Pages

Sunday, May 8, 2011

Tentera Syria gempur Sunnah



GAMBAR telefon bimbit menunjukkan penunjuk perasaan berhimpun di kota Banias sambil menjerit slogan anti pemerintah, kelmarin.
GAMBAR telefon bimbit menunjukkan penunjuk perasaan berhimpun di kota Banias sambil menjerit slogan anti pemerintah, kelmarin.

Kereta kebal masuk bandar Banias bagi tamatkan bantahan

AMMAN: Kereta kebal tentera Syria menggempur bandar Banias yang kebanyakan penduduknya daripada mazhab Sunnah semalam meskipun Amerika Syarikat memberi amaran kepada Damsyik berhenti membunuh penunjuk perasaan warga tempatan.
Tindakan pemerintah yang dikuasai keluarga Presiden Bashar al-Assad daripada mazhab Alawiyah meningkatkan ketegangan antara dua penganut mazhab selepas 27 penunjuk perasaan maut, kelmarin.
Tentera Syria memasuki Banias daripada tiga penjuru dan mara ke kawasan penduduk Sunnah tetapi tidak memasuki kawasan penganut Alawiyah, kata aktivis hak asasi manusia.

Sebahagian besar komunikasi dengan Banias terputus tetapi aktivis terbabit dapat menghubungi beberapa penduduk bagi mendapatkan maklumat dari sana.

“Penduduk berkata mereka dengar tembakan membabitkan senjata berat selain melihat beberapa bot tentera laut dekat pantai Banias.

“Kawasan penduduk Sunnah dan kejiranan pelbagai etnik dikepung sepenuhnya,” kata aktivis itu yang enggan identitinya didedahkan.
Protes antipemerintah berterusan di Banias sejak pemberontakan meletus di bandar selatan, Deraa, tujuh minggu lalu dengan penunjuk perasaan menuntut kebebasan politik dan rasuah dibanteras.

Pihak berkuasa mendakwa, Banias adalah ‘pusat keganasan golongan Salafi’ dan beberapa kumpulan bersenjata membunuh askar dekat bandar itu.

Pemimpin masyarakat di Banias menafikan tuduhan itu dan sebaliknya menuduh pihak berkuasa cuba menakut-nakutkan penganut Alawiyah, puak yang paling ramai mendapat jawatan kanan tentera dan agensi keselamatan Syria.

Bashar pula menuduh bantahan itu sebahagian konspirasi asing bagi mencetuskan ketegangan antara penganut agama di negaranya.

Bapanya, Hafez, menggunakan bahasa sama ketika menghancurkan bantahan golongan agama dan sekular terhadap pemerintahannya pada 1980-an yang mencapai kemuncak dengan pembunuhan 30,000 penduduk kota Hama.

Seorang pemimpin bantahan awal minggu ini berkata, tentera Syria dan kumpulan bersenjata setia kepada Bashar masuk ke kawasan tengah Banias yang mempunyai 50,000 penduduk dan dikuasai penunjuk perasaan prodemokrasi. – Reuters , bharian

No comments: