Pages

Saturday, December 18, 2010

AS negara paling dibenci dunia


KUALA LUMPUR 17 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Amerika Syarikat (AS) kini merupakan negara yang paling dibenci oleh masyarakat antarabangsa.
Ini kerana, menurut beliau, negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan dan kebebasan itulah yang sebenarnya melanggar segala nilai-nilai perjuangan tersebut.
Selain itu, jelasnya, AS juga telah menggunakan pelbagai pendekatan jelik semata-mata untuk menjaga kepentingan Israel.
"Sepatutnya, AS mengetuai negara dunia melalui bantuan kepada mereka yang miskin dan lemah, memperkayakan dunia menerusi penerokaan teknologi serta mencipta nilai hidup yang baik tanpa kekerasan terutama dalam menyelesaikan permasalahan antara negara.
"Presiden AS, Barack Obama yang menjanjikan perubahan sebenarnya tidak melakukan apa-apa pun terutama dalam hal pendekatan peperangan dan tidak mematuhi norma-norma antarabangsa
"Jelas sekali, perubahan presiden dan parti pemerintah di AS tidak akan membawa perubahan kepada polisi dan fahaman negara tersebut,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam blognya, http://chedet.co.cc, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, di Palestin, AS bertindak mempertahankan Israel tanpa menghiraukan tindakan rejim Yahudi yang secara terang-terangan melakukan kekejaman dan mencabuli undang-undang antarabangsa.
"Israel membina penempatan haram di atas tanah milik Palestin, memusnahkan perkampungan, merampas tanah, membunuh serta menekan ribuan rakyat Palestin.
"Mereka juga menyerang kapal yang membawa misi kemanusiaan di perairan antarabangsa. Mengapa Israel bebas melakukan kekejaman itu?
"Ini kerana AS menyokong mereka dari belakang. Sehingga seorang aktivis warganegara mereka terbunuh akibat digilis jentolak tentera Israel pun AS tidak melakukan apa-apa protes,'' ujarnya.
Kata beliau, selain Palestin, bumi Afghanistan dan Iraq juga pernah digempur oleh tentera AS sehingga menyaksikan banyak nyawa terkorban dan harta awam musnah.
"Sasaran seterusnya adalah Iran. Pelbagai cara dilakukan oleh AS untuk menekan negara itu yang kononnya didakwa membangunkan program nuklear.
"Sekarang, AS menghala pula ke Korea Utara. AS sebenarnya yang merancang dan telah mengadakan latihan ketenteraan di perairan berdekatan Korea Utara. Ia sebagai satu bentuk ancaman supaya Korea Utara menyerah diri kepada AS,'' tambahnya.
Beliau berkata, ketika ini, banyak demonstrasi bantahan dilakukan terhadap AS dan negara itu kini paling tidak disukai atas apa yang mereka lakukan kepada masyarakat dunia.

No comments: