Pages

Friday, January 14, 2011

Korban banjir di Brazil 335 orang


TERESOPOLIS, Brazil 13 Jan. - Kejadian banjir dan tanah runtuh di kawasan pergunungan berhampiran Rio de Janeiro setakat ini telah mengorbankan sekurang- kurangnya 335 orang, dengan jumlah korban dijangka terus meningkat.
Operasi menyelamat di kawasan utara Rio de Janeiro iaitu Serrana digantung lewat semalam ekoran keadaan gelap dan berbahaya.
Seluruh kediaman di kawasan perbandaran Nova Friburgo, Teresopolis dan Petropolis dilanda banjir lumpur dan batu.
Sekurang-kurangnya tiga anggota bomba turut terbunuh selepas ditimbus bertan-tan lumpur ketika melakukan operasi menyelamat.
Kemusnahan akibat banjir, bagaimanapun masih tidak diketahui kerana komunikasi dan akses ke kawasan terjejas menghadapi kesukaran selepas jalan raya dan jambatan musnah dan perkhidmatan telefon terputus.
Menurut pegawai, kawasan yang teruk terjejas ialah di Serrana, kawasan mundur yang semakin meningkat dan digunakan sebagai pintu masuk untuk golongan bangsawan Brazil pada abad ke-19 serta menjadi kawasan pelancongan terutamanya kepada penduduk Rio ketika musim panas.
"Ini adalah mala petaka dan bencana besar." kata Datuk Bandar Teresopolis, Jorge Mario Sedlacek kepada stesen televisyen GlobeNews.
Teresopolis menjadi bandar yang paling teruk terjejas, menurut maklumat yang dikeluarkan oleh bomba lewat semalam.
Pegawai meramalkan lebih banyak hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Sementara itu di Filipina, angka korban akibat banjir dan tanah runtuh ekoran hujan lebat selama lebih tiga minggu meningkat kepada 43 orang.
Kematian terbaru itu melibatkan tujuh orang yang lemas kelmarin dan semalam dalam banjir yang menenggelamkan sebuah kawasan luas di timur wilayah Samar Utara dan Samar Timur.
Pasukan penyelamat turut menemui dua mayat di wilayah Bacolod dan mayat seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang dihanyutkan air sungai di bandar Tacloban, semalam. - AFP/dpa

No comments: