Pages

Monday, September 26, 2011

Gaddafi, anak-anak didakwa rogol wanita

VALLETTA, Malta 25 Sept. - Seorang pakar psikologi mendakwa bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi dan anak-anak lelakinya telah melakukan jenayah rogol terhadap wanita ketika Libya dilanda konflik.
Pakar psikologi terbabit dari Benghazi, Seham Sergewa mendakwa terdapat bukti Gaddafi dan anak-anak lelakinya melakukan jenayah terebut.
Seham berkata, beliau akan meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi dan anak-anak lelakinya berhubung dakwaannya itu.
Dakwanya, lima wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan Gaddafi telah bersetuju untuk memberi keterangan bahawa mereka telah dirogol oleh Gaddafi dan anak-anak lelakinya.
"Sebagai pihak kepada wanita-wanita ini dan rakyat Libya, saya gembira kerana ICC telah bersedia menerima saya," katanya.
Pada 27 Jun lalu, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi, anak lelaki sulungnya, Saif al-Islam dan bekas ketua perisikan tentera, Abdullah al-Senussi atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.
"Anak lelaki Gaddafi yang mengetuai jenayah rogol bergilir-gilir itu," dakwanya merujuk kepada bukti yang menunjukkan beribu-ribu wanita telah dirogol sepanjang Libya berhadapan dengan konflik.
Sergewa mendakwa mangsa pada awalnya dirogol oleh Gaddafi sebelum diserahkan kepada anak-anak lelakinya dan kemudiannya kepada pegawai-pegawai berpangkat tinggi dan dibebaskan. - dpa

No comments: