Pages

Thursday, October 7, 2010

Tuduhan terhadap aktivis paus



PENANGKAPAN ikan paus secara komersial diharamkan di seluruh dunia sejak tahun 1986.


DUA orang aktivis organisasi antarabangsa Greenpeace yang sedang dibicarakan di Jepun bakal berdepan dengan keputusan penghakiman ekoran tuduhan mencuri sekotak daging paus baru-baru ini. Daging paus yang dicuri itu disifatkan sebagai bukti penipuan dalam satu program penangkapan ikan paus yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.
Junichi Sato, 33 dan Toru Suzuki, 43, mungkin berdepan dengan hukuman penjara selama 18 bulan di atas tuduhan mencuri dan menceroboh sekiranya mahkamah wilayah di Aomori mendapati mereka bersalah.
Kedua-dua aktivis tersebut mengaku mencuri sekotak daging paus masin tetapi tidak mengaku bersalah. Sato dan Suzuki tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka itu adalah untuk kepentingan orang ramai tentang penipuan dalam program penyelidikan dan penangkapan ikan paus di Jepun.
Penangkapan ikan paus secara komersial telah diharamkan di seluruh dunia sejak tahun 1986. Namun, sebuah badan bukan kerajaan, Institut Penyelidikan Cetacean telah ditubuhkan pada tahun berikutnya. Penubuhan institut tersebut membolehkan ratusan haiwan mamalia laut terus dibunuh atas nama sains.
Barangan peribadi
Kedua-dua aktivis tersebut berkata, mereka telah dihubungi kira-kira dua tahun lalu oleh seorang krew veteran yang bekerja untuk sebuah kapal penangkapan ikan tajaan kerajaan negeri. Lelaki yang bekerja sebagai peniup wisel itu memberitahu, dia agak kecewa dengan pembaziran dan kegiatan rasuah yang berlaku.
Menurut Greenpeace, lelaki tersebut memberitahu, krewnya menerima berkotak-kotak daging paus yang sering disalah labelkan sebagai barangan peribadi. Daging-daging paus itu ditemui selepas mereka pulang dari aktiviti pemburuan paus tahunan di Lautan Antartik.
Sato dan Suzuki telah menjejaki asal-usul barangan itu sehingga ke sebuah lokasi simpanan sebuah syarikat khidmat kurier di Aomori pada 16 April 2008. Di situ, Suzuki telah mengambil sebuah kotak seberat 23 kilogram (kg) yang berlabel kadbod dan vinyl serta berisi daging-daging paus.
Mereka kemudiannya menyerahkan kotak tersebut kepada para pendakwaraya wilayah Tokyo dan satu sidang akhbar diadakan untuk mengumumkan bukti yang ditemui itu. Para pegawai menerangkan bahawa ahli-ahli krew telah menerima berkotak-kotak paus itu sebagai cenderamata.
Pada 20 Jun lalu, pihak polis telah memberkas Sato dan Suzuki. Dalam operasi luar biasa itu, pejabat Greenpeace di Tokyo dan kediaman lima kakitangannya telah diserbu. Dalam serbuan tersebut, cakera-cakera padat komputer dan beberapa kotak dokumen turut dirampas.

PENYOKONG Greenpeace membantah penahanan dua aktivis warga Jepun yang menyiasat kegiatan rasuah penangkapan ikan paus di Jepun.


Meskipun kes penipuan itu digugurkan sebelum hari mereka diberkas, kedua-dua orang aktivis itu telah dibawa ke Aomori dan ditahan selama 26 hari. Menurut kenyataan daripada Greenpeace, mereka turut disoal siat selama tiga kali sehari tanpa kehadiran peguam bela.
Di dalam mahkamah, para pendakwaraya berpendapat, aktivis-aktivis tersebut telah melanggar undang-undang dan berpotensi untuk melakukan perkara yang sama. Mereka juga menuduh tertuduh tidak menunjukkan rasa bersalah dan telah menyebabkan kerugian dari segi kewangan dan reputasi pekerja di syarikat khidmat kurier tersebut.
Pihak Greenpeace telah mengutuk layanan terhadap ahli-ahlinya dan menyifatkan perbicaraan tersebut bermotifkan politik. Perbicaraan itu turut mengundang protes di kalangan ahli-ahli Greenpeace yang lain di beberapa buah Kedutaan Jepun di seluruh dunia untuk memberi sokongan.
Pengarah Eksekutif Greenpeace, Kumi Naidoo yang juga seorang aktivis antiaparteid dari Afrika Selatan pula mempunyai pendapat lain terhadap kes itu.
"Layanan terhadap Sato dan Suzuki telah mengingatkan saya terhadap sistem aparteid melayan mereka yang cuba untuk menentangnya," katanya. - AFP

No comments: