Pages

Tuesday, November 15, 2011

Kedutaan Arab Saudi, Qatar kena serbu

Berita Harian Online | Kedutaan Arab Saudi, Qatar kena serbu: PENDUDUK  mengibar bendera Syria di atas bumbung Kedutaan Qatar di Damsyik, kelmarin.
PENDUDUK mengibar bendera Syria di atas bumbung Kedutaan Qatar di Damsyik, kelmarin.
Penduduk Syria bantah tindakan Liga Arab undi gantung keanggotaan negara

DAMSYIK: Penunjuk perasaan menyerbu kedutaan Arab Saudi di ibu negara Syria semalam selepas Liga Arab mengundi untuk mengenakan sekatan terhadap keanggotaan Syria berikutan tindakan kerajaan negara itu yang melakukan kekejaman terhadap penentang kepada rejim Bashar Assad.

Agensi rasmi Arab Saudi, Saudi Press Agency melaporkan penunjuk perasaan memasuki pekarangan kedutaan di ibu negara Syria itu lewat kelmarin, memecahkan tingkap dan menyerbu beberapa kawasan di dalamnya. Laporan itu tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kerosakan atau sama ada kedutaan itu beroperasi pada hari Ahad.
Agensi sama melaporkan Arab Saudi mengutuk serangan yang dilakukan terhadap kedutaan mereka di Syria itu.
Ia mengatakan serangan itu berlaku selepas beratus-ratus penunjuk perasaan melontarkan batu ke arah kedutaan itu berikutan keputusan yang dibuat Liga Arab.

Malah penunjuk perasaan pro rejim yang lain turut melontarkan telur dan tomato ke arah kedutaan Qatar.

Tunjuk perasaan dilaporkan turut berlaku di hadapan kedutaan Qatar, Turki dan Amerika Syarikat.

Demonstrasi juga diadakan di beberapa bandar raya utama di Syria seperti Aleppo, Raqqa, Lattakia, Tartous, Hasaka dan Sweida.
Laporan menyatakan beberapa penunjuk perasan memecah masuk ke kedutaan Arab Saudi manakala yang lain masuk melalui bumbung ke bangunan kedutaan Qatar dan mengibarkan bendera kebangsaan Syria.

Kumpulan penunjuk perasaan lain melontar Kedutaan Qatar dengan tomato dan telur sebagai membantah tindakan Doha mengadakan sidang tergempar Liga Arab dan mengumumkan penggantungan keanggotaan Syria.

Sambil melaungkan slogan menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad, penunjuk perasaan kemudian berhimpun di depan kedutaan Turki dan Amerika Syarikat, mengutuk blok Arab kerana bertindak melakukan plot yang disifatkan mereka mengikut telunjuk Amerika Syarikat.

Bantahan sama diadakan di rangkaian berita Arab Saudi, Al-Arabiya dan Al-Jazeera yang berada di ibu negara Jordan, Amman.

Penunjuk perasaan yang marah cuba untuk memecah masuk bangunan rangkaian berita itu yang dipersalahkan kerana mengikut agenda Amerika Syarikat dan Israel terhadap Syria.

Liga Arab mengundi untuk menggantung aktiviti Syria dalam mesyuarat itu sehingga pelan damai yang dicadangkan badan berkenaan dilaksanakan kerajaan Syria.

Ia juga menggesa negara Arab memanggil pulang wakil mereka dari Damsyik dan menangguhkan sekatan ekonomi dan politik terhadap Syria.

Pengumuman penggantungan keanggotaan Syria itu dibuat ketika mesyuarat tergempar liga itu di ibu pejabatnya di Kaherah, Mesir.

Syria berhadapan dengan kebangkitan berdarah sejak pertengahan Mac dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lebih 3,500 penduduk terbunuh dalam keganasan itu. Beratus pasukan keselamatan Syria adalah antara yang maut dalam kejadian berkenaan.

Ketika pembangkang Syria mendakwa operasi pasukan keselamatan terhadap apa yang dipanggil tunjuk perasaan anti kerajaan itu, Damsyik mendakwa keganasan itu mendapat bantuan negara asing.

Bagaimanapun, pembangkang Syria menyambut baik keputusan Liga Arab untuk menggantung keanggotaan negara itu berikutan kekejaman dilakukan terhadap penunjuk perasaan dan menyifatkan mereka juga bersedia untuk berbincang bagi merangka perubahan.

Majlis Kebangsaan Syria menyambut baik keputusan dikeluarkan Majlis Menteri Arab, menyifatkan ia sebagai satu langkah ke arah yang tepat dan kritikan jelas terhadap rejim Syria yang meneruskan pembunuhan dan mematahkan kempen,” kata pegawai majlis.

Keputusan ini mengesahkan peranan Arab dalam menyokong penduduk Syria, kata seorang pegawai yang enggan namanya disebut yang memetik satu kenyataan e-mel diterima AFP di Nicosia.

“Apa yang dicapai setakat ini adalah satu keputusan semula jadi kesengsaraan yang dihadapi penduduk membabitkan rejim kejam dan penduduk Syria menerimanya,” katanya. – AP/AFP/Agensi

'via Blog this'

No comments: