Pages

Sunday, May 29, 2011

Video seks Turki: 13 hadapi aduan jenayah






ISTANBUL 28 Mei - Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) memfailkan aduan jenayah terhadap 13 individu kerana mendesak pemimpin parti itu, Devlet Behceli (gambar) meletak jawatan ekoran skandal video seks yang melibatkan beberapa pemimpin kanan parti tersebut.
Peguam anggota MHP yang menjadi mangsa skandal itu dan meletakkan jawatan masing-masing, Mehmet Didinmez dan Ihsan Barutcu memfailkan aduan tersebut kepada pendakwa raya khas yang menyiasat kes itu di Istanbul.
Peguam tersebut berkata, mereka memfailkan aduan terhadap 11 wartawan; Datuk Bandar Ankara, Melih Gokcek; dan penerbit satu siri televisyen.
"Beberapa wartawan dan ahli politik meminta Bahceli meletak jawatan dan bercakap tentang lebih banyak rakaman video yang sama.
"Ancaman mereka sama dengan niatkomplot organisasi yang merancang jenayah ini, ia disebarkan melalui ruangan akhbar, ulasan dan siaran televisyen.
"Ia tidak ada beza dengan ugutan yang dilakukan oleh pertubuhan jenayah,'' kata peguam tersebut.
Antara wartawan terlibat ialah Huseyin Gulerce, Ergun Babahan, Hasan Karakaya, Abdurrahim Karakoc, Abdulkadir Selvi, Mumtazer Turkone, Rasim Ozan Kutahyal, Serdar Arseven dan Abdurrahman Dilipak.
Diminta mengulas tentang permohonan MHP kepada Lembaga Pilihan Raya Turki (YSK) untuk menghalang isu rakaman video itu digunakan oleh parti politik ketika berkempen, Bahceli berkata, ia merupakan satu amalan demokratik.
Beliau juga meminta Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan mengambil tindakan terhadap skandal rakaman seks tersebut.
"Berbanding bercakap mengenai isu itu dalam kempen pilihan raya, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan untuk mencari dalangnya. Ia merupakan satu tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat itu perlu mendedahkannya,'' ujarnya. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: