Pages

Friday, June 10, 2011

Sembilan Maut Dalam Serangan Di Afghanistan


JALALABAD: Sembilan maut manakala lima lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah majlis perkahwinan di Timur Afghanistan dan melepaskan tembakan, kata jurucakap wilayah itu, Ahmad Zia Abdulzai pada Khamis.
Pengantin lelaki merupakan saudara kepada Pegawai Daerah Dur Baba yang terletak di wilayah Nangarhar.
Menurut Ahmad, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera dalam serangan itu terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
"Sembilan terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan kumpulan militan di daerah Dur Baba, malam semalam," katanya.
Ahmad berkata, sekumpulan lelaki bersenjata itu menyerbu masuk ke dalam sebuah rumah, tempat majlis perkahwinan itu diadakan.
Kumpulan Taliban dan beberapa kumpulan pemberontak lain sering menjadikan pegawai kerajaan, polis dan askar di Afghanistan sebagai sasaran dalam serangan mereka.
Pemberontakan hampir 10 tahun itu dilakukan bagi menentang pemerintahan Presiden Hamid Karzai dan dianggarkan kira-kira 130,000 anggota tentera yang diketuai Amerika Syarikat masih berada di Afghanistan untuk melumpuhkan gerakan militan tersebut.
Wilayah Timur Afghanistan dan kedudukannya berhampiran dengan sempadan Pakistan sering menjadi sarang penganas dan tempat persembunyian puak Taliban dan beberapa kumpulan pemberontak lain.
mStar Online : Sembilan Maut Dalam Serangan Di Afghanistan

No comments: