|
LETUPAN daripada serangan udara mengakibatkan asap tebal di kawasan Tajura, 30 kilometer dari timur Tripoli. |
NATO yakin operasi di Libya berjaya
VARNA (Bulgaria): Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata rejim Muammar Gaddafi hampir sampai ke penghujung hayatnya.
Setiausaha Agung NATO Anders Fogh Rasmussen berkata demikian semalam ketika presiden Afrika Selatan Jacob Zuma dalam perjalanan ke Libya bagi memujuk Gaddafi berundur dan ketika NATO meningkatkan serangannya terhadap Tripoli.
Britain berkata kelmarin ia akan buat pertama kali dalam kempen menyerang Libya menggunakan bom pemusnah kubu bagi memberi mesej kepada Gaddafi agar berundur.
“Operasi kami di Libya sudah mencapai matlamatnya ... kami sudah mengurangkan keupayaan Gaddafi untuk membunuh rakyatnya sendiri,” Rasmussen memberitahu satu forum NATO di sini semalam.
“Pemerintahan zalim Gaddafi hampir berakhir. Beliau kini semakin disisih bukan saja di luar negara tetapi di negaranya sendiri.”
Britain dan beberapa negara anggota NATO sedang meningkatkan pembabitan masing-masing di Libya bagi memecahkan kebuntuan yang menyaksikan Gaddafi terus berkuasa walaupun ditentang pemberontak yang dibantu serangan udara NATO sejak beberapa minggu lalu.
Gaddafi yang menafikan menyerang orang awam, berkata tentera beliau terpaksa bertindak untuk melawan pemberontak dan militan al-Qaeda.
Pemimpin Afrika Selatan, Zuma yang mewakili Kesatuan Afrika tiba di Tripoli semalam, lawatan keduanya sejak tentangan terhadap pemerintahan empat dekad Gaddafi dicabar bagi mengusahakan gencatan senjata.
Lawatan Zuma sebelum ini tidak membuahkan sebarang hasil berikutan Gaddafi enggan berundur, manakala pemimpin pemberontak meletakkan syarat pengunduran itu sebelum bersetuju untuk diadakan gencatan senjata.
Menteri luar Gaddafi mengadakan perbincangan dengan bekas menteri Britain, Lord David Trefgarne di Tunisia, Sabtu lalu, kata seorang bekas duta ke Libya yang terbabit sama dalam perbincangan itu.
Bagaimanapun bekas duta yang tidak dinamakan itu enggan mengulas mengenai butiran perbincangan.
Britain berkata bom Enhanced Paveway III – setiap satu seberat satu tan berupaya menembus bumbung atau dinding bangunan yang diperkukuhkan.
“Kami bukan mahu menyasarkan individu yang rapat dengan Gaddafi tetapi kami mahu menghantar mesej jelas kepada mereka,” Setiausaha Pertahanan Britain Liam Fox berkata dalam satu kenyataan kelmarin.
“Gaddafi mungkin tidak mahu mendengar tetapi mereka di keliling beliau harus bijak mendengar.”
NATO berkata tindakannya dilakukan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi orang awam daripada diserang tentera Gaddafi.
Namun, tindakan semakin agresif NATO memberi petanda badan itu mungkin akhirnya akan mengerah tentera ke bumi Libya.
Ahad lalu, rangkaian televisyen antarabangsa, Al Jazeera menunjukkan rakaman video kehadiran tentera asing – kemungkinan Britain di Misrata, bandar dikuasai pemberontak.
Britain dan Perancis sebelum ini berkata pihaknya akan meningkatkan pembabitan masing-masing di Libya dengan mengerah helikopter tempur untuk menyerang tentera Gaddafi. – Reuters
Berita Harian Online | ‘Rejim Gaddafi bakal berakhir’