Pages

Wednesday, February 9, 2011

Riuh kijang masuk rumah


MANA MAHU LARI...kijang selepas ditangkap Perhilitan. Gambar kecil, anggota Perhilitan mengikat kijang berkenaan.
MANA MAHU LARI...kijang selepas ditangkap Perhilitan. Gambar kecil, anggota Perhilitan mengikat kijang berkenaan.


AMPANG: Sukar dipercayai apabila petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menerima panggilan kecemasan mendakwa seekor kijang sesat dengan melanggar bertalu-talu dinding dan pintu rumah seorang penduduk di Taman Tun Abdul Razak, di sini.
Kijang berkenaan yang dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran ditemui dalam keadaan cemas dan berlari-lari di dalam kawasan rumah penduduk kira-kira jam 8 malam kelmarin .

Laporan itu bagaimanapun disahkan benar apabila sepasukan empat anggota Pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tiba di banglo berkenaan dan mendapati seekor kijang berlari.

Ketua Operasinya, Leftenan Muda JPAM Shahrul Kamar Johari, berkata anggota bertugas mengepung kawasan rumah berkenaan bagi menangkap kijang betina itu.

“Kijang berkenaan melanggar pagar rumah dan dinding berkali-kali kerana panik. Ia turut melompat melepasi tembok pagar dua banglo berhampiran sebelum ditangkap seorang anggota JPAM. Usaha menangkap kijang yang cedera itu mengambil masa kira-kira 20 minit.


“Hasil pemeriksaan mendapati haiwan itu cedera di kepala, kaki dan badan selain keletihan akibat tindakannya yang agresif melanggar pintu dan tembok rumah di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, kijang itu dibawa ke ibu pejabat JPAM sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Jabatan Perhilitan diketuai Timbalan Pengarahnya, Celescoriano Razond yang tiba tidak lama kemudian merawat kijang itu sebelum membawanya pulang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, penemuan kijang di taman berkenaan kejadian kedua selepas seekor kijang dilaporkan tersesat di kawasan sama pada 2007.

Beliau berkata, haiwan itu dipercayai sesat dari hutan tebal di belakang taman berkenaan yang luasnya hingga ke daerah Hulu Langat.


“Ada kemungkinan haiwan liar itu tersesat dari habitat asal atau dikejar anjing liar hingga menceroboh masuk ke kawasan rumah berkenaan.


“Kijang berkenaan akan diberikan rawatan dan dipindahkan ke Zoo Melaka,” katanya.
myMetro | Riuh kijang masuk rumah

No comments: