Pages

Monday, August 1, 2011

62 korban protes di Syria

AMMAN 31 Julai - Sekurang-kurangnya 62 penduduk awam terkorban apabila kereta kebal Syria menggempur Hama pada subuh hari ini untuk menghancurkan protes besar-besaran menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, selepas mengepung bandar itu selama hampir sebulan.
Seorang doktor berkata, sejumlah 62 mayat dibawa ke hospital-hospital Badr, al-Horani dan Hikmeh di bandar di tengah Syria itu.
Lebih 100 lagi cedera dan hospital mengalami kekurangan bekalan darah, katanya menerusi telefon dari Hama, yang mempunyai kira-kira 700,000 penduduk.
"Kereta kebal menyerang dari empat arah, melepaskan tembakan mesingan berat secara rambang dan merempuh sekatan jalan yang didirikan oleh penduduk," kata doktor itu.
Seorang penduduk berkata, banyak mayat bergelimpangan di jalan raya dan penembak curi tentera memanjat ke bumbung bangunan syarikat elektrik kerajaan dan penjara utama.
Tembakan meriam kereta kebal kedengaran pada kadar empat seminit di sekitar utara Hama manakala bekalan elektrik dan air ke kawasan kediaman utama diputuskan, taktik yang biasa digunakan oleh tentera apabila menggempur sesebuah bandar untuk menghancurkan protes, kata penduduk.
Bashar yang sudah memerintah selama 11 tahun sedang berusaha untuk menghancurkan pemberontakan yang meletus pada Mac lalu dan kini merebak ke seluruh negara ini.
Pihak berkuasa Syria sudah mengusir kebanyakan wartawan bebas, menjadikan sukar untuk mengesahkan laporan mengenai pertempuran.
Hama menjadi medan pembunuhan beramai-ramai pada 1982 apabila bapa Bashar, bekas Presiden Hafez al-Assad mengerahkan tentera untuk menghancurkan pemberontakan puak berhaluan Islam.
Askar Hafez menyerang kawasan kediaman dan membunuh 30,000 penduduk dalam episod paling berdarah dalam sejarah Syria moden.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dahulunya antara sekutu utama Bashar, pada Mei lalu memberi amaran, 'kita tidak mahu melihat berlaku lagi pembunuhan beramai-ramai di Hama'. - Reuters
http://www.utusan.com.my

No comments: