Pages

Monday, March 21, 2011

Kelengkapan perang Gaddafi musnah dibom


BENGHAZI: Deretan kereta kebal dan kenderaan lain tentera Libya yang musnah dibom kelihatan tersadai di sebatang jalan strategik di timur negara itu, semalam, selepas Barat melancarkan serangan udara ke negara itu.
Kelengkapan yang musnah itu dipercayai digerakkan kerajaan Libya bagi menggempur pemberontak yang kini berkubu di Benghazi.

Pada masa sama, tentera pemberontak yang terpaksa berundur akibat menghadapi serangan udara, laut dan darat sejak dua minggu lalu, kembali mara menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju bandar Ajdabiyah yang cuba ditawan sebelum ini.

Bandar itu dianggap kubu penting untuk pemberontak mengukuhkan kedudukannya menghadapi rejim Muammar Gaddafi.

Menurut saksi, sekurang-kurangnya 14 mayat terbiar di jalan dilalui pemberontak itu walaupun serangan udara dilancarkan AS dan sekutunya sepatutnya menyebabkan mayat sukar dikenal pasti.

Seorang pejuang pemberontak mengalu-alukan keadaan itu dan menganggap laluan mereka menggulingkan rejim Gaddafi semakin mudah.


Rakannya pula berkata, serangan dilakukan mereka sebelum ini turut membantu tentera Barat memerangi angkatan tentera Libya.

Kira-kira 14 kereta kebal, 20 kenderaan pengangkut tentera, dua lori bersama pelancar roket serta berpuluh-puluh pikap musnah dan dapat dilihat di sepanjang laluan berkenaan.
Kelengkapan itu juga membayangkan kesungguhan Gaddafi mahu merampas semula Benghazi daripada pemberontak. - Reuters

No comments: