Pages

Monday, September 26, 2011

Pekerja swasta dakwa dipukul polis

JITRA – Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.
Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata, ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.
"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.
"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.
"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab.
“Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis,” kata mangsa.
Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya. – Bernama

Gempa bumi 5.6 magnitud gegar Laut Banda, Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 magnitud menggegarkan Laut Banda, Indonesia pada kira-kira jam 11.39 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi berkata, pusat gempa ialah pada 467 kilometer tenggara Makassar, Indonesia dan 1,345 kilometer Sarikei, Sarawak.
Gempa bumi itu tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami. - BERNAMA

Jepun temui beras dicemari radioaktif

TOKYO: Jepun menemui kes pertama beras dicemari bahan radioaktif melebihi paras ditetapkan dalam satu ujian awal tanaman sebelum dituai, lapor Kementerian Perladangan baru-baru ini.

Kementerian itu memberitahu, unsur radioaktif caesium 500 becquerels (Bq) sekilogram ditemui dalam satu sampel beras sebelum dituai di bandar Nihonmatsu di daerah Fukushima, 56 kilometer ke barat loji jana kuasa nuklear Fukushima.
Loji itu lumpuh akibat gempa dan tsunami 11 Mac lalu, mencetuskan bencana nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu.
Kementerian itu berkata, pihak berkuasa daerah Fukushima akan memperluas kawasan pemeriksaan hampir 10 kali ganda kepada sekitar 300 tempat.

Ia adalah kes pertama di Jepun mengenai beras mengandungi caesium melebihi 200 Bq sekilogram, tahap yang memerlukan ujian lanjut di kawasan beras yang dituai.
Satu Bq digambarkan sebagai aktiviti satu kuantiti bahan radioaktif iaitu pereputan satu nukleus sesaat. Agensi 

Perbicaraan Mubarak dituduh berat sebelah

KAHERAH: Sebuah mahkamah Mesir yang mengendalikan perbicaraan Bekas Presiden Hosni Mubarak memutuskan untuk menangguhkan sesi perbicaraan sehingga 30 Oktober selepas peguam secara rasmi meminta hakim digantikan selepas dituduh berat sebelah.

Peguam plaintif mewakili keluarga penunjuk perasaan yang terkorban ketika kebangkitan popular ke atas Mubarak awal tahun ini menuduh mahkamah tidak memberi mereka masa mencukupi menyoal Ketua Majlis Pemerintah Tentera Mesir, Hussain Tantawi, ketika memberi keterangan dalam satu sesi tertutup.
Sebuah lagi mahkamah dijangka menentukan permohonan peguam hari ini. Jika ia menerima permohonan itu, mahkamah akan melantik sepasukan hakim baru bagi menguruskan perbicaraan sejak mula. Perbicaraan bermula 3 Ogos lalu di tengah perhatian besar-besaran orang awam dan media.
Mubarak didakwa mengarahkan penunjuk perasaan dan rasuah dibunuh. Tantawi yang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan di bawah Mubarak sehingga penyingkirannya dalam pemberontakan popular Februari tahun ini, pada awalnya memberi keterangan, dua minggu lalu.

Dia dan penyandang ketua Turus Tentera Mesir, Samy Anan, gagal muncul dalam apa yang digambarkan media rasmi sebagai alasan keselamatan berikutan serangan ganas ke atas kedutaan Israel di sini.

Tantawi dan Anan diminta memberi keterangan secara tertutup mengikut arahan mahkamah bagi melindungi keselamatan nasional.

Ketika kemuncak kemunculannya, Tantawi berkata beliau akan hadir di mahkamah bagi menegakkan kedaulatan undang-undang.
Mengikut peraturannya, tentera perlu hadir di hadapan mahkamah tentera saja, Tantawi dipetik oleh Agensi Berita Asia Barat sebagai berkata.

Tetapi, saya memutuskan untuk pergi ke mahkamah jenayah awam untuk memberi keterangan saya bagi menegakkan kedaulatan undang-undang yang sepatutnya satu ruang kukuh buat Mesir selepas 25 Januari, katanya, merujuk kepada hari ketika pemberontakan anti-Mubarak bermula.

Mubarak, Bekas Menteri Dalam Negeri Habib Al Adly dan enam anggota polis kanan didakwa dengan pembabitan dalam pembunuhan sekurang-kurangnya 846 penunjuk perasaan ketika pemberontakan.

Turut dibicarakan sama adalah dua anak lelaki Mubarak, Alaa dan Jamal, yang dituduh melakukan rasuah.

Bagaimanapun semua defendan mengaku tidak bersalah. Mahkamah itu, didirikan di sebuah Akademi Polis di pinggir ibu kota ini, mengarahkan satu sekatan media supaya tidak membocorkan maklumat keterangan yang diberi secara tertutup. Agensi 

Gaddafi, anak-anak didakwa rogol wanita

VALLETTA, Malta 25 Sept. - Seorang pakar psikologi mendakwa bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi dan anak-anak lelakinya telah melakukan jenayah rogol terhadap wanita ketika Libya dilanda konflik.
Pakar psikologi terbabit dari Benghazi, Seham Sergewa mendakwa terdapat bukti Gaddafi dan anak-anak lelakinya melakukan jenayah terebut.
Seham berkata, beliau akan meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi dan anak-anak lelakinya berhubung dakwaannya itu.
Dakwanya, lima wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan Gaddafi telah bersetuju untuk memberi keterangan bahawa mereka telah dirogol oleh Gaddafi dan anak-anak lelakinya.
"Sebagai pihak kepada wanita-wanita ini dan rakyat Libya, saya gembira kerana ICC telah bersedia menerima saya," katanya.
Pada 27 Jun lalu, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi, anak lelaki sulungnya, Saif al-Islam dan bekas ketua perisikan tentera, Abdullah al-Senussi atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.
"Anak lelaki Gaddafi yang mengetuai jenayah rogol bergilir-gilir itu," dakwanya merujuk kepada bukti yang menunjukkan beribu-ribu wanita telah dirogol sepanjang Libya berhadapan dengan konflik.
Sergewa mendakwa mangsa pada awalnya dirogol oleh Gaddafi sebelum diserahkan kepada anak-anak lelakinya dan kemudiannya kepada pegawai-pegawai berpangkat tinggi dan dibebaskan. - dpa

China perluas tentera laut


Keupayaan tentera laut China ditingkatkan lagi dengan pembelian kapal pengangkut pesawat jenis Varvag dari Ukraine. - AGENSI



SHANGHAI 25 Sept. - Tentera laut China memainkan peranan semakin penting dalam kempen negara ini untuk menjadi sebuah kuasa tentera dunia, dan ujian kapal pengangkut pesawat udaranya yang pertama baru-baru ini membuktikan cita-cita besar tentera laut Beijing.
China semakin menonjolkan kekuatan tenteranya di laut lepas dan pelayaran sulung kapal pengangkut itu pada bulan lalu mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, yang menyifatkan langkah itu bakal membawa 'kesan besar' di rantau ini.
Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China yang merupakan angkatan bersenjata terbesar di dunia sebahagian besarnya adalah tentera darat.
Namun, tentera laut memainkan peranan semakin besar ketika Beijing mengambil pendirian lebih tegas dalam membuat tuntutan ke atas wilayahnya, terutama di Laut China Timur dan Laut China Selatan.
Sekumpulan wartawan dibawa melawat kapal frigat peluru berpandu Anqing di pangkalan Armada Timur di Ningbo, ke selatan Shanghai baru-baru ini.
"Selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China perlu memikul tanggungjawab lebih besar dalam hal-ehwal dunia," kata ketua staf pangkalan tentera laut di Ningbo, Kapten Wei Hua kepada wartawan.
"Kami mempunyai garisan tepi laut sepanjang kira-kira 18,000 kilometer dan kawasan maritim melebihi tiga juta kilometer persegi.
"Kerana itu sangat penting untuk membina sebuah tentera laut yang kuat bagi melindungi negara ini dan kepentingannya," ujar beliau.
Taiwan tetap menjadi faktor utama dalam strategi pertahanan Beijing tetapi pulau itu bukan satu-satunya tumpuannya.
Beijing menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang turut dituntut oleh jiran-jirannya yang lebih kecil, selain perlu memastikan keselamatan saluran bekalan dan sumber baru bahan mentah bagi menggerakkan ekonominya yang berkembang pesat.
"Beijing mahu membawa Laut China Selatan yang dianggapnya sebagai sebahagian wilayahnya ke dalam lingkungan pengaruhnya," kata seorang pakar pertahanan antarabangsa. - AFP

Kelantan tetap laksana hukum hudud


Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tapak pameran sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU 25 Sept. - Walaupun pelaksanaan hukum hudud ditentang keras oleh DAP, namun ia ternyata tidak dipedulikan oleh Pas.
Ia terbukti apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, negeri itu kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, langkah itu bagi membolehkan hakim-hakim menggunakan akta tersebut dalam perbicaraan sesuatu kes sekiranya wujud prima facie.
“Usaha kami sekarang ini ialah nak memasukkan hudud dalam senarai hukum mahkamah syariah di Kelantan.
“Kami hanya nak memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum supaya mahkamah-mahkamah boleh menggunakan akta ini, bila kes berlaku di mahkamah, hakim akan menentukan ada prima facie ke tak ada, kalau ada prima facie ada peguam bela peguam cara tak ada apa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi.
Langkah kerajaan Kelantan itu dijangka menghangatkan lagi ‘pertelingkahan’ dengan DAP yang melalui Pengerusinya, Karpal Singah menentang pelaksanaan hukum hudud.
Walaupun Karpal semalam menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ‘orang tua yang mahukan perhatian’, namun ketika meminta mengulas kenyataan berkenaan Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan beliau ‘menghormati pandangan Karpal sebagai orang tua yang telah lama berkecimpung dalam perundangan dan tidak timbul sebarang perbalahan’.
Bagaimanapun jelas Nik Abdul Aziz, tidak sepatutnya timbul salah faham di kalangan parti pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud.
Mengulas lanjut kenyataan Karpal itu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak berasa apa-apa walaupun Pengerusi DAP tersebut turut menyentuh soal peribadinya.
Beliau sebaliknya menjelaskan, adalah lebih baik negara ini menerima hukum hudud berbanding melaksanakan hukuman mandatori gantung sampai mati bagi kesalahan seperti dadah dan senjata api.
Ini kerana kata beliau ia menyebabkan keluarga individu terbabit merana disebabkan tiada tempat hendak bergantung hidup.
“Hudud ini tak mati orang, bila kena hudud tak mati manusia, kenapa dia sibuk sangat, sibuk kerana macam saya kata tadilah, orang takut ke hudud macam takut ke hantu,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat pakatan pembangkang dijadual Rabu ini, Nik Abdul Aziz memberitahu, beliau kini dalam keadaan tidak sihat dan tidak tahu sama ada akan hadir atau sebaliknya.

Tentera kerajaan baru Libya mara ke Sirte

SIRTE 26 Sept. - Beratus-ratus tentera kerajaan baru Libya memasuki kampung halaman Muammar Gaddafi, Sirte dari arah timur, semalam, manakala bahagian selatan barat bandar itu masih dikuasai tentera yang setia pada bekas pemimpin Libya itu.
Sambil menunjukkan simbol kemenangan, tentera tersebut mara ke dalam Sirte dengan menaiki trak dan lori besar serta disokong dengan tiga kereta kebal.
Empat ambulans turut dilihat keluar dari arah timur dan dilaporkan membawa tentera yang cedera atau terkorban akibat pertempuran di bandar itu. - AFP

Mayat 1,700 banduan Libya ditemui dalam kubur besar

TRIPOLI 26 Sept. - Kerajaan baru Libya semalam menemui baki 1,700 banduan yang dihukum pada 1996 di penjara Abu Salim, di sini, dalam satu kubur besar di ibu negara ini.
Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan, Khalid Sharif berkata, mereka menemui kubur tersebut yang mana kesemua banduan ditanam di dalamnya, sekali gus membuktikan Gaddafi melakukan jenayah kejam.
"Kami meminta organisasi luar dan persatuan antarabangsa untuk membantu kami dalam usaha mengenal pasti kesemua mayat yang ditemui ini," katanya. - AFP

9 maut, 100 cedera dalam empat letupan di Iraq

KARBALA 26 Sept. - Beberapa letupan bom di sebuah pejabat pasport dan kad pengenalan di sini semalam, menyebabkan sembilan orang terbunuh manakala 100 yang lain cedera dalam keganasan terbaru di Iraq.
Leftenan Jeneral, Othman al-Ghanimi berkata, serangan bom itu termasuk dua serangan tepi jalan, sebuah bom kereta dan penyerang berani mati, namun tidak mengulas lanjut kejadian tersebut.
Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian melaporkan beberapa mayat yang berlumuran darah di bawa oleh pasukan perubatan ke hospital berhampiran, dan banyak bangunan dan kenderaan. - AFP

Satelit disah jatuh di Lautan Pasifik, timur Afrika

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari mengesahkan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah jatuh di dua laluan utama yang dikenalpasti.
Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Mhd. Fairos Assillam berkata, dua laluan tersebut ialah di Lautan Pasifik dan timur Afrika.
"Satelit yang pecah kepada 26 bahagian itu dipercayai telah terbakar dan bertaburan di dua kawasan tersebut semalam, tetapi waktu sebenar belum dapat dipastikan.
"Kita cuma boleh mengesahkan waktu satelit tersebut memasuki atmosfera bumi iaitu di antara jam 11.23 pagi dan 1.09 tengah hari (waktu Malaysia) semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat hari ini belum ada mana-mana laporan serpihan satelit itu dijumpai atau mengorbankan orang awam dan mengalami kerosakan harta benda.
Pada 21 September, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan NASA mengesan Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) seberat enam tan yang berisiko untuk jatuh ke bumi dan diramalkan jatuh pada hari Jumaat lalu.
Tambah Mhd. Fairos, Malaysia antara negara yang terselamat daripada terkena serpihan itu kerana negara berada di laluan selamat.
Mengulas tentang orang ramai diingatkan tidak mengambil dan menyentuh objek pelik berhubung serpihan satelit, beliau memberitahu, serpihan tersebut dikhuatiri sangat panas disebabkan terbakar.
Selain itu, katanya, menurut Standard Operating Procedur, serpihan satelit itu mungkin mempunyai radiasi yang tidak dikenalpasti memandangkan sudah lebih 15 tahun di angkasa lepas.

Murid tahun 4 ketua penyamun

BETONG: Seorang murid tahun empat dipercayai menjadi ketua satu geng pecah rumah dianggotai enam remaja yang memecah masuk rumah sepasang suami isteri dan melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM5,000.
Budak lelaki itu dan lima rakannya yang berusia antara 12 hingga 14 tahun melakukan kegiatan itu di rumah mangsa di kompleks kediaman kakitangan kerajaan di sini, 17 Oktober lalu, sebelum mereka ditahan polis pada Jumaat dan kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan yang berusia 34 tahun membuat laporan polis sebaik menyedari kejadian itu selepas dia dan isterinya pulang bercuti dari Kanowit, kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu.

Polis menahan seorang anggota kumpulan terbabit berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam selepas mangsa membuat laporan sebelum lima yang lain ditahan bersama pelbagai barangan kemas keesokannya.

Sumber polis berkata, semua suspek kejadian pecah rumah itu mudah diselesaikan apabila mereka dikesan memakai minyak wangi yang mempunyai bau sama dipercayai yang dicuri dari rumah mangsa. “Kumpulan penyamun cilik itu dipercayai sempat ‘berkelah’ di rumah pasangan terbabit sambil menjamu selera bijirin dan coklat sebelum mencuri pelbagai barangan kemas dan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, sebaik mangsa pulang dari bercuti, mereka terkejut apabila mendapati dapur rumah berselerak dengan bijirin serta coklat sebelum melakukan pemeriksaan.


“Pasangan terbabit kemudian memeriksa bahagian atas dan mendapati laci almari terbuka, manakala barang kemas serta barangan berharga lain hilang sebelum mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 7.30 malam.

“Susulan laporan itu, polis menggerakkan operasi bagi memburu anggota kumpulan terbabit dan berjaya menahan seorang suspek berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam kemudian dan lima lagi rakannya pada keesokan hari,” katanya.

Sumber itu berkata, berikutan penahanan itu, polis menemui semula barangan berharga seperti rantai, gelang, cincin dan subang dicuri suspek.

“Kita turut mendapat maklumat mengenai gerak-geri kumpulan terbabit melalui penduduk yang kebetulan terserempak kelibat mereka di sekitar rumah berkenaan pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ibu bapa remaja terbabit sudah dimaklumkan mengenai penahanan anak mereka.

Mandur kena cincang


SEDIH...Fadilah  (kiri) dalam keadaan sedih sambil mendukung anak bongsu. Gambar kecil, Omar.
SEDIH...Fadilah (kiri) dalam keadaan sedih sambil mendukung anak bongsu. Gambar kecil, Omar.

PENAMPANG: Hanya kerana diminta menjelaskan hutang RM300, seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila sanggup menetak seorang mandur sehingga lehernya hampir putus dan isi perutnya terburai dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Jalan Tulangis, di sini, kelmarin.
Bukan itu saja, hampir seluruh tubuh mangsa, Omar Daud, 26, turut dicincang dengan lebih 10 kesan tetakan menggunakan parang yang turut menyebabkan beberapa jari tangan hilang dalam kejadian kira-kira jam 7 malam. Isterinya, Fadilah Jali, 23, yang terdengar jeritan suaminya di luar rumah segera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berlumuran darah serta tertiarap tidak sedarkan diri.

Fadilah berkata, dia juga sempat melihat dua lelaki dipercayai adik-beradik lingkungan 20-an memegang parang dipenuhi darah berada di sisi suaminya.

Fadilah kemudian menjerit memanggil adik saudaranya, Hazri Sabri, 18, bagi membantu suami, tetapi tidak berjaya apabila seorang daripada lelaki berparang terbabit mengejar menyebabkan mereka memasuki dan mengunci diri dari dalam rumah sebelum dua lelaki terbabit melarikan diri. Menurut Fadilah, sebelum kejadian dia bersama empat anaknya berada di dalam rumah sebelum meluru ke luar selepas mendengar jeritan suaminya.

“Saya melihat dua lelaki sedang memegang parang berdiri di sebelah tubuh suami yang berlumuran darah sebelum cuba meminta bantuan adik saudara yang kemudian bergegas cuba memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, seorang suspek mengejar adik saudara saya dengan parang, menyebabkan dia melarikan diri dan masuk ke dalam rumah, manakala saya turut mengunci dari dalam bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ditemui di tempat Harian Metro di tempat kejadian, semalam.


Fadilah berkata, dia mengetahui seorang daripada suspek meminjam RM300 daripada suami selepas kalah berjudi, tetapi terus kalah dalam kegiatan itu menyebabkan suaminya cuba meminta suspek membayar semula wang dipinjam. Menurutnya, tindakan suaminya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga menyebabkan suaminya ditetak hingga maut.

“Malah, rakan suami yang turut dalam pergaduhan itu turut ditetak, namun dia berjaya lari menyelamatkan diri,” katanya.

Fadilah berkata, sebaik menyedari lelaki terbabit melarikan diri, dia memaklumkan kejadian itu kepada keluarga sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi memberitahu siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek berang kerana mangsa memintanya memulangkan wang RM300 yang dipinjam.

“Suspek menetak mangsa dan seorang rakan mangsa cuba membantu selepas melihat kejadian itu turut ditetak sebelum terpaksa melarikan diri, manakala kedua-dua suspek yang turut cedera meninggalkan tempat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah menggerakkan operasi termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi memburu kedua-dua suspek yang dipercayai turut cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, kerana membunuh,” katanya.

Israel ancam tindak balas keras

BAITULMAQDIS: Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman semalam memberi amaran, negaranya akan bertindak tegas jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan permohonan Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB.
Dia bagaimanapun tidak menyatakan tindak balas yang akan diambil. Lieberman sebelum ini mencadangkan supaya Tel Aviv memutuskan hubungan dengan Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai Mahmud jika permohonan itu diluluskan.

Majlis Keselamatan PBB akan bersidang hari ini untuk membincangkan permohonan Palestin. - AP

Mahmud mahu pinda perjanjian dengan Israel

AMMAN: Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, beliau mahu meminda perjanjian mengenai hubungan ekonomi yang ditandangani pada 1994 dengan Israel. “Kami mahu meminda perjanjian ekonomi Paris antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Israel kerana ia menguntungkan Israel,” kata Mahmud kepada wartawan.
Mahmud yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau mengemukakan permohonan Palestin untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu pada perhimpunan berkenaan Jumaat lalu.

“Perjanjian Paris mengandungi sekatan yang menjejaskan ekonomi Palestin dan menyekat pembangunannya.

“Ia tidak membenarkan rakyat Palestin meningkatkan ekonomi mereka,” kata Mahmud, merujuk kepada Protokol Hubungan Ekonomi yang ditandatangani di Paris pada 1994 antara Israel dengan PLO.

Pada masa sama, pemimpin Palestin itu juga berkata, beliau komited untuk meneruskan dialog menyeluruh dengan Hamas, pergerakan Islam Palestin yang menentang usahanya untuk mendapatkan keanggotaan penuh dalam PBB.


“Sebahagian pegawai Hamas menentang usaha menjadi anggota penuh PBB. Tetapi secara keseluruhan, saya menerima sokongan daripada pemimpin pergerakan itu,” kata Mahmud. - AP

Bashar akan jatuh: Tayyip

WASHINGTON: Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan berkata, Presiden Syria, Bashar al-Assad, lambat laun akan disingkirkan oleh rakyatnya sendiri ketika pemerintahan secara diktator semakin pudar di seluruh dunia. Dalam temuramah dengan rancangan ‘Fareed Zakaria GPS’ terbitan CNN, Erdogan juga mengekalkan ketegasannya terhadap Israel dan memberi amaran, hubungan dengan rejim Zionis itu tidak akan mesra seperti sebelum ini.

 “Anda tidak boleh kekal berkuasa menerusi kekejaman. Anda tidak boleh menghalang kehendak rakyat,” kata Tayyip ketika bercakap mengenai keadaan di Syria. “Proses ini mungkin berlanjutan lebih lama sedikit tetapi lambat laun, rakyat negara itu akan mengambil keputusan seperti yang berlaku di Mesir, Tunisia dan Libnya. “Orang ramai mahukan kebebasan.

 Demokrasi akan mengambil alih pemerintahan kuku besi dan sistem diktator semakin musnah,” kata pemimpin Turki itu. Tayyip juga bercakap mengenai laporan yang mendakwa beliau bercuti dengan Presiden Assad. Beliau mengaku mempelawa Bashar ke satu tempat percutian di Turki tetapi ia bertujuan untuk membincangkan hubungan dua hala dan kedua-dua pemimpin itu tidak bercuti bersama.

 Menurutnya, beliau akhirnya hilang sabar dengan Bashar. “Jika anda bertindak menentang hak asasi dan undang-undang, anda tidak akan lagi berada dalam hati saya, baik sebagai saudara mahupun sebagai rakan,” katanya. - Reuters

Guna helikopter mainan seludup telefon bimbit ke dalam penjara

RATCHABURI: Banduan di penjara Khao Bin di daerah Muang, yang tidak tahan untuk mendapat berita dari dunia luar, bertindak kreatif dengan menggunakan helikopter kawalan radio untuk menyeludup masuk telefon bimbit.
Kalau tidak kerana salah satu helikopter kecil itu terhempas 500 meter di luar pagar keselamatan semalam, sudah tentu pegawai penjara tidak dapat mengesan perbuatan mereka.
Helikopter mainan itu membawa tujuh telefon bimbit, empat telefon bimbit satelit, enam kad SIM, lapan bateri dan tiga panel skrin telefon.

Kesemua barang ini dikatakan akan dijatuhkan ke dalam perkarangan penjara.

Blair main kayu tiga?

LONDON: Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair didakwa mempunyai hubungan rapat dengan wanita yang dianggap paling kaya dan paling kontroversi di Israel.
Ofra Strauss, 51, yang menceraikan suami keduanya tahun lalu ialah ketua sebuah syarikat makanan bernilai �1.3billion. Kerana produknya berharga mahal, ia mencetuskan bantahan sosial terbesar pernah berlaku dalam sejarah Israel.

Ofra sering dilihat bersama Blair hingga media Israel meramalkan mereka mempunyai mempunyai hubungan sulit.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal oleh jurucakap Ofra sementara Blair juga berkata, tidak ada yang ‘tidak betul’ dalam hubungan mereka.

Bekas perdana menteri itu sering mengunjungi Israel kerana peranannya sebagai duta keamanan antarabangsa untuk Asia Barat, mewakili apa yang dipanggil ‘Quartet’ iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Russia.

Hubungan Ofra dengan Blair begitu rapat hingga seorang penulis pojok sebuah akhbar yang berpengaruh di Israel, Maariv, bertindak menulis surat terbuka kepada isteri Blair, Cherie, dengan berkata, dia mungkin ingin membuat penjelasan mengenai keakraban Blair dengan Ofra.


“Untuk makluman Puan Blair (Cherie), hujung minggu lalu, kereta rasmi yang disediakan untuk Tony Blair oleh Quartet, memasuki pagar rumah Ofra yang mempunyai kawalan ketat.

“Ada pihak yang memaklumkan kepada saya, kunjungan itu mempunyai ciri-ciri pakatan seks. “Saya menyerahkan kepada anda supaya menguruskan masalah ini secara peribadi.” antara isi kandungan tulisan itu.

Semalam, jurucakap Ofra, Rani Rahav berkata, adalah karut bagi seseorang menyangka adanya keujudan elemen romantik dalam hubungan Blair dengan Ofra. “Tidak ada hubungan sulit antara mereka. Saya tidak pernah ditanya dengan soalan sebodoh ini sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Ofra adalah rakan rapat Blair dan Cherie. “Dia rakan baik mereka. Tetapi dia tidak mahu bercakap mengenai mereka,” kata Rahav.

Ketika wartawan The Mail on Sunday tiba di kediaman Ofra untuk menemuramahnya kelmarin, Rahav mengancam memanggil polis dengan berkata: “Ini Israel, bukan England.” - DM

Gereja disasar


ANGGOTA polis Indonesia, lengkap dengan kenderaan berperisai, mengawal gereja yang diserang oleh penyerang berani mati, semalam.
ANGGOTA polis Indonesia, lengkap dengan kenderaan berperisai, mengawal gereja yang diserang oleh penyerang berani mati, semalam

JAKARTA: Seorang suspek penyerang berani mati terbunuh, ketika melakukan serangan bom ke atas sebuah gereja di Pulau Jawa, menyebabkan 17 yang lain cedera, semalam.
Jurucakap polis Solo, Jawa Tengah, Boy Rafli Amar berkata, “Hanya suspek saja yang mati dalam serangan yang dilakukan sebaik saja selesai upacara sembahyang.”
Menteri Penyelaras Bagi Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Djoko Kramnik, berkata sebelum ini, seorang lagi yang cedera dalam serangan itu telah meninggal dunia di hospital.

Seorang lagi jurucakap polis Solo, Leftenan Kolonel Djihartono berkata, pihak berkuasa akan memeriksa rakaman kamera litar tertutup dari gereja itu untuk mengenal pasti penyerang itu.


Solo merupakan kampung halaman ulama radikal Abu Bakar Bashir yang dikatakan perancang kumpulan yang telah membunuh 200 orang di Bali pada 2002.

Indonesia, yang mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang terbesar di dunia, sejak 10 tahun yang lalu, sering berlaku kejadian serangan daripada kumpulan militan dan radikal, tetapi kebelakangan ini serangan daripada kumpulan ini semakin berkurangan.

Namun begitu, masih terdapat ketegangan agama dalam negara sekular ini. Konflik agama antara umat Islam dan Kristian di Maluku dan Sulawesi berlaku selepas penggulingan bekas Presiden Suharto pada 1998. - Reuters

Ahmad Jais dipindah ke ICU

AHMAD JAIS

SHAH ALAM - Penyanyi irama pop yeh yeh, Datuk Mohd. Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tengah malam semalam kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.
Anak keempatnya, Maimun Mohd. Jais, 31, berkata, buat masa ini, bapanya diberi bantuan mesin sokongan bagi membolehkannya berehat memandangkan keadaan paru-parunya masih lemah.
Maimun menambah, selepas malam semalam, keadaan ayahnya itu dilihat semakin stabil dan bertambah baik namun pihak hospital menasihatkan untuk banyak berehat dan masih memantau keadaannya itu.
Kosmo! Ahad melaporkan, Ahmad Jais, 75, dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) awal pagi kelmarin akibat sesak nafas.
Pada 8 September lalu, dia mengadu penat dan sakit selepas pulang membuat persembahan di Batu Pahat, Johor.
Sakitnya mula serius pada malam Khamis lalu dan beliau terpaksa mengambil alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor.
Bagaimanapun, Ahmad Jais dipindahkan ke DEMC awal pagi semalam kerana mempunyai rekod perubatan di situ.
Ahmad Jais mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an.
Antara lagu popularnya ialah Di Ambang Sore, Juwitaku Sayang, Budi Setahun Segunung Intan danSejak Kita Berpisah.

Pelacur solo kejar lelaki miang

KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita asing dalam kancah pelacuran seakan-akan tiada penghujungnya walaupun banyak operasi dilakukan apabila mereka kini didapati menggunakan dua taktik baharu bagi mendapatkan wang.
Pelacur-pelacur muda berusia lingkungan 20-an dari China, Uzbekistan, Vietnam, Afrika, Mongolia dan Filipina itu kini memilih menjalankan perniagaan secara bersendirian tanpa membabitkan ejen dan akan ‘beraksi’ di kondominium atau apartmen mewah.
Difahamkan, rata-rata mereka yang memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar, mengenakan bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.
Mereka yang terlibat kebanyakannya pernah dijadikan pelacur oleh ejen masing-masing ketika mula datang ke sini dengan bekerja di pusat urut dan refleksologi. Mungkin kerana bosan dicekup, mereka kemudian memilih modus operandi baharu itu.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa (gambar) memberitahu, siasatan mendapati, pelacur dari Afrika, Nigeria, Filipina, Vietnam dan China memilih untuk bergerak sendiri mencari pelanggan.
Katanya, pelacur yang menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar itu hanya perlu ke kelab malam untuk memancing pelanggan sebelum membawa mereka ke hotel atau rumah sewa untuk lakukan seks.
“Alasan yang sering diberi jika dicekup ialah mereka perlu mencari duit lebih untuk menampung yuran pengajian kolej. Berdasarkan tangkapan, lebih 50 peratus pelacur negara itu telah datang ke sini berulang kali.
“Ketika dinaungi sindiket, mereka terpaksa menggunakan orang tengah untuk mencari pelanggan tetapi selepas mahir dan mempunyai pelanggan tetap, mereka ‘membuka’ perniagaan sendiri. Cara itu lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar wang perlindungan,” dedahnya.
Azman memberitahu, pelacur dari Mongolia, Uzbekistan, China dan Vietnam pula didapati lebih cenderung menggunakan kondominium dan apartmen mewah untuk menjalankan aktiviti persundalan di sini.
Bagaimanapun katanya, mereka masih memerlukan ejen untuk mencari pelanggan. Mereka mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap perkhidmatan kerana berstatus pelacur kelas atasan.
“Polis menghadapi kesukaran untuk mengekang dan mengesan mereka kerana mereka tidak menetap di kondominium dan apartmen mewah tersebut dan kerap berpindah,” katanya.
Ujar Azman, selain itu, premis tersebut mempunyai kawalan keselamatan yang ketat serta mempunyai kamera litar tertutup.
Bagaimanapun katanya, polis ada juga melakukan serbuan dan tangkapan terhadap pelacur yang menggunakan taktik sebegitu.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pelacuran supaya menyalurkannya kepada polis berikutan bilangan pelajar dan pelancong warga asing yang terlibat meningkat saban tahun.

Pelancong hamba empat beranak

KUALA LUMPUR - Tiga wanita India terpaksa menanggung azab selama dua tahun apabila dijadikan seperti hamba ketika dikerah bekerja tanpa gaji di sebuah ladang ternakan dan tanaman sebelum diselamatkan polis yang menyerbu kawasan tersebut di Gopeng, Perak baru-baru ini.
Selain tidak dibayar gaji, ketiga-tiga mangsa berusia di antara 20 dan 30 tahun itu turut mendakwa dipukul, tidak dibenarkan keluar dan dipaksa bekerja tidak mengikut masa seperti yang ditetapkan dalam Akta Buruh.
Mereka yang dipaksa bekerja sebagai penggembala lembu, kambing, menjaga kolam dan mengutip bunga melor dikatakan datang ke negara ini sebagai pelancong pada 2009 sebelum diperdaya untuk bekerja di ladang itu oleh empat suspek tersebut.
Jarak di antara India dan Gopeng dianggarkan sejauh 2,600 kilometer.
Empat suspek itu dikatakan mempunyai hubungan keluarga dan mereka berusia di antara 12 dan 40 tahun.
Sumber berkata, polis yang menerima maklumat kemudian telah menyerbu ladang tersebut pada 12 September lalu.
Katanya, ketika diserbu oleh sepasukan polis dari Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kesemua mangsa sedang bekerja dalam keadaan tertekan dan daif manakala kesemua suspek yang merupakan majikan ketiga-tiga wanita itu berada di ladang berkenaan.
"Kita melakukan risikan selama dua minggu selepas mendapat maklumat daripada orang awam. Siasatan mendapati, sepanjang tempoh dua tahun itu, mereka tidak dibayar gaji dan bekerja tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Akta Buruh.
"Kita sedang menyiasat dakwaan wanita itu mengatakan mereka dipukul oleh majikannya dan dipaksa bekerja sebagai penggembala lembu, kambing, menjaga kolam dan mengutip bunga melor," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, soal siasat mendapati, mereka diperdaya oleh keempat-empat suspek itu yang pada mulanya berjanji akan memberikan gaji setimpal dengan kerja yang dilakukan di ladang tersebut.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan penahanan keempat-empat suspek tersebut.
Menurut Abdul Jalil, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta ATIP dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pemerdagangan orang menyalurkannya kepada pihak polis dalam usaha membanteras kegiatan itu bagi mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa pihak tertentu.
-kosmo

Buang al-Quran di bangsal lembu


SEBAHAGIAN daripada beribu naskhah al-Quran yang dibuang di bangsal lembu di Bachok, Kelantan semalam.

BACHOK - Penduduk Kampung Pauh Sembilan dekat sini gempar apabila menemui beribu-ribu naskhah al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal lembu dipercayai untuk dilupuskan secara tidak sah.
Seorang penduduk, Mamat Harun, 65, berkata, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin, sebuah treler telah memasuki kampungnya dan dia sempat melihat beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori kecil.
Menurutnya, treler tersebut berhenti dalam jarak satu kilometer dari bangsal tempat al-Quran tersebut ditinggalkan dan terpaksa menggunakan lori kecil untuk mengangkutnya.
"Jalan ke bangsal ini sempit, jadi treler berhenti di simpang jalan dan mereka menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan al-Quran dari treler ke sebuah lori kecil sebelum dihantar ke bangsal tersebut.
"Saya sempat tanya, mereka beritahu dari Kuala Lumpur dan diarahkan untuk menghantar al-Quran tersebut ke sini untuk disimpan," ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, jarak antara rumahnya ke bangsal tersebut hanyalah 200 meter dan pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.
Bagaimanapun dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas beberapa orang polis dan pegawai pejabat agama datang ke kawasan tersebut petang kelmarin.
Katanya, bangsal tersebut yang seluas 1.4 meter x 2.8 meter itu pernah dijadikan tempat menyimpan makanan lembu seperti dedak dan rumput namun tetapi kini tidak lagi digunakan oleh pemiliknya.
Sementara itu, sumber Pejabat Agama Jajahan Bachok memberitahu, siasatan awal mendapati al-Quran tersebut mungkin untuk dilupuskan.
Ia berikutan terdapat kecacatan daripada segi cetakan dan reka bentuk ataupun kesilapan pada ayat al-Quran itu sendiri.
Katanya, al-Quran tersebut telah dihantar ke sini oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada individu tertentu untuk dilupuskan dan bangsal tersebut hanya dijadikan transit.
"Kita telah membuat laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu terbabit kerana tindakan melupus al-Quran perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan hanya boleh dibuat di kawasan tertentu sahaja.
"Saya dimaklumkan tempat untuk melupus al-Quran ini hanya di Kuala Lumpur dan prosesnya melibatkan kos yang tinggi. Jadi, ini mungkin salah satu cara pihak tersebut untuk mengurangkan kerugian yang dialami," ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya telah menutup kawasan tersebut dan kesemua al-Quran terbabit juga ditutup dengan rapi bagi mengelakkan ia disalah guna.
Kawasan tersebut kini di bawah pemantauan polis sehingga siasatan selesai dan tindakan susulan diambil.

Tangguhkan perjalanan ke Yaman



KEADAAN di Sana'a dan Aden, Yaman kini semakin tegang
ekoran golongan prodemokrasi bertempur dengan pihak keselamatan kerajaan

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang bercadang melawat Yemen agar menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan keselamatan di negara itu pulih seperti biasa.
Semua rakyat Malaysia yang berada di negara itu juga dinasihatkan agar segera mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Sana'a, ibu negara Yemen, sekiranya mereka belum berbuat demikian.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, pihaknya telah menghubungi semua rakyat Malaysia yang berada di Yemen dan menasihatkan mereka supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan dan mengikuti perkembangan keselamatan semasa berada di negara itu.
Kementerian sentiasa memantau perkembangan situasi semasa di Yemen dan meminta penuntut dan rakyat Malaysia yang bekerja atau melawat negara itu agar kembali secara sukarela ke Malaysia setelah urusan mereka selesai.
Langkah itu dibuat ekoran situasi di Yemen pada masa ini khususnya di Sana'a dan Aden bertambah kritikal selepas pihak prodemokrasi bertempur dengan pihak keselamatan kerajaan, menurut kementerian itu. - Bernama

Terbang dengan sut sayap


SUT sayap yang dipakai oleh Jeb Corliss dapat dilihat dengan jelas selepas dia berjaya melalui lubang gua itu.



BEIJING - Seorang pelagak ngeri, Jeb Corliss dari Amerika Syarikat (AS) terbang dengan menggunakan sut sayap melalui sebuah gua di pergunungan Tianmen, dekat Zhangjiajie, wilayah Hunan.
Corliss yang berusia 34 tahun berjaya terbang dengan menggunakan sut tersebut dengan melalui celah lubang gua itu kelmarin.
Dia terjun dari sebuah helikopter pada ketinggian 1,828 meter dengan kelajuan lebih 120 kilometer sejam dengan menggunakan sut berenjin.
Sayap itu mempunyai membran nipis di antara badan dengan lengannya.
Bagaimanapun, dia hanya berjaya melakukan aksi itu menerusi percubaan yang kedua selepas percubaan kali pertamanya gagal disebabkan oleh masalah teknikal apabila asap keluar dari sut tersebut.
Dalam percubaan kali kedua, dia akhirnya berjaya melepasi gua berkenaan dan mendarat dengan menggunakan payung terjun.
Corliss merupakan lelaki bersayap yang pertama terbang melalui sebuah lubang gua di China.
Dia sebelum ini pernah terbang di celah air terjun di banjaran Alps Switzerland. - Agensi

Hantar mesej di Facebook selepas bunuh suami

JENNIFER LYNN HEARN

MELBOURNE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita berusia 40 tahun, Jennifer Lynn Hearn ditangkap selepas polis menyatakan bahawa dia menembak mati suaminya dalam satu pergaduhan dan menanamnya di sebuah kandang babi.
Dia kemudian menghantar mesej di Facebook dengan menyatakan bahawa suaminya, Carl Cliff Hearn berusia 41 tahun telah meninggalkannya selain menyatakan kegembiraan kerana menjadi bujang semula.
Wanita itu ditahan atas dakwaan melakukan pembunuhan kelas kedua baru-baru ini selepas ejen-ejen syerif menemui tinggalan mayat suaminya.
Mayat suaminya itu ditemui di dalam kandang babi di rumah keluarganya di Melbourne, Florida.
Selepas pejabat syerif menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, Hearn memberitahu para penyiasat bahawa dia menembak suaminya dalam satu pergaduhan. - Agensi

Tak mengaku salah kerat kemaluan suami

CATHERINE KIEU

WESTMINSTER - Seorang wanita California, Catherine Kieu tidak mengaku bersalah mengerat kemaluan suaminya dan membuangnya di dalam pengisar sampah.
Dia membuat pengakuan itu di Mahkamah Daerah Orange, di sini pada Jumaat lalu berhubung dakwaan melakukan penyeksaan dan menambahkan kacau-bilau.
Kieu juga didakwa menggunakan pisau dan menyebabkan kecederaan.
Jika disabitkan dengan semua kesalahan itu, dia akan dikenakan penjara seumur hidup tanpa dikenakan parol.
Wanita itu ditahan dengan wang ikat jamin sebanyak AS$1 juta (RM3.16 juta).
Pihak berkuasa berkata, wanita itu membubuh dadah di dalam makanan suaminya yang berusia 60 tahun pada 11 Julai lalu.
Dia kemudian mengikat tangan dan kaki suaminya di katil.
Pihak berkuasa menyatakan Kieu mengerat kemaluan suaminya semasa dia terjaga selepas tertidur.
Suaminya itu telah memfailkan perceraian pada Mei lalu selepas 16 bulan mereka mendirikan rumah tangga.- AP

Kapal selam buatan kayu ditemui


AFP
KAPAL selam buatan sendiri yang dtemui pada Jumaat lalu dipindahkan dari pelabuhan Buenaventura, Colombia pada Sabtu lalu.


MAYORQUIN - Polis di barat daya Colombia merampas sebuah kapal selam buatan sendiri dekat pelabuhan Buenaventura, pada Jumaat lalu.
Kapal selam yang dirampas itu adalah milik kumpulan pemberontak komunis, Pasukan Bersenjata Revolusi Barisan Ke-29 (FARC).
Pihak berkuasa Colombia menyatakan bahawa kapal selam itu mungkin digunakan untuk membawa tujuh tan kokain secara haram ke pelabuhan-pelabuhan di Amerika Tengah.


REUTER SEORANG anggota polis memeriksa sebuah kapal selam buatan sendiri dekat pelabuhan Buenaventura, Colombia pada Jumaat lalu.



Menurut seorang pegawai polis, Jeneral Luis Alberto Perez Alvarado, kapal selam itu kemungkinan salah sebuah yang terbesar pernah dirampas oleh pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, kapal selam itu masih belum membuat selaman yang pertama.
Kapal selam itu sepanjang 16 meter dan diperbuat daripada kayu dan gentian kaca.
Ia boleh membawa sehingga 10 tan dadah kokain dan lima orang anak kapal.
- Agensi

Wanita ditahan seks dengan anjing

KENT - Seorang wanita telah ditahan kerana mengadakan hubungan seks dengan seekor anjing.
Wanita itu, Tracy Woolridge yang berusia 45 tahun ditahan selepas pihak polis menemui imej gambar dan rakaman di dalam rumahnya.
Woolridge mengaku bersalah di atas dua tuduhan mengadakan hubungan seks iaitu dengan seekor haiwan dan aktiviti seksual dengan seorang kanak-kanak di Mahkamah Mahkota Canterbury baru-baru ini.
Dia akan dihukum pada November depan. - Agensi

Pesawat bawa pelancong Everest terhempas


BEBERAPA anggota polis melihat serpihan pesawat Buddha Air di Lalitpur, India semalam. - Reuters

KATHMANDU - Sebuah pesawat ringan yang membawa sejumlah pelancong bersiar-siar pada waktu pagi di sekitar Gunung Everest terhempas dan mengorbankan kesemua 19 orang yang menaikinya.
Pesawat Buddha Air Beechcraft yang terbang membawa 10 penumpang India, tiga pelancong asing, tiga penduduk tempatan dan tiga kru dari Nepal, terhempas dalam hujan lebat dan kabus tebal berhampiran Godavari, kira-kira 10 kilometer dari Kathmandu.
"Semua 19 orang sudah meninggal dunia. Pesawat tersebut dalam perjalanan balik dari kawasan pergunungan apabila ia merempuh Bukit Kotdada," kata Ketua Jabatan Penyelamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuwan, Bimlesh Lal Karna.
Menurut jurucakap polis, Binod Singh, seorang penumpang berjaya diselamatkan namun dia meninggal di sebuah hospital.
Tambahnya, operasi menyelamat sukar dijalankan kerana hujan lebat.
Beberapa stesen televisyen tempatan melaporkan sejumlah saksi melihat kebakaran dari pesawat itu sebelum ia terhempas.
"Pesawat itu terbang amat rendah. Kami berasa terkejut. Ia terhempas ke sebuah bukit dan terdapat satu letupan kuat," kata seorang saksi kepada rangkaian berita Avenues Television.
"Kami mendaki selama satu setengah jam tanpa mengambil rehat untuk tiba di lokasi kejadian.
"Cebisan mayat manusia dapat dilihat," tambahnya.
Syarikat Buddha Air menawarkan bayaran sebanyak 8,240 rupee (RM528.56) untuk pakej Everest yang mengambil pelancong dari Kathmandu dan terbang di sekitar kawasan pergunungan dunia itu. - AFP

Pengebom berani mati serang gereja di Solo, Indonesia


Reuters
SATU mayat seorang pengebom berani mati terbaring di depan pintu gereja Injil Bethel di Solo, Jawa Tengah semalam.


SOLO - Seorang pengebom berani mati menyerang sebuah gereja semalam menyebabkan 27 orang cedera, sebahagiannya kritikal manakala para penganut keluar ke jalan raya dalam keadaan panik.
Ia merupakan kejadian terbaharu dalam satu siri serangan ke atas kumpulan-kumpulan minoriti di negara ini yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia.
Bandar Solo yang didiami kira-kira 500,000 orang merupakan tempat kediaman seorang guru agama, Abu Bakar Bashir yang dipenjarakan Jun lalu kerana terlibat selama 15 tahun dalam sebuah kumpulan pengganas.
Seorang penganut Kristian, Kristanto berkata, dia dan isterinya bersedia untuk meninggalkan gereja Injil Bethel apabila bom tersebut menggegarkan bangunan berkenaan.
"Terdapat jeritan dan histeria. Suasana aman semalam telah menjadi situasi yang kelam-kabut," katanya.
Pengebom tersebut berada di dalam gereja bersama dengan penganut Kristian lain semasa dia bangun dan meletupkan bom ketika dalam perjalanan pulang.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Awam, Djoko Suyanto berkata, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengutuk keras perbuatan keganasan itu. - AFP

Kabinet Israel bincang rundingan damai



SEORANG budak lelaki mengibarkan bendera pasukan keselamatan Palestin 
di bandar Ramallah sebelum ketibaan Mahmoud Abbas dari New York semalam.

BAITULMUQADDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menyatakan bahawa kerajaannya perlu menerima satu cadangan daripada pengantara antarabangsa supaya rundingan damai Israel-Palestin diadakan semula.
Pengantara itu yang dikenali sebagai Kuartet Asia Barat menyatakan baru-baru ini bahawa kedua-dua pihak perlu kembali untuk berunding dalam tempoh sebulan.
Menurut pengantara tersebut, kedua-dua pihak perlu untuk mencapai satu penyelesaian menjelang tahun 2012.
Kenyataan itu dibuat selepas Palestin meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf kemerdekaannya tanpa satu perjanjian keamanan.
lieberman menyatakan semalam bahawa Israel patut menerima cadangan pengantara antarabangsa tersebut kerana ia tidak mempunyai sebarang syarat.
Menurut pihak Palestin, rundingan akan hanya boleh diadakan jika ia turut melibatkan pembekuan penempatan haram Yahudi.
Kabinet Israel dijangka membuat keputusan berhubung dengan cadangan tersebut dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas diberikan sambutan sebagai wira oleh ribuan penduduk semasa dia tiba di Ramallah, Tebing Barat semalam.
Mahmoud mengemukakan surat permohonan di PBB, New York bagi menjadikan Palestin sebagai anggota badan dunia itu pada minggu lalu.
Dia turut mengulangi bahawa Palestin tidak akan berunding tanpa pemberhentian penempatan haram Yahudi.
"Tiada sebarang rundingan tanpa kesahihan antarabangsa dan pemberhentian sepenuhnya penempatan haram (Yahudi)," kata Mahmoud. - Agensi

Sunday, September 25, 2011

Presiden Yaman kembali ke tanah air

SANAA: Presiden Yaman, Encik Ali Abdullah Saleh, semalam kembali ke tanah airnya selepas tiga bulan berada di Arab Saudi kerana menerima rawatan perubatan.
Encik Saleh cedera parah dalam satu percubaan membunuh beliau di kediamannya pada Jun lalu.'Ali Abdullah Saleh, Presiden republik ini, telah kembali dengan selamat pagi ini ke tanah air selepas menjalani rawatan lebih tiga bulan di Riyadh,' lapor saluran Yemen Television.Encik Saleh pulang pada ketika keganasan terus meningkat sejak beberapa hari lalu di Sanaa.Selang beberapa minit pengumuman tersebut dibuat, tembakan senjata dan letupan kedengaran di ibu kota Yaman itu.Encik Saleh telah memerintah sejak 33 tahun lalu dan enggan berundur di sebalik desakan agar menandatangani pelan peralihan kuasa.Pemberontak di Yaman bermula pada Januari lalu.Amerika Syarikat, Arab Saudi dan beberapa negara lain telah melahirkan kebimbangan tentang kekacauan di negara itu, yang mungkin dieksploit kumpulan pengganas Al-Qaeda di Yaman.Sejauh ini, anggota militan Al-Qaeda telah pun merampas kuasa di beberapa wilayah negara itu. -- Reuters.

'Kanak-kanak' 22 tahun

MASALAH TUMBESARAN: Cik Zaharah sedang melayan anak gadisnya, Mafuzah, yang berusia 22 tahun, tetapi hanya setinggi 90 sentimeter. Mafuzah tidak dapat berdiri lama dan terpaksa merangkak seperti bayi. - Foto HARIAN METRO
MUADZAM SHAH (Pahang): Melihat saiz tubuh serta ketinggiannya yang hanya 90 sentimeter, pasti ramai menyangka dia kanak-kanak berusia tidak lebih dua atau tiga tahun.

Bagaimanapun, pada hakikatnya, Cik Mafuzah Amaran, yang menetap di Bandar Tun Razak, di sini, sebenarnya berusia 22 tahun.Cik Mafuzah, yang menghadapi masalah tumbesaran, juga sukar berjalan dan tidak boleh berdiri lama, sebaliknya merangkak seperti bayi untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.


Adalah dipercayai beliau terbantut ketika dalam kandungan akibat kekurangan bekalan oksigen atau gangguan aliran darah.Ibunya, Cik Zaharah Syukor, 56 tahun, berkata masalah tumbesaran anak ketujuh daripada 11 beradik itu mula dikesan selepas dilahirkan kerana tidak menyamai pembesaran kembarnya, Manisah, yang dilahirkan kira-kira 25 minit lebih awal.


'Ketika mengandungkan mereka, saya tidak tahu akan melahirkan anak kembar kerana doktor yang menjalankan pemeriksaan tidak mengesan kehadiran seorang lagi bayi.'Selepas melahirkan Manisah, kira-kira 25 minit kemudian, jururawat yang membantu doktor menyambut kelahiran anak memberitahu ada seorang lagi bayi,


' katanya ketika ditemui.Menurut Cik Zaharah, selepas beberapa bulan kemudian, beliau menyedari anaknya itu tidak membesar seperti Manisah, lantas membawanya berjumpa doktor.Bagaimanapun, doktor memberitahu beliau bahawa Mafuzah tidak mengalami sebarang penyakit dan tubuhnya sihat seperti bayi lain.'Apa pun, saya bersyukur dengan kurniaan Tuhan kerana menganggap anak saya ini seorang insan istimewa.


'Bukan semua ibu memperoleh anak sepertinya dan kurniaan ini saya anggap umpama satu dalam seribu,' kata Cik Zaharah sambil menambah, walaupun Cik Mafuzah tidak boleh bertutur dan hanya boleh menyebut beberapa perkataan tertentu, dia seorang gadis yang pembersih.Cik Mafuzah juga didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh bantuan RM300 ($123) sebulan. -- Harian Metro.

Bapa jerit minta tolong

Mohd. Puad Zarkashi menyampaikan sumbangan dan mengucapkan
takziah kepada Rohana Md. Amin (kiri) di Kampung Parit Jabar
Laut, Senggarang, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 24 Sept. - "Buka pintu ini Boboi, cepat tolong ayah, panas!".
Itu jeritan terakhir seorang bapa, Hasan Dg. Patangga, 68, kepada anak bongsunya, Ahmad Borhan, 15, sebelum warga emas itu ditemui rentung dalam rumahnya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, Hasan yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit itu maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus terbakar.
Ketika kejadian, hanya Hasan bersama isterinya, Rohana Md. Amin, 53, yang mengalami penyakit angin ahmar dan anak bongsunya berada di rumah.
Bagaimanapun, Rohana dan Ahmad Borhan berjaya menyelamatkan diri.
Dua lagi anak pasangan itu iaitu Norashima, 20, menuntut di Kolej Teknikal Yayasan Melaka dan Nor Ummi, 17, di Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya.
Tambah menyedihkan arwah menjadi tempat keluarga itu bergantung untuk mencari rezeki kerana keadaan kesihatan Rohana ditambah pula keadaan Nor Ummi yang menghadapi masalah penglihatan.
Menurut Rohana, dia terdengar letupan kuat seperti mercun sebelum melihat api dan asap menyelubungi rumah.
Dia yang panik bergegas mengejutkan suami dan Ahmad Borhan yang tidur di bilik lain.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian itu manakala Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Akob Sidik menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut melawat dan menyampaikan bantuan sebanyak RM25,000 kepada keluarga Rohana untuk meringankan beban ditanggung mereka.

Hamba seks: Ketua polis mohon maaf



SHANGHAI 24 Sept. - Seorang ketua polis tempatan memohon maaf dan menggantung empat orang pegawai polis berhubung insiden seorang lelaki yang dikatakan menahan enam orang wanita sebagai hamba seks di dalam sebuah penjara bawah tanah selama dua tahun dan membunuh dua orang daripada mereka.
Media di China semalam melaporkan polis di Luoyang, wilayah Henan menahan ahli bomba yang telah bersara, Li Hao, 34, atas kesalahan membunuh dua orang wanita yang diculiknya.
Pengarah biro keselamatan awam Luoyang, Guo Congbin berkata, kes tersebut menunjukkan kawalan keselamatan komuniti amat lemah dan pegawai-pegawai polis tidak bertanggungjawab.
“Sebagai ketua polis, saya memikul tanggungjawab tersebut,” kata Guo, sambil menambah kata, beliau telah menggantung empat pegawai polis yang terlibat dalam kes itu.
Li yang ditahan pada 6 September lalu menculik enam orang pekerja kelab malam dan pusat karaoke serta merogol mereka berkali-kali.
Dia memastikan mangsa-mangsanya sentiasa berada di dalam keadaan lemah bagi mengelakkan mereka melarikan diri dengan memberikan mereka makan sekali sahaja setiap dua hari.
Wanita-wanita tersebut dibenarkan keluar dari ruang bawah tanah ketika Li kesempitan wang, lalu memaksa mereka mengadakan hubungan seks dengan lelaki lain untuk mendapatkan wang.
Seorang mangsa berusia 23 tahun berjaya melepaskan diri ketika dipaksa memberikan perkhidmatan seks kepada lelaki lain lalu membawa polis ke rumah tertuduh. – Reuters