Pages

Monday, January 17, 2011

Penari akui terima wang daripada PM Itali






ROM - Seorang remaja perempuan yang berusia 18 tahun, Karima El Mahroug mengaku Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi memberinya 7,000 euro (RM28,615) ketika dia menghadiri parti Hari Kekasih pada tahun lalu.
Menurutnya, dia menghadiri parti itu di sebuah vila milik Berlusconi tetapi menjelaskan mereka tidak melakukan hubungan seks.
Bagaimanapun, pendakwa raya di Milan melakukan siasatan berhubung dakwaan bahawa Berlusconi membayar gadis bawah umur itu untuk melakukan seks dan menggunakan kuasa yang ada untuk menutup kesalahan itu.
Remaja itu lebih dikenali sebagai Ruby berbanding nama asalnya merupakan penari di sebuah kelab malam.
Ketika sesi temu bual dengan stesen televisyen Sky TG24 kelmarin, Ruby mengaku bahawa dia menyamar sebagai wanita dewasa yang berumur 24 tahun ketika menghadiri parti itu.
Menjawab soalan kenapa Berlusconi memberinya wang itu, Ruby menjawab: "Saya baru sahaja sampai ke Milan pada ketika itu dan dia tahu kesusahan keluarga saya. Dia ingin membantu."
Menurut Ruby, Berlusconi tidak mengetahui bahawa ketika itu dia merupakan remaja bawah umur.
Pada Jumaat lalu, pendakwa raya menghantar notis saman untuk perdana menteri itu dan peguamnya hadir untuk disoal siasat berhubung isu tersebut. - AP

No comments: