2011/01/23
ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mungkin tertekan kerana hanya memiliki majoriti kecil di Parlimen tetapi beliau tiada masalah ‘mendapat sahabat intim’, sindir media. Pemimpin berusia 74 tahun itu yang tiga kali menjadi Perdana Menteri, sudah lama diketahui suka dikelilingi wanita jelita sejak terbabit dalam kerjaya politik, kata akhbar Britain, The Sun, semalam.
Bezanya sekarang ialah pemimpin Parti Kebebasan Rakyat itu diselubungi skandal seks yang berkemungkinan menyebabkannya hilang kuasa.
Berlusconi dituduh menjalin hubungan seks dengan pelacur kelas atasan, seorang daripadanya di bawah umur, pada parti anjurannya yang digelar ‘bunga-bunga’.
The Sun turut menyiarkan gambar wanita yang digelar ‘Babes of Berlusconi’ termasuk Roberta Guerra, Camilla Ferranti, Marysthell Garcia, Barbara Faggioli, kembar Imma dan Eleanora de Vivo, Karima el Mahroug, Iris Bernardi, Eleanora Gaggioli, Roberta Bonasia, Patrizia D’Addario dan Nicole Minetti.
Seperti biasa, pemimpin itu menolak dakwaan terhadapnya sambil mengulas: “Saya lebih kuat daripada Superman jika dapat berparti dengan 24 wanita.”
Pendiriannya dikecam pembangkang dengan seorang daripada mereka menyifatkan Berlusconi umpama maharaja purba Rome yang paling ‘miang’.
Tetapi, Berlusconi menolak melakukan sebarang kesalahan selepas dituduh terbabit dalam pelacuran dan salah guna kuasa.
Penasihat Berlusconi juga menolak tuduhan terhadap Berlusconi bahawa pemimpin itu memberi wang untuk seks kepada gadis bawah umur.
Giuseppe Spinelli yang disyaki menguruskan wang untuk wanita yang berdamping dengan Berlusconi, menyifatkan isu terhadap Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang diperbesar-besarkan.
Beliau, sebaliknya, berkata pembayaran dan pemberian pangsapuri kepada gadis terbabit adalah satu ‘kebajikan’ untuk golongan memerlukan.
“Ia tidaklah serumit yang didakwa. Kami bantu orang yang ada masalah. Saya faham mengapa orang tidak tahu. Mereka tidak tahu berapa ramai yang kami sudah bantu,” katanya.
Malah, aktres Sabina Began yang digelar ‘Queen Bee’ oleh media Itali kerana dianggap ketua gadis pendamping Berlusconi, berkata pemimpin itu sedia membantu siapa saja.
“Sama ada yang muda, tua, hodoh mahupun yang sudah bongkok, beliau pemurah,” katanya kepada stesen berita Sky Italia. – Agensi
No comments:
Post a Comment