Pages

Tuesday, November 15, 2011

Kurung kekasih anak

SERDANG: Seorang ibu bersekongkol dengan anak lelakinya berusia 17 tahun untuk mengurung seorang remaja perempuan dalam bilik rumah mereka sebelum memaksa mangsa menggugurkan kandungan berusia dua bulan hasil hubungan sulit dengan remaja lelaki terbabit.
Remaja perempuan berusia 16 tahun yang masih bersekolah dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dikurung dalam satu unit kediaman di pangsapuri di Puchong, sejak dua minggu lalu.

Mangsa yang mengandung dua bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang tidak lagi bersekolah juga berdepan maut apabila dipaksa menelan pelbagai ubat-ubatan bagi menggugurkan kandungannya.
Menurut sumber polis, mangsa keluar dari rumah ibunya di Kajang pada 30 Oktober, kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke rumah teman lelaki dan dikurung serta dipaksa tinggal sebilik.

Katanya, ketika teman lelaki bersama ibunya ke tempat kerja, mangsa dikurung dan dilarang meninggalkan rumah hingga mereka pulang.

“Mangsa dipaksa menggugurkan kandungan bagi mengelak diketahui jiran mengenai hubungan sumbang mereka,” katanya di sini, semalam.
Sumber berkata, mangsa sebelum ini sanggup tinggal bersama kerana terpedaya dengan janji manis teman lelakinya yang mahu bertanggungjawab dan berkahwin dengannya.

Namun, janji tidak ditunaikan, malah mangsa dipaksa menggugurkan kandungan.
“Perbuatan kejam dua beranak itu membuatkan mangsa tertekan dan cuba melarikan diri dengan keluar dari rumah, namun hampa selepas semua pintu dikunci dari luar.

“Mangsa kemudian menjumpai alat jalur lebar milik teman lelakinya sebelum menghubungi ibunya melalui e-mel,” katanya.

Katanya, kira-kira jam 5 petang kelmarin, ibu mangsa bersama beberapa anggota polis ke rumah terbabit sebelum memecahkan pintu besi dan membawa pulang gadis berkenaan.

Mangsa bersama ibunya membuat laporan di Balai Polis Serdang, di sini, bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

No comments: