Penyatuan Putera William dan Kate Middleton berjaya mendekatkan rakyat dengan istana Britain.
BUKAN sekali tetapi dua kucupan, Putera William dan Kate Middleton dengan wajah berseri-seri kini sah sebagai pasangan suami isteri yang akan mewarisi takhta diraja Britain pada masa hadapan.
Mereka kelihatan tenang ketika majlis berlangsung dengan sesekali William dilihat menoleh ke arah Kate. Wajah Kate yang disolek sehingga menonjolkan kejelitaannya ternyata menghidupkan mood skrin televisyen.
Hampir tiga dekad lalu, bapa William, Putera Charles dan Puteri Diana berkahwin di gereja yang sama, namun janji setia di Gereja Westminster itu berakhir dengan perceraian serta pendedahan skandal memalukan oleh akhbar tabloid.
Dianggarkan hampir sejuta penduduk berbaris di sepanjang jalan dari Gereja Westminster ke Istana Buckingham.
Dalam satu acara tradisi di anjung istana, orang ramai bersorak dan bertepuk tangan sebaik saja pengantin diraja itu berkucup sebelum diikuti sorakan 'Cium sekali lagi'.
William dan Kate sentiasa tersenyum dan melambai-lambai tangan. Mereka berkucupan buat kali kedua.
Pakar bahasa badan, Peter Collett, pengarang buku The Book Of Tells, berkata, bahasa badan William dan Kate berbeza sama sekali dengan Charles dan Diana 30 tahun lalu. Gerak-gerak William-Kate menandakan perkahwinan mereka akan bahagia dan berkekalan.
"Pada tahun 1981, terdapat banyak petunjuk perkahwinan Charles-Diana bakal melalui hari yang suram khususnya daripada gerak-geri Charles. Dia kelihatan gelisah, hanya sedikit perhatian diberikan kepada Diana dan semasa upacara itu, Charles mengelap matanya bukan sekali tetapi dua kali - petanda klasik kesedihan bahkan kekecewaan.
"Hari ini kita melihat gambar yang sangat berbeza. William dan Kate disatukan dengan penuh adat istiadat diraja dan mereka gembira di sepanjang majlis.
Dua bilion
"Semasa melambaikan tangan, mereka memandang antara satu sama lain, dan mereka melalui satu lagi momen yang menakjubkan semasa persembahan koir apabila mereka juga memandang serentak antara satu sama lain dan tersenyum bahagia," kata Collett.
Peristiwa di balkoni Istana Buckingham itu merupakan kali pertama William dan Kate dilihat berkucup di depan khalayak.
Dianggarkan sebanyak dua bilion orang menonton perkahwinan yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia itu sekali gus menjadi majlis paling ramai penonton dalam sejarah penyiaran moden.
Seorang penduduk tempatan yang menyaksikan perarakan, Sabry Darwish, 61, berkata, perkahwinan diraja itu menyebabkan ramai yang gembira dan bersatu.
"Semua orang merestui pasangan pengantin diraja," kata Darwish.
Ramai memuji pasangan William dan Kate kerana kedua-duanya dilihat berjiwa rakyat, kelakar dan sopan.
Keluarga Kate hanyalah rakyat kelas pertengahan tetapi mereka berjaya dalam perniagaan mengurus majlis hari lahir.
Walaupun mampu, Kate mengambil keputusan untuk makan gaji selepas tamat pengajian di universiti.
William yang mewarisi pesona ibunya, Puteri Diana membuat lawatan mengejut untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sanggup tidur di tepi jalan pada malam Khamis lalu.
William, 28, sentiasa dekat di hati rakyat berikutan sikapnya yang suka bergurau. Ketika melihat 1,900 tetamu yang menghadiri majlis resepsi perkahwinannya, William sempat berseloroh dengan bapa mertuanya, Michael Middleton.
"Kita sepatutnya menganjurkan majlis kecil khas untuk keluarga," kata William.
Selepas majlis resepsi di Istana Buckingham, William dan Kate mengejutkan orang ramai kerana memandu kereta sport Aston Martin Volante berwarna biru gelap, lengkap dengan reben dan belon manakala nombor pendaftaran tertera plat 'JU5T WED'.
Gaun
Ramai berpendapat William dan Kate cuba membawa keluarga diraja Britain dekat di hati rakyat yang selama ini terpisah jauh.
"Ini merupakan satu titik penting dalam keluarga diraja Britain," kata seorang rakyat negara itu, Nicki Hookings, 47, yang hadir menyaksikan perarakan kelmarin.
Perkahwinan diraja itu turut menjadi saksi keupayaan Kate, 29, menawan hati rakyat Britain. Walaupun berdepan tekanan, Kate mendepani harinya dengan senyuman, bersemangat dan sopan.
Tanpa perasaan canggung, Kate memberi tunduk hormat kepada Ratu Elizabeth II sebelum berkongsi pentas dengan wanita yang ditabal sebagai ratu pada tahun 1952 itu.
"Majlis ini merupakan acara yang paling menggembirakan dunia sekarang," kata seorang peguam dari San Francisco, Laura Claster. Dia sanggup terbang dari Amerika Syarikat ke London untuk menyaksikan perkahwinan William dan Kate.
Seperti lazim majlis berprofil tinggi, para peminat fesyen menjamu mata dengan menyaksikan pelbagai fesyen tetamu yang memasuki Gereja Westminster.
Ada tetamu yang memakai topi berharga £1,000 (RM4,947) sebuah, bagaimanapun kebanyakan mata lebih tertumpu kepada gaun pengantin.
Gaun satin warna putih gading itu direka dengan belahan kolar dramatik hingga ke dada manakala leretan gaun sepanjang 2.7 meter mengembalikan ingatan terhadap gaun yang pernah dipakai Diana di tempat sama pada tahun 1981.
Rambut Kate yang panjang mengurai hingga ke paras pinggang kelihatan cantik di sebalik penutup jaring putih manakala tiara yang tersemat di kepalanya sebenarnya dipinjam daripada Ratu Elizabeth.
Anting-anting bentuk daun oak merupakan hadiah daripada bapanya.
William memakai pakaian istiadat pengawal Ireland yang sinonim dengan kariernya sebagai anggota tentera. Beliau diapit oleh adiknya, Putera Harry yang memakai pakaian rasmi istiadat tentera. Kate diapit oleh adiknya, Pippa Middleton.
Selepas ikrar taat setia dan bertukar-tukar cincin perkahwinan, William dan Kate menaiki kereta kuda melalui jalan terpilih di sekitar kota London.
Ratu Elizabeth turut menganugerahi darjah kebesaran yang membawa gelaran Duke dan Duchess of Cambridge.
Berikutan populariti William yang ditambah pesona Kate, terdapat spekulasi bahawa beliau layak melangkaui Charles untuk menjadi raja Britain.
Ramai menganggap Charles, 62, tidak mesra serta jauh daripada hati rakyat.
Bagaimanapun, sumber istana berkata, Charles sudah menunggu terlalu lama untuk menjadi raja dan tidak akan melepaskan peluang itu sewenang-wenangnya kepada William. - Agensi., kosmo
No comments:
Post a Comment