Pages

Saturday, April 30, 2011

Mesir buka sempadan Gaza

KAHERAH: Mesir akan membuka secara tetap pusat menyeberang sempadan bagi mengendurkan sekatan terhadap Gaza.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Luar Mesir, Nabil al-Arabi itu semalam mencetuskan kebimbangan Israel terhadap implikasinya ke atas keselamatan serantau.

Dalam temuramah dengan stesen televisyen Al-Jazeera, Nabil berkata, negaranya akan mengambil ‘langkah penting bagi membantu mengendurkan sekatan terhadap Gaza dalam masa beberapa hari lagi.’ Menurutnya, Mesir tidak mahu terus menutup sempadan Rafah - satu-satunya pintu menyeberang sempadan Gaza yang tidak membabitkan Israel. Beliau juga menyifatkan tindakan negaranya menutup pintu sempadan itu sebagai ‘memalukan.’ Sementara itu, di Baitulmaqdis, seorang pegawai kanan Israel berkata, rejim itu memandang berat mengenai hasrat Mesir itu.

Dia mendakwa, Hamas yang menguasai Gaza sudahpun ‘membina jentera tentera yang berbahaya’ di utara Sinai dan akan bertambah berbahaya jika sempadan itu dibuka.

Pegawai berkenaan juga berkata, Israel tidak senang hati dengan kerajaan baru Mesir yang dilihat berusaha meningkatkan hubungan dengan Hamas. “Kami risau dengan perkembangan di Mesir, dengan suara yang menggesa supaya dibatalkan perjanjian damai, gesaan supaya negara itu meningkatkan hubungan dengan Iran dan Hamas. “Perkembangan itu berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan Israel,” katanya.

Mesir di bawah pemerintahan Hosni Mubarak, menutup pintu seberang sempadan Rafah sebagai menyokong tindakan Israel mengenakan sekatan terhadap wilayah Palestin itu sejak Hamas menguasai wilayah berkenaan pada 2006.


Sejak itu, 1.5 juta penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada terowong yang dibina secara haram untuk mendapatkan keperluan kehidupan mereka. - AFP, mymetro

No comments: