HEMPAP...kereta Proton Persona terbabas dan merempuh rumah mangsa. |
ROSAK...sebahagian rumah mangsa yang dihempap kereta Proton Persona. |
ALOR GAJAH: “Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, anak-anak duduk di beranda sebelum mengaji,” kata Sabrina Taib, 36, menceritakan kejadian sebuah kereta terbabas dan melanggar dinding rumahnya di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, dekat sini, petang kelmarin.
Menurutnya, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki itu terbalik dengan empat tayar di atas dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran.
“Masa itu saya duduk berehat dengan tiga anak saudara di bahagian belakang rumah pusaka itu sambil menonton televisyen kira-kira jam 3.20 petang.
“Tiba-tiba saya dengar dentuman kuat di bahagian depan rumah disusuli bunyi kaca pecah. Mulanya saya terfikir pokok tumbang atau rumah dipecah masuk.
“Disebabkan tidak sedap hati, saya membuka pintu belakang dan berjalan ke hadapan rumah sebelum ternampak sebatang dahan patah, namun tiada pokok tumbang.
“Saya terus berjalan ke depan dan tergamam melihat sebuah kereta terbalik dengan empat tayar di atas di beranda rumah. Sebaik terbau petrol saya terus berlari mendapatkan pertolongan anak saudara untuk mengeluarkan mangsa kemalangan itu,” katanya.
“Kami seperti hilang arah kerana takut sesuatu lebih buruk berlaku iaitu kereta itu meletup sebelum pemandu kereta yang cedera merangkak keluar kira-kira lima minit kemudian dan terus naik ke atas jalan kerana rumah kami berada di bawah tebing di selekoh.
“Kemudian anggota polis tiba diikuti anggota bomba menyembur cecair bagi menghalang limpahan minyak petrol itu,” katanya yang masih terkejut.
Sabrina berkata, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya atau orang lain mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu.
Katanya, kejadian itu kali kedua dan kemalangan pertama berlaku sekitar 1980-an apabila tayar sebuah lori tercabut serta terpelanting ke rumah berkenaan tetapi tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kerosakan.
“Setengah jam sebelum kejadian, suami ada bersama pesakit di sebuah bilik di tepi beranda yang rosak teruk. Kebetulan dia (suami) yang juga pengamal perubatan tradisional pergi merawat pesakit di Tampin, Negeri Sembilan.
“Saya anggarkan kerosakan dialami kira-kira RM20,000,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan menerima laporan kemalangan itu ketika dihubungi petang semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal kenderaannya akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar rumah terbabit.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan serta Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59.myMetro
No comments:
Post a Comment