Pages

Wednesday, May 18, 2011

Ibu pejabat agensi antirasuah Libya antara bangunan diserang Nato

TRIPOLI: Sebuah bangunan perkhidmatan keselamatan dan ibu pejabat agensi antirasuah terbakar di sini semalam selepas menjadi sasaran serangan udara pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Kepulan asap putih kelihatan dari kawasan itu selepas letupan kedengaran sekitar 1.30 pagi (waktu tempatan) dan ia disusuli bunyi siren ambulans.Ketua agensi antirasuah Libya berkata beberapa kakitangannya cedera dalam serangan itu tetapi tidak memberikan butir lanjut.Jurucakap pemerintah Libya, Encik Mussa Ibrahim, berkata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyasarkan agensi tersebut kerana ingin memusnahkan fail-fail berkaitan bekas pegawai rejim yang belot dan menyertai pasukan pemberontak.'Kami percaya Nato telah diperdaya untuk memusnahkan fail-fail berkaitan kes rasuah pegawai itu,' kata Encik Mussa kepada wartawan.Sementara itu, Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin memohon supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Encik Muammar Gaddafi, sehari selepas rejim pemimpin Libya itu menawarkan perdamaian sementara sebagai balasan menghentikan serangan udara yang diketuai Nato itu.Encik Luis Moreno-Ocampo berkata waran berkenaan turut dipohon terhadap anak lelaki Encik Gaddafi, Encik Seif al-Islam, dan Ketua Risikan, Encik Abdullah Senussi, atas jenayah terhadap kemanusiaan.'Kami mempunyai bukti yang sangat kukuh. 
Kami hampir bersedia menjalankan perbicaraan... Gaddafi memerintah Libya melalui rasa takut dan rakyat Libya mula hilang rasa takut itu,' kata Encik Moreno-Ocampo.Pihak pendakwa raya telah mewawancara saksi yang melihat serangan pasukan keselamatan pemerintah ke atas orang awam dan mendapatkan bukti daripada 1,200 dokumen, rakaman video dan foto.Pihak pendakwa raya juga sedang menyiasat dakwaan berlaku kejadian rogol beramai-ramai oleh pasukan keselamatan.
Pegawai Libya, bagaimanapun, mengecam ICC dan menyifatkannya sebagai mahkamah yang diwujudkan pihak Barat untuk menghukum pemimpin-pemimpin Afrika. -- Reuters, AP.Cyberita

No comments: