Pages

Wednesday, May 18, 2011

Hosni Mubarak rayu diberi pengampunan


pix_gal0
Bekas Presiden Mesir mohon maaf kepada rakyat, isteri serah aset

KAHERAH: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak akan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada rakyat negara itu dan merayu diberi pengampunan, tiga bulan selepas beliau digulingkan dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran.
Isteri Mubarak, Suzanne akan menyerahkan asetnya dan bakal dibebaskan daripada tahanan atas langkahnya itu.
Seorang pegawai berkata, siasatan oleh pendakwa raya anti-rasuah mendedahkan bahawa Suzanne memiliki AS$3 juta (RM9.13 juta) dalam akaun bank di Mesir dan sebuah villa di pinggir bandar tempat beliau dan suaminya tinggal.

Tidak jelas berapa banyak wang disimpan Mubarak di luar negara.

Pegawai itu yang enggan dikenali berkata, kes ke atas isteri pemimpin berkenaan belum ditutup namun penyerahan wang terbabit menyebabkan beliau dibebaskan dengan bersyarat.

Mubarak pula sedang merangka surat untuk disiarkan di televisyen Mesir dan negara Arab, memohon maaf bagi pihak diri dan keluarganya atas sebarang kesalahan kepada rakyat, lapor akhbar al-Shorouk.
“Beliau juga akan memohon maaf terhadap sebarang sikap yang berpunca daripada maklumat salah yang diterima daripada penasihatnya,” kata akhbar itu lagi.

Mubarak, 83, dan isterinya Suzanne, 70, ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh dekat Laut Merah, selepas mengalami serangan jantung ketika disoal siasat atas dakwaan rasuah.

Mubarak juga bersedia menyerahkan asetnya kepada kerajaan dalam usaha untuk kemungkinan ‘mendapat pengampunan’ Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” kata al-Shorouk.

Satu sumber tentera memberitahu, beberapa pihak di Mesir dan negara Arab lain, meminta supaya Mubarak diberi pengampunan ‘mengikut kaedah yang boleh diterima undang-undang.’

Pengampunan itu boleh diberi kepada Mubarak, Suzanne dan dua anak lelaki mereka, Alaa dan Gamal yang ditahan di penjara Tora di Kaherah atas dakwaan rasuah.

Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata Alaa dan Gamal, berkemungkinan besar tidak akan diberi pengampunan.

Sekurang-kurangnya 846 orang terbunuh, manakala 6,000 lagi cedera dalam tunjuk perasaan Februari lalu.

Majlis Angkatan Tentera yang mengambil alih pemerintahan sementara berikutan peletakan jawatan Mubarak 11 Februari lalu memberi jaminan untuk membawa semua pemimpin di bawah pemerintahan beliau yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan. – AFP

INFO

Kekayaan keluarga Hosni Mubarak


  • Keluarga Mubarak dianggar memiliki harta bernilai 40 bilion euro (RM172.68 bilion).

  • Kekayaan itu dipercayai hasil sumber mineral Mesir, hartanah, industri pelancongan dan penswastaan.

  • Mereka menyimpan aset dalam akaun bank di seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu.

  • Anak lelaki Mubarak, Gamal, pewaris presiden pula memiliki kekayaan bernilai AS$17 bilion (RM51.72 bilion) sementara seorang lagi anaknya Alaa, memiliki AS$8 bilion (RM24.34 bilion).

  • Isterinya, Suzanne, dianggar memiliki kekayaan antara AS$3 hingga AS$5 bilion (RM9.13 hingga RM15.21 bilion).

  • Keluarga itu memiliki hartanah mewah termasuk rumah bandar Georgia di London, memudahkan mereka membeli-belah di Harrods, serta hartanah di Los Angeles, Washington dan New York.
Berita Harian

No comments: