Pages

Wednesday, February 9, 2011

Penduduk Mesir kembali protes




Penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi Dataran Tahrir di Kaherah, semalam bagi terus mendesak Mubarak berundur. – AFP


KAHERAH 8 Feb. – Beribu-ribu penunjuk perasaan kembali memenuhi Dataran Tahrir hari ini, kebanyakan mereka merupakan muka baru dan bertenaga bagi mendesak Presiden, Hosni Mubarak meletak jawatan masuk hari ke-15 setelah dataran itu lengang seketika minggu lalu.
Penunjuk perasaan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka kerana mendakwa media kerajaan menipu berhubung perletakan jawatan presiden tersebut.
Perhimpunan hari ini dilihat lebih besar berbanding hari-hari sebelumnya dengan ruang kosong di Dataran Tahrir dipenuhi dengan penunjuk perasaan dengan begitu cepat, menyertai sebahagian rakan-rakan mereka yang berkampung di dataran itu sebelum ini.
Wartawan Reuters, Dina Zayed berkata, perhimpunan hari ini lebih besar berbanding pada Jumaat lalu.
“Ini merupakan salah satu perhimpunan paling besar sejak tunjuk perasaan tercetus pada 25 Januari lalu bagi mendesak Mubarak berundur,” katanya.
Berdasarkan anggaran kasar, luas kawasan tunjuk perasaan itu boleh mengisi suku juta orang jika kawasan itu betul-betul padat dipenuhi dengan orang ramai.
Tunjuk perasaan turut kembali berlaku di bandar-bandar lain hari ini termasuk di Iskandariah dengan penduduk membawa sepanduk-sepanduk menggesa Mubarak berundur.
Penunjuk perasaan itu daripada semua lapisan umur dan latar belakang datang dari seluruh pelusuk Mesir sejak tengah hari.
Bekas menteri pengangkutan Mesir, Essam Sharaf yang menjadi menteri dari 2004 hingga 2005 dilihat turut menyertai penunjuk perasaan berarak menuju ke Dataran Tahrir hari ini dengan bersorak: “Kami mahu gulingkan rejim (Mubarak).”
Sementara itu, Mubarak semalam mengumumkan kenaikan gaji sektor awam sebanyak 15 peratus dan mengarahkan siasatan berhubung keganasan maut dalam tunjuk perasaan baru-baru ini, sebagai cubaan meredakan protes jalanan yang terus mendesaknya meletakkan jawatan.
Keputusan itu dibuat Mubarak selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet barunya untuk kali pertama semalam, sementara rejimnya berusaha menggerakkan semula ekonomi, meskipun menghadapi demonstrasi.
Lapor agensi berita rasmi MENA, Kabinet meluluskan rancangan untuk memberi kenaikan gaji sebanyak 15 peratus kepada kakitangan awam mulai April ini dan membelanjakan 6.5 bilion pound Mesir (RM2.91 bilion) bagi menaikkan pencen. – ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: