POLIS Pakistan memeriksa kereta diplomat Arab Saudi yang diserang di Karachi, semalam. |
Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja berdekatan konsulat di Karachi
KARACHI: Seorang diplomat Saudi ditembak mati ketika dalam perjalanan ke tempat kerja berdekatan konsulat di Karachi pagi semalam, serangan kedua terhadap kepentingan Arab Saudi dalam tempoh kurang seminggu dan insiden dikaitkan dengan pembunuhan Osama bin Laden.
Pegawai rasmi dari bahagian media di Kedutaan Arab Saudi mengesahkan lelaki itu sebagai diplomat Arab Saudi yang dikenali sebagai Hassan al Qahtani.
Sebelum ini, pegawai dari kedutaan mengenal pasti beliau sebagai pegawai keselamatan yang bekerja dengan konsulat di Karachi.
Polis Pakistan di Karachi memberitahu AFP yang warga Arab Saudi itu sedang memandu kereta dengan kenderaan bernombor pendaftaran diplomat apabila dua penunggang motosikal melepaskan tembakan di persimpangan di kawasan kejiranan mewah.
“Kakitangan konsulat itu mati akibat kecederaan parah berikutan tembakan beberapa peluru,” kata ketua polis di selatan wilayah Sindh, Fayaaz Leghari.
“Penyerang itu melarikan diri dengan motosikal,” tambahnya.
Pegawai rasmi Kementerian Dalam Negeri, Sharfuddin Memon mengesahkan lelaki yang maut itu sebagai pegawai muda di konsulat itu.
“Kita masih menyiasat sama ada ia berkait dengan operasi Abbottabad atau kejadian terpencil,” katanya merujuk kepada pembunuhan pemimpin al Qaeda kelahiran Arab Saudi itu oleh Tentera Laut Amerika di Abbottabad pada 2 Mei lalu.
Rabu lalu, penyerang melontarkan dua bom tangan ke arah konsulat di Karachi yang pegawai rasmi berkata ia berkemungkinan tindakan balas terhadap Osama. – AFP
No comments:
Post a Comment