Pages

Friday, June 10, 2011

Lelaki direman kes rasuah bola



LELAKI disyaki bookie perlawanan bola sepak Piala Presiden ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
LELAKI disyaki bookie perlawanan bola sepak Piala Presiden ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Ahli perniagaan Singapura ditahan selepas keterangan pemain T-Team

KUALA TERENGGANU: Seorang ahli perniagaan dari Singapura ditahan reman empat hari hingga Ahad ini untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan mengatur perlawanan membabitkan pasukan Piala Presiden T-Team musim lalu.

Difahamkan lelaki yang berusia 51 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 3 petang semalam, ditahan anggota SPRM di Negeri Sembilan kelmarin untuk membantu siasatan kes itu.
Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zin ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu, selepas SPRM mengambil keterangan 25 pemain T-Team sejak minggu lalu.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, pengurusan T-Team musim lalu memaklumkan sudah dihubungi pegawai SPRM dan akan memberi keterangan dalam masa terdekat berhubung pendedahan rasuah membabitkan bekas pemain pasukan itu.

Akhbar ini turut melaporkan pengakuan seorang bekas pemain pasukan bawah 21 tahun Piala Presiden T-Team tahun lalu yang mengambil rasuah daripada bookie yang jumlahnya lebih enam kali ganda daripada pendapatannya yang tidak sampai RM1,000 sebulan untuk menampung gaya hidup mewahnya.

Pembongkaran ini bermula selepas bekas pengurus pasukan, Mohd Sabri Abas, membuat pengakuan mengenai pembabitan sekurang-kurangnya lapan pemain terbabit dengan rasuah dalam Liga Piala Presiden musim lalu.

Sabri berkata, lapan pemain itu ditamatkan kontrak kerana disyaki terbabit dengan rasuah, namun pengurusan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Selepas pengakuan Sabri disiarkan akhbar, seorang jurulatih Piala Presiden T-Team yang enggan dikenali mendedahkan pengakuan beberapa pemain yang menerima wang suapan untuk mengatur perlawanan.

Jurulatih itu berkata, dia dihubungi seorang yang mengaku sebagai bookie, sebelum diberitahu nama pemain yang terbabit dengan rasuah bola sepak dan jumlah yang disogokkan kepada pemain.

Jurulatih itu menjalankan siasatannya sendiri dan mendapati ada di antara pemainnya yang mempunyai RM27,000 dalam akaunnya, namun gagal menjelaskan dari mana datangnya wang sebanyak itu. Berita Harian Online | Lelaki direman kes rasuah bola

No comments: