Kolotnytska didakwa jadi kekasih risau kekecohan di Libya |
LONDON: Seorang jururawat Ukraine membatalkan ikrar untuk terus menjaga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi selepas protes antipemerintah makin serius di negara Afrika Utara itu.
Jururawat peribadi Gaddafi berambut perang dan bertubuh seksi itu, Galyna Kolotnytska, 38, (atas), kelmarin berkata beliau akan terus berada di sisi pemimpin itu selepas Gaddafi berikrar untuk berjuang hingga habis-habisan menghapuskan tentangan terhadapnya.
Gaddafi ‘tidak boleh mengadakan perjalanan’ tanpa wanita cantik berstatus janda yang berasal dari Ukraine serta dituduh menjadi kekasih pemimpin itu.
Wanita ibu tunggal itu arif mengenai rutin lelaki itu, kata dokumen bocor yang didedahkan kepada akhbar The Sun.
Pegawai Ukraine berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk membawa wanita itu pulang.
Anak perempuan janda itu, Tatiana, 20, berkata:
“Ibu menelefon semalam. Dia berada di Tripoli.
“Ada kejadian tembakan, pertempuran dan kekacauan lain disiarkan di televisyen.
“Dia masih tenang menghadapi keadaan dan berkata akan pulang segera.”
Gaddafi lebih mengutamakan Kolotnytska berbanding pengawal peribadi wanita Amazon yang pakar dalam pertahanan diri dan dikatakan masih dara.
Nota rahsia 2009 kepada Setiausaha Negara Hillary Clinton disiarkan selepas didedahkan WikiLeaks memberitahu yang pemerintah kuku besi itu bergantung kepada wanita itu.
Gaddafi dikatakan pernah menghantar pesawat peribadi untuk membawa Kolotnytska dari Libya ke Portugal untuk bertemu dengannya berikutan kelewatan kedatangan wanita itu akibat masalah visa.
Pegawai politik Ukraine mengesahkan jururawat Ukraine sentiasa bersama-sama pemimpin itu ke mana saja.
“Sesetengah sumber mendakwa Gaddafi dan Kolotnytska mempunyai hubungan romantik,” katanya.
Gaddafi dikatakan terlalu taksub bergantung kepada pegawai yang dipercayainya seperti Kolotnytska.
Tetapi kini kehidupannya sebagai orang kepercayaan akan berakhir dan musuh Gaddafi pula terus mendapat kekuatan.
Di sempadan di antara Tunisia dan Libya, ahli sukan bina badan Nabil Mohamed, berkata “Eva Braun tinggal dalam kubu bersama Hitler, mengapa Kolotnytska tidak boleh tinggal bersama Gaddafi?” – Agensi
Lagi berita dan gambar di muka 23, 24 dan 25.Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment