Pages

Monday, May 30, 2011

Ahmadinejad pernah timbang letak jawatan


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, pernah menimbang untuk meletak jawatan selepas pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, menolak keputusannya memecat seorang menteri.


“Presiden menimbangkan untuk meletak jawatan, namun beliau memutuskan adalah lebih baik jika beliau meneruskan kerjanya,” kata Timbalan Speaker Parlimen, Mohammad Reza Bahonar.
Ahmadinejad mengelak menghadiri majlis awam selama 10 hari lewat April sebagai bantahan kepda tindakan Khamenei yang mengenepikan keputusannya memecat Menteri Perisikan, Heydar Moslehi.
Persengketaan itu mencetuskan krisis politik dengan golongan konservatif ultra mengecam keputusan Ahmadinejad sebagai ancaman kepada rejim dan mendesak Presiden supaya bertindak selari dengan kehendak pemimpin.

“Pemimpin agung mahu kerajaan meneruskan kerja sehingga akhir penggalnya,” kata Bahonar merujuk kepada Ogos 2013 iaitu berakhirnya penggal kerajaan Ahamdinejad.

Di bawah perlembagaan, Ahmadinejad tidak layak lagi untuk bertanding pada pemilihan presiden akan datang yang dijangka diadakan pada Jun 2013, kerana sudah memegang jawatan berkenaan dua penggal berturut-turut.

“Kepentingan negara tidak akan dapat dijaga jika kerajaan menjadi lemah. Namun adalah penting bagi kerajaan menjauhkan daripada individu yang melakukan sesuatu yang memesong,” kata Bahonar.
Beliau merujuk kepada ketua staf Ahmadinejad, Esfandiar Rahim Mashaie yang didakwa oleh golongan konservatif ultra menjalankan usaha untuk menjejaskan rejim semasa. – AFP
Berita Harian Online | Ahmadinejad pernah timbang letak jawatan

No comments: