Saturday, October 2, 2010
Susu ibu lambang kasih sayang
- NAWABI SUBANDI
http://an-nawawi.blogspot.com
Kebanyakan wanita bergelar ibu pada hari ini amat disibukkan dengan pelbagai urusan di luar rumah seperti untuk keluar bekerja dan seumpamanya. Dalam masa sama, masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi keluarga dan anak-anak, menjadi terhad dan berkurangan berbanding wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Perkara ini mengakibatkan sesebuah institusi kekeluargaan menjadi sedikit berkurang dari sudut nilai sentuhan seorang wanita bergelar ibu, lebih-lebih lagi buat anak-anak yang masih kecil.
Di antara bentuk sentuhan kasih sayang yang sering dilupakan ialah menyusukan anak-anak ketika bayi seawal usia dua tahun pertama. Sebahagian ibu di luar sana mengambil mudah urusan menyusukan anak-anak kecil mereka dengan menyerahkannya kepada pengasuh atau orang-orang gaji, lalu membiarkan susu tepung atau susu formula mengambil alih tempat air susunya. Padahal, peranan ibu untuk menyusukan anak-anak dengan baik telah pun disentuh oleh al-Quran melalui ayat yang bermaksud: “Ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)
Firman Allah tersebut turun dalam bentuk perintah atau suruhan kepada ibu-ibu supaya menyusukan anak mereka dengan air susunya. Maka ia menjadi satu kewajiban yang diperintahkan agama. Penyusuan yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut adalah merujuk air susu ibu dan bukan dengan selainnya seperti susu haiwan (atau susu formula).
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata: “Ini merupakan bimbingan daripada Allah bagi ibu-ibu supaya menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna, iaitu sehingga dua tahun penuh.” (Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 1/633)
Dalam ayat sama, seterusnya Allah SWT menyebutkan (maksudnya): “Dan sekiranya kamu mahu anak-anakmu disusukan oleh orang lain (dengan sebab kamu tidak mampu), maka tiada dosa bagi kamu apabila memberikan upah menurut kewajaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)
Ayat ini menunjukkan sekiranya ibu tidak mampu memberikan susunya, maka ia boleh meminta orang lain untuk menyusukannya dengan mengeluarkan upah tertentu. Menunjukkan bahawa susu badan tetap menjadi pilihan, dan bukan dengan susu atau makanan-makanan yang selainnya. Ilmu sains moden sendiri menunjukkan anak-anak kecil seawal usia kelahiran tidak mampu mencerna makanan, selain dari susu ibu dengan sempurna.
Perkara ini sudah disebutkan sejak lama dahulu oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) - salah seorang tokoh ulama Ahlus Sunnah wal-Jamaah terkenal dan dalam masa sama merupakan tokoh yang banyak mengupas berkaitan persoalan perubatan pada zamannya. Beliau berkata: “Sebaik-baiknya bayi hanya diberikan dengan air susu ibu sahaja sehingga gigi-giginya tumbuh, kerana ketika itu organ dan sistem pencernaannya masih lemah untuk menghadamkan makanan (selain air susu ibu).
Jika gigi-giginya sudah tumbuh bermakna organ pencernaan telah mula mantap dan sempurna untuk mencernakan makanan. Bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melewatkan waktu pertumbuhan giginya sehingga ke waktu yang ia benar-benar memerlukan makanan disebabkan hikmah tertentu, sebagai bukti kelembutan, dan dengan sebab kasih sayang-Nya terhadap bayi serta si ibu.” (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 231)
Beliau juga turut menyebutkan: “hak anak-anak kecil adalah mendapatkan susu ibu untuk tempoh sepanjang dua tahun pertama selagi mana ia memerlukannya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kata “penyusuan sempurna” dalam ayat tersebut (merujuk Surah al-Baqarah, 2: 233).” (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 234)
Setiap penderitaan, pengorbanan, dan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh si ibu dalam memberikan penjagaan dan pemakanan (susu ibu) kepada si anak pada awal usianya bakal menjadi satu bentuk pendidikan awal dan saranan menerapkan kasih-sayang yang sempurna. Dari sinilah karakter, pemikiran, dan sikap anak-anak bakal dibentuk. Dan Islam mahu agar si ibu (dan bapa) sendiri yang membentuk anak-anak kecil ini, sekali gus sebagai lambang kasih sayang dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Inilah keutamaan ibu berbanding segala bentuk urusan di luar rumah.
Nabi SAW bersabda: “Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya, 16/207, no. 4801)
Amalan inilah yang menjadi tradisi orang Arab yang kemudiannya diteruskan dengan kedatangan Islam dibawa Nabi kita Muhammad SAW. Melaluinya telah melahirkan kumpulan manusia pilihan daripada kalangan para sahabat r.a yang merupakan kumpulan generasi ahli ilmu terbaik, manusia terbaik, terhebat, terkuat, mampu berjihad di medan perang, dan paling dipercayai dalam melaksanakan, mendukung, dan menyebarkan Islam ke seantero dunia. Dari merekalah lahirnya pelbagai contoh tauladan dan generasi gemilang umat Islam yang dimulai dengan kesempurnaan institusi kekeluargaan atas petunjuk wahyu Allah SWT yang dimainkan oleh wanita bergelar ibu.
Tiada contoh daripada kalangan generasi awal umat Islam ini yang menunjukkan hak menyusu digantikan dengan susu-susu haiwan atau formula walaupun pada zaman mereka sangat terkenal dengan penghasilan produk ternakan seperti unta, kambing, dan kibas. Apa yang ada sekiranya si ibu mengalami kekurangan susu, amalan mencari ibu susuan diusahakan. Ini menunjukkan susu ibu (susu badan) adalah keutamaan, sekali gus menjadi sebuah kewajipan sebagai satu-satunya menu berkhasiat bagi si kecil. Di dalamnya mengandungi pelbagai zat pemakanan yang diperlukan bayi pada awal usianya berbanding produk-produk makanan selainnya. Si kecil menjana tumbesaran sempurna dan memperkuat sistem imuniti tubuhnya.
Dalam masa sama, perkara ini sebenarnya mengajak kita berfikir berkenaan beberapa alternatif yang diwujudkan pada masa ini supaya si ibu tetap dapat memberikan air susunya kepada bayi-bayi mereka. Alternatif yang dimaksudkan ialah seperti memerah air susu ibu, membotolkannya, dan kemudian disejukkan (disimpan sebagai stok). Perkara ini dilakukan supaya bayi tetap dapat minum air susu ibu tersebut walaupun si ibu meninggalkannya berikutan sibuk dengan pelbagai urusan luar.
Perkara ini wajar dinilai kembali. Kerana urusan memberi tumpuan kepada si anak dalam soal penjagaan, belaian kasih-sayang, dan penyusuan adalah kewajiban buat ibu-ibu. Manakala urusan menyibukkan diri dengan pelbagai urusan di luar rumah, bukanlah urusan bagi seorang wanita, apatah lagi bagi seorang ibu yang memiliki anak dan berkewajiban untuk menjaganya. Soal penyusuan tidak terhad semata-mata untuk memenuhi perut si anak dengan air susu, tetapi ia turut memiliki pelbagai hikmah lainnya seperti belaian manja ketika menyusukan (agar susu dapat disalurkan dengan sempurna), pandangan kemesraan, sentuhan kasih-sayang, dan pendidikan awal.
Sebaliknya, si ayahlah yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai urusan di luar seperti urusan pekerjaan bagi memenuhi nafkah serta keperluan institusi kekeluargaan dan rumah-tangganya. Dalam ayat yang sama, Allah SWT menyebut (maksudnya): “Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebankan melainkan menurut kadar kesanggupannya (kemampuan).” (Surah al-Baqarah, 2: 233)
Demikianlah pemberian air susu ibu yang sempurna kepada anak-anak berdasarkan petunjuk wahyu merupakan sebuah bukti dan lambang kasih sayang yang agung bagi permulaan sebuah kehidupan manusia.
Labels:
Susu ibu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment