Pages

Monday, March 21, 2011

Libya dihujani peluru berpandu


MISI SELESAI...jet Tornado milik Britain mendarat di pangkalan tentera di Marham, selatan England, selepas menyertai operasi ke atas Libya, semalam.
MISI SELESAI...jet Tornado milik Britain mendarat di pangkalan tentera di Marham, selatan England, selepas menyertai operasi ke atas Libya, semalam.

TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, semalam, dalam campur tangan terbesar Barat di dunia Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.
Televisyen Libya berkata, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu. Stesen penyiaran CBS dalam laman sesawangnya melaporkan, tiga pesawat pengebom Stealth B-2 AS menggugurkan kira-kira 40 bom di sebuah lapangan terbang utama Libya. Bagaimanapun, lapangan terbang berkenaan tidak dinamakan dalam laporan itu.

Pesawat tentera Perancis melancarkan serangan pertama pada awal pagi dalam kempen memaksa tentera Gaddafi menghentikan serangan terhadap orang awam. Serangan itu memusnahkan kereta kebal dan kereta perisai berhampiran Benghazi, kubu kuat pemberontak.

   
  • FotoEJEN GADDAFI...mayat remaja Afrika yang menjadi tentera kerajaan ditendang pemberontak selepas dibunuh di al-Wayfiyah, 35 kilometer di barat Benghazi.
  • FotoPUAS HATI...pemberontak melihat kenderaan milik rejim Gaddafi yang terbakar selepas dibom AS dan sekutunya di Benghazi, semalam.
  • FotoSERANGAN BERMULA...dua kapal laut AS melancarkan Tomahawk bagi melumpuhkan sistem pertahanan Libya.
Pegawai tentera AS berkata, AS dan Britain melancarkan lebih 110 peluru berpandu sepanjang malam dengan menjadikan sistem pertahanan udara di sekitar Tripoli dan Misrata di barat Libya sebagai sasaran.

Menurutnya, AS bekerjasama dengan Britain, Perancis, Kanada dan Itali dalam operasi Odyssey Dawn.
Denmark pula berkata, empat jet pengebomnya bersedia menyertai serangan dan menanti arahan daripada AS.

Sementara itu, Gaddafi menyifatkan serangan itu sebagai ‘penjajahan dan Perang Salib.’
“Kini tiba masanya untuk membuka simpanan dan melengkapkan rakyat dengan semua jenis senjata bagi mempertahankan kemerdekaan, perpaduan dan kehormatan Libya,” katanya dalam mesej disiarkan menerusi televisyen, beberapa jam selepas serangan bermula.


China dan Russia - yang berkecuali dalam pengundian Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan serangan berkenaan - menyuarakan rasa kesal terhadap operasi ketenteraan itu.

Kementerian Luar China berkata, Beijing berharap konflik itu tidak menyebabkan kematian lebih ramai orang awam.
Ketika letupan dan bunyi tembakan antipesawat menggegarkan Tripoli pada awal pagi semalam, ia disusuli laungan takbir yang bergema di sekitar pusat bandar raya itu.

Penduduk Tripoli berkata, mereka mendengar letupan kuat di daerah Tajoura sementara di Misrata, serangan itu mensasarkan sebuah pangkalan tentera udara digunakan tentera Gaddafi.

Seorang saksi di Benghazi melaporkan, empat letupan kuat kedengaran berserta dengan tembakan meriam antipesawat pada sebelah malam tetapi tidak pasti siapa melepaskannya.

Katanya, serangan itu disambut baik penduduk daerah itu.

“Ini akan menamatkan pemerintahan Gaddafi.
“Libya tidak akan melupakan bantuan Perancis. Jika tidak kerana serangan itu, Benghazi pasti ditawan oleh Gaddafi.” katanya.

Khalid al-GGurfaly, 38, berkata mereka terhutang budi kepada Perancis, Britain dan AS serta negara Arab kerana menyokong rakyat Libya.
“Kami menjangka Gaddafi akan melepaskan kemarahannya terhadap orang awam. Justeru, Barat perlu menyerangnya habis-habisan,” katanya.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata negara terbabit bersetuju menggunakan semua semua cara yang ada, khususnya tentera, untuk menguatkuasakan ketetapan Majlis Keselamatan PBB. - Reuters

No comments: