Mereka berarak ke istana presiden dan melakukan hadangan di depan stesen televisyen rasmi sebagai menunjukkan bantahan terhadap lambang rejim pemerintahan Mubarak.Penunjuk perasaan menyambut gembira kenyataan Majlis Tertinggi Tentera dianggotai jeneral kanan awal semalam menjamin tuntutan rakyat Mesir akan dipenuhi yang ditafsirkan sebagai tindakan mengambil alih pemerintahan
Tetapi, kenyataan terbaru badan itu mencetuskan kemarahan ramai penunjuk perasaan, lebih-lebih lagi selepas Mubarak masih enggan meletak jawatan meskipun memberi kuasa kepada Naib Presiden, Omar Suleiman.
“Apa yang kamu tunggu lagi?” jerit seorang penunjuk perasaan kepada seorang askar di luar istana utama, Oruba, utara Kaherah dalam bantahan yang disertai 1,000 orang.
Tidak diketahui sama ada Mubarak ada di dalam. Istana itu dikawal empat kereta kebal dan kawat berduri tetapi askar tidak menghalang orang ramai berhimpun bagi membuat bantahan.
Dataran Tahrir pula penuh sesak dengan penunjuk perasaan yang meneruskan protes buat hari ke-18.
Di Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir, lebih 100,000 orang berkumpul di dataran utamanya dan mula berarak ke kediaman utama Mubaral di bandar itu di Istana Ras el-Tin.
Penunjuk perasaan berkata mereka semakin bersemangat untuk menamatkan pemerintahan Mubarak dan akan cuba mendapatkan sokongan tentera dengan menjerit ‘rakyat dan tentera adalah satu tangan.’
Tukang baca khutbah solat Jumaat di Dataran Tahrir juga menggesa penunjuk perasaan meneruskan usaha mereka.
“Kita sudah bertahun-tahun hidup tanpa bersuara. Hari ini, kita suruh rejim sekarang berundur. Kita berdoa setiap Jumaat di sini pada minggu akan datang dan mempertahankan maruah kita.”
Kenyataan kedua tentera digelar ‘Perisytiharan Nombor 2’ menyokong rancangan Mubarak memberi sebahagian kuasanya kepada Suleiman selain berjanji memastikan Presiden dan timbalannya memenuhi janji mereka.
Kemarahan penunjuk perasaan kepada kenyataan tentera juga meletus di kota Suez dan bandar Tanta di Delta Nil dengan beribu-ribu penduduk menyertai perarakan anti-Mubarak.
Harapan bahawa Mubarak akan meletak jawatan meningkat kelmarin selepas majlis tentera mengeluarkan ‘Perisytiharan Nombor 1’ menyatakan ia campur tangan untuk menyelamatkan negara dan seorang panglima kanan memberitahu penunjuk perasaan bahawa semua tuntutan mereka akan dipenuhi.
Tetapi, beribu-ribu penunjuk perasaan kembali marah selepas dikejutkan dengan ucapan Mubarak mengatakan beliau tidak akan meletak jawatan, beberapa jam kemudian. – AP
No comments:
Post a Comment