Pages

Sunday, July 10, 2011

AS iktiraf Sudan Selatan

Sejumlah penduduk berhimpun bagi meraikan kemerdekaan Sudan Selatan di sebatang jalan raya di Juba semalam.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberikan pengiktirafan kepada Sudan Selatan yang kaya dengan minyak sebagai sebuah negara yang merdeka semalam.

“Saya dengan bangga mengisytiharkan bahawa AS secara rasminya mengiktiraf Republik Sudan Selatan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat bermula pada hari ini, 9 Julai 2011.

“Hari ini merupakan satu peringatan bahawa selepas kegelapan akibat perang, kemunculan satu cahaya mentari subuh boleh berlaku,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika penduduk bersorak dan berarak di jalanan bagi meraikan kemerdekaan di negara itu daripada Sudan Utara.

Negara itu memperoleh kemerdekaan menerusi satu pungutan suara yang diadakan pada Januari lalu yang diadakan setelah satu perjanjian damai diadakan bagi menamatkan perang saudara dengan Sudan Utara yang melibatkan kematian berjuta-juta penduduk.

Obama berjanji akan menjalin kerjasama dengan Sudan Selatan yang mempunyai kira-kira 8.2 juta penduduk dalam aspek pembangunan, pentadbiran yang baik dan keselamatan.

Bekas ketua pemberontak yang berusia 60 tahun dan berjuang dalam perang gerila menentang Sudan Utara pada 1983 hingga 2005, Salva Kiir mengangkat sumpah sebagai presiden pertama negara itu dalam satu majlis yang juga diadakan semalam di ibu kota negara itu, Juba.

Bagaimanapun, Obama tidak membuat sebarang pengumuman bagi mengubah sekatan yang dikenakan ke atas Sudan Utara yang dipimpin oleh Omar Hassan al-Bashir yang diharapkan akan ditarik balik ekoran kewujudan Sudan Selatan.

AS melakukan sekatan perdagangan ke atas Sudan Utara sejak 1997 selain disenaraikan sebagai sebuah negara yang menyokong keganasan.

Beberapa isu serius masih berlaku di antara kedua-dua buah negara itu yang masih belum selesai iaitu cara untuk mengendalikan hasil minyak, pemilikan wilayah Abyei dan garisan sempadan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments: