Pages

Saturday, September 3, 2011

Mercun meletup di muka


SAKIT...Ezzwan terlantar di hospital, semalam.
SAKIT...Ezzwan terlantar di hospital, semalam.

KUCHING: Tindakan seorang remaja singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan rumahnya di Kampung Tabuan Melayu di sini, mengundang padah apabila dia kini mungkin hilang penglihatan sebelah mata akibat terkena letupan mercun bola.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam menjelang 1 Syawal itu, Ezzwan Yuswan Jemat, 18, ke kedai runcit milik keluarga yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil barangan bagi persiapan Aidilfitri. Menurut ibu mangsa, Rosnah Umar, 57, anak bongsu daripada empat beradiknya itu singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai.

Difahamkan ketika itu seorang rakan anaknya membakar mercun bola, namun tidak meletup dan Ezzwan membongkokkan badan untuk melihat mercun berkenaan sambil menyuluh menggunakan lampu telefon bimbitnya.

“Tiba-tiba mercun bola berkenaan meletup dan percikan api terkena seluruh muka serta mata kanannya menyebabkan anak saya meraung kesakitan. “Mujurlah beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu terus membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Menurut Rosnah, hasil pemeriksaan doktor mendapat kornea mata kanan anaknya mengalami kerosakan dan berkemungkinan menyebabkan penglihatannya terjejas atau lebih teruk lagi boleh mengakibatkan buta.

“Namun perkara itu belum dapat disahkan 100 peratus kerana doktor masih merawat kecederaan itu. Mujurlah kecederaan mata kiri anak saya tidak terlalu teruk kerana dia masih boleh melihat walapun penglihatannya agak kabur,” katanya.


Katanya, berikutan insiden itu, sambutan Aidilfitri keluarganya tidak meriah berbanding sebelumnya kerana terpaksa menjaga Ezzwan yang kini masih dirawat di hospital.

1 comment:

Yong said...

Masa Yong balik kampung, ada seorang bapa mainkan mercun untuk anak2 dan anak2 sedaranya. Yong terfikir: Ade jugak bapak yang bangang macam ni.