Pages

Sunday, May 8, 2011

Syria guna kereta kebal serbu Banias



NICOSIA 7 Mei - Pasukan tentera Syria yang disokong oleh kereta kebal menyerbu bandar Banias, pusat protes anti-rejim, awal hari ini, ketika penduduk membentuk perisai manusia untuk menyekat operasi tentera itu.
Bekalan elektrik dan komunikasi terputus ketika kereta-kereta kebal tentera memasuki selatan bandar perairan Mediterranean ini yang juga merupakan kubu kuat penunjuk perasaan melalui tiga paksi.
Menurut aktivis yang dihubungi menggunakan telefon dari Nicosia, penunjuk perasaan bertindak membentuk perisai manusia bagi menyekat kemaraan tentera.
Kereta kebal turut mengelilingi bandar Baida yang terletak berdekatan, manakala pasukan tentera mengawal kawasan pantai menggunakan bot.
Operasi tentera ini dilancarkan dua hari selepas konvoi 40 kenderaan tentera ditarik keluar dari bandar Daraa, satu lagi pusat protes anti-rejim yang telah dikepung sejak 25 April lalu.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, lebih 600 orang terbunuh dan 8,000 lagi dipenjara atau hilang sejak tunjuk perasaan tercetus pertengahan Mac lalu di negara ini.
Amerika Syarikat (AS) semalam turut memberi amaran akan mengambil 'langkah tambahan' ke atas Syria jika negara ini terus bertindak keras terhadap penunjuk perasaan, seminggu selepas melaksanakan sekatan ketat.
Kenyataan White House itu dikeluarkan selepas kumpulan hak asasi manusia menyatakan tentera keselamatan Syria menembak mati sekurang-kurangnya 26 penunjuk perasaan ketika protes 'Hari Keingkaran' besar-besaran menentang rejim semalam. - AFP, utusan

No comments: