Pages

Saturday, September 3, 2011

Aset Libya bernilai RM44.5 bilion dicairkan

PARIS 2 Sept. - Pemimpin-pemimpin dunia semalam mencairkan aset Libya bernilai AS$15 bilion (RM44.5 bilion) untuk membantu pemberontak membina semula negara itu ketika pemimpin Libya Muammar Gaddafi menyeru pengikutnya melancarkan serangan gerila.
Wakil-wakil kanan dari lebih 60 negara menemui pemimpin-pemimpin pemberontak semalam bagi memberi sokongan dan menawarkan bantuan praktikal.
Bagaimanapun dalam pertemuan yang diadakan di Paris itu, mereka turut mengingatkan pemimpin Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) supaya berusaha mencari perdamaian, walaupun Gaddafi mengeluarkan mesej mahu melancarkan perang gerila.
Persidangan itu adalah satu kejayaan besar kepada NTC, meskipun Rusia, China dan Algeria sebelum ini pernah ragu-ragu untuk bersetuju menyokong pentadbiran baru itu.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengumumkan bahawa berbilion-bilion dolar aset Libya di luar negara yang dibekukan sebelum ini akan dicairkan.
"Kira-kira AS$15 bilion (RM44.5 bilion) telah dicairkan dengan segera kerana kami mahu memberikan kembali wang itu kepada rakyat Libya," kata Sarkozy.
Beliau dalam pada itu turut menggesa NTC memulakan 'proses damai dan pengampunan'.
Presiden NTC, Mustafa Abdel Jalil berkata, rakyat Libya telah 'membuktikan keberanian dan keazaman' mereka dengan menumbangkan rejim Gaddafi, tetapi beliau turut menyeru kestabilan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen dalam sidang itu memberitahu, tentera bersekutu akan meneruskan misi enam bulan mereka di Libya selagi rakyat awam di negara itu dalam bahaya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula berjanji akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan untuk meluluskan misi segera PBB bagi menangani kemungkinan krisis kemanusiaan dan membantu membina semula Libya. - AFP

No comments: