2011/02/06
KUMPULAN pelajar Malaysia di Mesir menaiki pesawat C 130 untuk ke Jeddah, semalam.
KAHERAH: Ketika Kerajaan Malaysia bertungkus-lumus membawa pulang rakyat Malaysia dan memastikan mereka berada di dalam keadaan selamat, pergolakan di Mesir kian meruncing apabila Naib Presidennya, Omar Suleiman menjadi sasaran bunuh.
Bagaimanapun, nasib masih menyebelahi Suleiman kerana beliau terselamat tetapi dua pengawalnya maut ketika protes anti-Presiden Hosni Mubarak, memasuki fasa baru, semalam selepas beberapa pemimpin penentang menemui Perdana Menteri, Ahmed Shafiq bagi membincangkan cara terbaik pemimpin berusia 82 tahun itu berundur.Cubaan bunuh itu berlaku pada hari sama selepas Suleiman dilantik Mubarak sebagai Naib Presiden pada 29 Januari lalu, lapor stesen berita Fox News, semalam, tetapi dinafikan sumber kanan keselamatan Mesir.
Mubarak awal minggu ini mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan pemerintahan hampir 30 tahun tetapi selepas satu pilihan raya, September depan tetapi penunjuk perasaan menuntutnya segera berundur.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan ibu bapa pelajar tidak perlu membiayai kos membawa pulang anak mereka dari Mesir ke tanah air.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat dengan Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang terbabit dalam operasi menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir.
“Saya akan berusaha untuk memastikan ibu bapa tidak perlu tanggung perbelanjaan bawa anak mereka pulang ke negara kita, melainkan mereka yang sudah menempah tiket sendiri, tidak dapat kita bayar balik.
“Dalam operasi ini, saya akan rujuk MAS, AirAsia dan Tabung Haji untuk beri sumbangan, manakala bakinya kerajaan akan tanggung,” katanya selepas Program Ziarah Masjid di Masjid Jamek Kampung Baru, semalam.
Seramai 6,800 rakyat Malaysia sudah berada di Jeddah dan sepanjang hari ini 14 penerbangan dari Mesir ke Jeddah akan dilakukan membabitkan 3,500 pelajar.
Perdana Menteri turut mengumumkan anakanda Raja Arab Saudi, Putera Turki Abdullah Al-Saud, yang juga Pengerusi Petro Saudi, menaja dua penerbangan pesawat Jumbo 747 membawa pulang pelajar Malaysia dari Jeddah.
Beliau turut mengesahkan penerbangan pertama rakyat Malaysia dari Jeddah dijangka sampai ke tanah air, pagi esok.
bharian
No comments:
Post a Comment