Pages

Sunday, May 1, 2011

Jangan harap saya akan berundur - Gaddafi


PEMIMPIN Libya, Muammar Gaddafi ketika berucap di televisyen negara itu semalam.


TRIPOLI - Tidak akan berganjak! Muammar Gaddafi berikrar untuk terus berkuasa di Libya tetapi beliau bersetuju supaya rundingan diadakan bagi menamatkan konflik berdarah di negara Afrika utara itu
Dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen tempatan semalam pemimpin Libya itu dengan angkuh berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melepaskan harapan agar beliau berundur.
"Saya tidak akan berundur. Saya juga tidak akan meninggalkan tanah air saya, malah, saya akan berperang hingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.
Namun, dalam nada berdiplomasi pemimpin berusia 68 tahun itu seterusnya berkata: "Kami sedia berunding dengan Perancis dan Amerika Syarikat tetapi tanpa sebarang prasyarat,".
"Jika minyak yang anda mahukan, kami bersedia memeterai kontrak dengan syarikat-syarikat minyak anda (Barat), mengapa kita perlu berperang kerana minyak. Ia tidak berbaloi," ujar Gaddafi.
Pada masa yang sama, pemimpin veteran itu turut menegaskan bahawa rakyat Libya masih sayangkan beliau manakala pemberontak yang kini berperang menentang tenteranya sebenarnya pengganas Al-Qaeda yang berasal dari Algeria, Mesir, Tunisia dan Afghanistan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Gaddafi terus membedil bandar Misrata di barat Libya semalam dan mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang memasuki pelabuhan di bandar tersebut .
Pelabuhan Misrata yang terletak 215 kilometer ke timur ibu negara Libya di sini penting untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan kepada 500,000 penduduknya.
Ia satu-satunya bandar di barat Libya yang dikuasai pemberontak dan terus dikepung oleh tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu.
Ribuan orang terbunuh selepas rakyat Libya memberontak terhadap Gaddafi sejak Februari lalu untuk menuntut pembaharuan politik dan ekonomi selepas diperintah pemimpin tersebut selama lebih empat dekad. - Agensi, kosmo

No comments: