SATU kawasan bongkah ais semakin mengecil di timur Greenland. |
BONGKAH ais mencair dekat perairan Ammasalik, Greenland. |
Amaran banjir lebih besar ancam dunia
STOCKHOLM: Ais di Greenland dan keseluruhan Kutub Utara kini mencair lebih pantas berbanding ramalan dan mungkin membantu meningkatkan paras air laut global sehingga 1.524 meter kurun ini, kadar lebih tinggi berbanding yang dijangka, menurut penilaian antarabangsa.
Penemuan itu ‘menekankan langkah perlu diperhebat’ untuk memerangi pemanasan global, menurut laporan Program Penilaian dan Pemantauan Kutub Utara (AMAP), agensi saintifik Majlis Kutub Utara dianggotai lapan negara.
Amaran paras air laut lebih tinggi muncul ketika negara di dunia masih tidak berganjak dalam rundingan dua dekad lamanya bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan gas rumah hijau lain dipersalahkan atas pemanasan global.
Paras air laut meningkat dijangka membawa beberapa kerosakan besar akibat pemanasan global, tenggelamnya pulau kecil sehinggalah banjir di landasan kereta api bawah tanah kota New York.
Paras air laut tidak meningkat secara sama rata di seluruh dunia kerana ombak, angin dan faktor lain berbeza-beza, namun kawasan tanah rendah seperti Bangladesh dan Florida kemungkinan terjejas teruk.
Laporan baru itu, yang mana kesimpulannya diperoleh agensi berita, dijangka dibentangkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton dan menteri luar tujuh negara anggota dalam mesyuarat Majlis Kutub Utara minggu depan di Greenland.
Ia terlebih dulu dibincangkan oleh kira-kira 400 saintis antarabangsa dalam satu persidangan di Copenhagen, Denmark, minggu ini.
Menggariskan teknik penyelidikan yang baru dan kertas saintifik terkini, laporan AMAP menaik taraf ramalan dibuat panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas perubahan iklim dalam penilaian besar-besaran terakhirnya pada 2007.
Pencairan glasier Kutub Utara dan permukaan ais Greenland, dijangka membantu menaikkan paras air laut global kepada 35 hingga 63 inci (90 hingga 160 sentimeter) menjelang 2100, kata AMAP. – AP
INFO
1 comment:
to take notice.. this things has been a long threat to our world.. to the earth. many peole r still unaware about this problem.. not only due to the global warming it self.. but the attitute of most people who doesnt care to protect the earth.. thankz for the sharing ideas and info....
nature_mujahid
Post a Comment