Pages

Wednesday, February 9, 2011

Harta Firaun


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/02/06


  • Foto
  • Foto
  • Foto
    TENTERA Mesir berkawal di Muzium Antikuiti.
  • Foto
    ANTARA artifak yang dirosakkan perusuh.
Rusuhan di Mesir cetus kebimbangan artifaknya turut jadi sasaran pencuri

  • Foto
  • Foto
    TENTERA Mesir berkawal di Muzium Antikuiti.
  • Foto
    ANTARA artifak yang dirosakkan perusuh.
Rusuhan di Mesir cetus kebimbangan artifaknya turut jadi sasaran pencuri
KETIKA kekalutan melanda Mesir, khasnya Kaherah, yang memaksa pihak berkuasa memerah tenaga dan kepakaran ke tahap paling maksimum untuk mengawal kebangkitan rakyat, ada satu pihak lain diberikan tugas yang tidak kurang pentingnya.
Mungkin ia tidak membabitkan nyawa manusia tetapi harta yang perlu dijaga itu amat berharga kerana ia bertanggungjawab meletakkan Mesir dalam peta dunia serta menarik kunjungan jutaan warga asing menjadikan negara itu destinasi pelancongan yang wajib dilawati.
Kebangkitan rakyat yang mahukan pengunduran Presiden Hosni Mubarak secara langsung turut memaksa tentera negara itu memberikan kawalan ketat ke atas Muzium Antikuiti bagi melindungi khazanah tidak ternilai termasuk topeng emas Raja Tutankhamun daripada menjadi habuan lumayan penyamun.

Ancaman terbesar kepada Muzium Mesir itu dapat dilihat buat kali pertamanya daripada kebakaran di ibu pejabat parti pemerintah yang cuma terletak bersebelahan ketika bantahan antikerajaan semakin memuncak di negara berkenaan.

Berikutan itu, berpuluh-puluh pencuri mula memasuki perkarangan muzium berkenaan tetapi tindakan mereka berjaya dihentikan sekumpulan lelaki muda yang membentuk rantai manusia di luar pintu utama Dataran Tahrir dalam usaha melindungi koleksi berharga di situ.

Empat kereta perisai diletakkan di luar bangunan berkenaan di pinggir Kaherah dengan anggota tentera mengelilinginya dan bergerak ke dalam untuk melindungi mumia, tugu batu, barang kemas diraja dan artifak ketika pemerintahan Firaun.
Namun di sebalik usaha keras tentera Mesir melindungi khazanah itu, sebahagian harta karun purba dilaporkan mengalami kerosakan, antaranya dua artifak mumia Firaun dan patung kecil tidak ternilai daripada kubur Tutankhamun (Raja Tut).

Beberapa pakar arkeologi sebaliknya bimbang khazanah yang turut menjadi sasaran berkemungkinan sebahagian koleksi emas dan barangan kemas dikenali ‘harta karun Tanis.’

Bagaimanapun, objek paling berharga dalam muzium itu sudah pasti topeng emas pengebumian Raja Tut yang turut digelar Raja Budak berikutan usia mudanya.
Tutankhamun adalah antara raja terakhir Firaun dinasti ke-18 Mesir dan memerintah ketika tempoh penting dipenuhi pergolakan apabila fahaman Akhenaten berakhir dan kuasa dikembalikan kepada paderi lama yang memuja pelbagai dewa.

Malah seperti diakui ramai penganalisis, sejak penemuan khazanah berharga Raja Tut itu pada 1920-an, koleksi itu khususnya topeng emas Raja Tut itu ibarat wajah Mesir di persada dunia, malah jauh mengatasi kehebatan piramid dan Great Sphinx of Giza.

Artifak Raja Tut itu juga beberapa kali turut digunakan kerajaan Mesir sebagai lambang politik dan seakan ‘duta’ tidak rasmi apabila ia pernah menjadi sebahagian pameran kontroversi di Los Angeles, Amerika Syarikat. Hari ini, koleksi sama menjadi sasaran perusuh, tetapi setakat ini dapat dikawal pihak tentera.

Seperti diakui pakar arkeologi terkemuka Mesir, Zahi Hawass, ada sekurang-kurangnya 13 peti besi dirosakkan dengan sebahagian harta karun itu dibiarkan bersepah di lantai.

“Hati saya sakit dan darah mendidih. Saya rasa semua yang saya usahakan sejak sembilan tahun lalu dimusnahkan dalam masa sehari tetapi pemeriksa, pakar arkeologi muda dan pentadbir, menghubungi saya dan memberitahu mereka sanggup bertarung nyawa menyelamatkan khazanah itu,” katanya.

Hawass berkata, dua mumia dalam muzium dirosakkan dengan kepalanya dipatahkan. Dalam satu gambar paling menyedihkan, kepala mumia dan tulang dapat dilihat berselerak di atas lantai.

Spekulasi lain turut menyatakan antara mumia yang dirosakkan milik Yuya and Tjuya yang sebelum ini dikenal pasti sebagai nenek moyang Raja Tut.

Bukan bertujuan melebihkan mumia kaku berbanding nyawa manusia menjadi sebab utama muzium berkenaan dilindungi ketat tetapi melihat kepada nilai yang tidak boleh dihitung khazanah yang tersimpan dalamnya, kerajaan Mesir mengambil langkah tepat mengetatkan kawalan ke atas bangunan itu.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Mesir membangkitkan kembali detik hitam yang melanda Iraq apabila khazanah berharga miliknya, hilang sejurus kerajaan Saddam Hussein digulingkan.

Dilaporkan lebih 15,000 artifak berharga dicuri daripada Muzium Kebangsaan Iraq berikutan pencerobohan Amerika Syarikat pada April 2003.

Malah, banyak lagi artifak penting masih hilang yang menjadikan ia satu kerugian bukan saja kepada dunia arkeologi tetapi juga kemanusiaan secara amnya.

Usaha berpanjangan dilakukan untuk mendapatkan semula artifak itu termasuk menjanjikan pengampunan kepada pencuri. Banyak artifak ditemui di tempat yang jauh daripada negara itu seperti Switzerland, Jordan dan Jepun. Malah ada di antaranya, ditemui dilelong di laman eBay.

Namun harta karun Mesir masih bernasib baik kerana di tengah-tengah kekalutan itu, masih ada yang menolak ketidakpuasan hati dengan pemerintahan Mubarak semata-mata untuk melindungi khazanah tidak ternilai itu.

Seorang lelaki yang turut membentuk rantai manusia berjanji tidak akan membenarkan muzium itu dicerobohi dengan jeritan: “Kita bukan seperti Baghdad.”

Ada benarnya tindakan kerajaan dan penduduk Mesir melebihkan usaha melindungi khazanah amat berharga itu kerana jika kejadian di Iraq berulang, cuma kekesalan boleh disuarakan. Apa lagi yang boleh ditawarkan Mesir kepada dunia jika bukti keajaiban itu sudah lenyap akibat kecuaian sendiri.

INFO
Khazanah berharga:

Mesir


  • Muzium Antikuiti Mesir atau Muzium Mesir di Kaherah, menempatkan koleksi besar artifak berharga negara itu.




  • Ia mempunyai 120,000 artifak.




  • Turut ditempatkan, kamar Mumia Diraja daripada era Firaun.




  • Topeng emas Raja Tut ialah khazanah paling terkenal dan berharga.




  • Artifak lain termasuk mumia, tugu batu, barang kemas diraja dan artifak lain ketika pemerintahan Firaun.



    Iraq




  • Artifak disimpan di Muzium Kebangsaan Iraq adalah antara koleksi paling berharga di Asia Barat.




  • Ia termasuk zaman kuno Mesopotamia (tanah terletak antara dua sungai iaitu sungai Dajlah dan sungai Furat).




  • Kawasan Mesopotamia merangkumi Iraq (moden), sebahagian Syria, barat daya Turki dan wilayah Khuzestan di Iran.




  • Antara artifak yang dilaporkan hilang di Muzium Iraq termasuk Pasu Warka, patung Raja Entemena Lagash dan plak gading gajah dari Namrud.




  • Lebih 15,000 artifak berharga dicuri daripada Muzium Kebangsaan Iraq berikutan pencerobohan Amerika Syarikat pada April 2003, tetapi hanya satu pertiga dikembalikan.




  • Anting-anting emas Neo-Assyrian berusia 2,800 tahun antara khazanah yang dikembalikan kepada Kedutaan Iraq di Washington DC.



  • Berita Harian Online | Harta FiraunBerita Harian Online | Harta Firaun

    No comments: