DOMINIQUE STRAUSS-KAHN (tengah) bercakap dengan peguamnya, William Taylor (kiri) semasa dia mahu meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi di New York kelmarin. |
NEW YORK - Bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn yang didakwa melakukan serangan seksual dan cubaan merogol terhadap seorang pengemas bilik hotel wanita di Hotel Sofitel di sini pada Sabtu lepas dibenarkan diikat jamin kelmarin oleh hakim sebuah mahkamah sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) dan bon sebanyak AS$5 (RM15 juta).
Ikat jamin itu disertakan dengan syarat dia berkurung di dalam sebuah apartmen di sini.
Sebagai syarat tambahan, seorang pengawal bersenjata akan ditempatkan di apartmen itu manakala Strauss-Kahn perlu memakai alat pengawasan elektronik.
Bekas ketua IMF berusia 62 tahun itu yang juga seorang ahli politik terkenal Perancis kelihatan lega buat seketika selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Michael J. Obus mengumumkan keputusan ikat jamin di dalam bilik mahkamah.
Strauss Kahn kemudian dilihat melemparkan ciuman kepada isterinya di dalam mahkamah.
Bekas ketua IMF itu yang meletakkan jawatan pada Rabu lalu ekoran skandal tersebut dikenakan tujuh tuduhan berhubung serangan seksual terhadap pengemas bilik yang berusia 32 tahun dari Guinea itu.
Dia ditahan di sebuah penjara di Rikers Island di sini selepas ditangkap anggota-anggota Pihak Berkuasa Pelabuhan New York di dalam sebuah pesawat Air France di Lapangan Terbang John F. Kennedy sebelum diserahkan kepada polis pada Sabtu lalu.
Sebelum ini pengemas bilik itu menyatakan bekas ketua IMF itu menariknya ke dalam bilik mandi di bilik hotel penginapan Strauss-Kahn dan memaksanya melakukan seks oral selain cuba menanggalkan seluar dalamnya.
Wanita itu kemudian berjaya melarikan diri dari bilik tersebut dan memberitahu pekerja hotel mengenai kejadian tersebut.
IMF ialah agensi pemberi pinjaman yang dianggotai 187 buah negara. - Agensi, kosmo
No comments:
Post a Comment