Pages

Saturday, November 13, 2010

Komputer Apple-1 yang dijual Steve Jobs dilelong








LONDON - Sebuah komputer Apple-1 yang dijual oleh pengasas syarikat Apple, Steve Jobs dari garaj ibu bapanya di California pada 1970-an kini dilelong pada harga pembukaan £150,000 (RM747, 785), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Terdapat kira-kira 200 komputer asli Apple 1 buatan tangan yang dilancarkan pada 1976 dan dipercayai antara 30 hingga 50 buah komputer itu yang masih ada ketika ini.
Komputer Apple-1 dianggap sebagai komputer pertama di dunia dan ia akan dilelong oleh Rumah Lelongan Christie's pada 23 November ini di London.
Komputer itu dianggap menjadi perintis keluaran syarikat Apple yang diketuai Jobs seperti komputer tablet iPad, iPod dan telefon pintar iPhone.
Pada 1976, komputer Apple-1 cuma dijual pada harga AS$666.666 (RM2,075.33).
Sebahagian komputer Apple-1 itu mempunyai hiasan kayu.
Komputer itu mempunyai memori yang kecil iaitu 8K, 524,000 kali kurang daripada komputer standard keluaran Apple kini.
Ia juga tidak mempunyai kapasiti untuk menyimpan sebuah lagu.
Komputer itu dicipta oleh rakan Jobs, Steve Wozniak.
Ia dijual pada harga AS$666.666 kerana Wozniak suka nombor yang sama.
Ketika itu, Wozniak menjadi jurutera komputer itu manakala Jobs menjadi ketua untuk menjualnya.
Ia akan dilelong bersama buku panduan, kaset dan surat yang ditandatangani oleh Jobs yang kini masih mengetuai syarikat Apple.


KOMPONEN-KOMPONEN komputer Apple-1, surat Steve Jobs, buku panduan dan kaset dilelong pada harga pembukaan RM747, 785.




Kaset yang menjelaskan penggunaan komputer itu dijual pada harga AS$75 (RM233.47).
Namun, komputer itu tidak mempunyai skrin atau papan pemuka seperti yang ada ketika ini.
Beberapa buah muzium dan pengumpul barang-barang antik gagal untuk mendapatkan komputer Apple-1 sebelum ini untuk disimpan.
Bagaimanapun, komputer itu merupakan satu pelaburan yang baik.
Komputer yang dilelong itu mengekalkan konsep asal kerana ia tidak dipasang dengan sepenuhnya.
Pengguna perlu memasangnya sendiri dengan menggunakan buku panduan dan tidak mengandungi monitor dan papan pemuka.
Jobs memberikan panduan kepada soalan pembeli mengenai monitor dan papan kunci yang terbaik untuk digunakan bersama komputer tersebut.
Seorang kakitangan Rumah Lelongan Christie's, Julian Wilson berkata: "Ia (Apple-1) merupakan perintis penciptaan iPod, iPad dan iPhone. Komputer itu berkerja dari sebuah kotak yang merupakan konsep asal."
Menurutnya, komputer itu seperti alat pengira berprestasi tinggi.
"Jobs menjual komputer ini dari garaj ibu bapanya dan terdapat peningkatan penghargaan terhadap sejarah komputer dan di sinilah bermulanya sejarah komputer," kata Wilson. - Agensi

No comments: