Pages

Saturday, October 2, 2010

Detik Sakratulmaut Dek ‘Kemerdekaan Maya’



Oleh Dr Adnan Abd Rashid

2010/09/04

Nazak 

SEJAK petang lagi hujan turun renyai-renyai menyiram pokok-pokok di Taman Fairuz yang kelayuan dan kekeringan sejak seminggu yang lalu. Meskipun berita di beberapa negara di dunia mengalami banjir dan taufan seperti di China, di Vietnam dan di sana-sini hujan lebat yang tak terhingga, tapi Taman Fairuz hanya menerima hujan renyai-renyai yang menakungi airnya di hujung dedaun pokok bagaikan embun di hujung rumput yang menanti saat dan ketika untuk menitis ke bumi. Fenomena ini seolah-alah satu simbolik akan perginya seorang insan menemui Tuhannya dengan rohnya akan menitis di lembaran malaikat maut. Bendera jalur gemilang yang dipasang oleh penduduk di Taman Fairuz sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 menerima titisan hujan dengan lemah longlai terkibar-kibar pada kesuraman senja yang mulai melabuh tirai. Taman Fairuz inilah terletaknya kediaman Mak Zu selama ini dan berkemungkinan meninggalkannya buat selama-lamanya dunia yang fana ini. Laungan kemerdekaan dan nyanyian jalur gemilang dari televisyen rumah jiran Mak Zu sayup-sayup kedengaran sekali-sekala yang mencetus keheningan dan kemerahan senja. Pada saat itu, Mak Zu terkumat-kamit menyebut sesuatu bagi menghadapi saat getir kehidupannya sebagai manusia yang tertipu dengan ‘kemerdekaan mayanya’ selama ini dan beberapa detik lagi berkemungkinan bertemu dengan Ilahi serta berpisah dengan dunia yang fana ini buat selama-lamanya. Bagi Mak Zu, pada usia mudanya dunia inilah memberikan kepuasan nafsu serakah dan ‘kemerdekaan maya’ kepada dirinya.
Ustaz Hj Non dan jemaah surau baru selesai membaca surah Yasin bagi memudahkan perjalanan roh Mak Zu ke alam barzakh (alam kubur) iaitu alam yang pasti ditempuhi oleh setiap insan sama ada husnul khatimah (sebaik-baik kematian) atau suul-khatimah (seburuk-buruk kematian). “Kul nafsin za iqatul maut,” tiap-tiap yang hidup (bernyawa) pasti akan mati,” kata Ustaz Hj Non semasa mengajar pada kuliah Magribnya di surau Taman Fairuz. Tegasnya lagi semasa mengajar kitab ‘Tanbihul Ghafilin’, “syaitan akan mengambil kesempatan untuk memesongkan akidah dan keimanan anak-anak Adam pada saat sakratul maut, barang siapa yang membuat persiapan rapi dengan mematuhi dan mentaati Allah semasa hidupnya insya-Allah terselamat daripada fitnah itu.” Justru itu pesan Ustaz Hj Non,” janganlah kita lalai dengan kehidupan di dunia ini, dunia jangan dikejar biar dunia mengejar kita.” Jemaah surau selalu mengangguk tanda kefahaman di dalam kuliah Maghrib Ustaz Non macam nak minum kopi angguk. “angguk ! angguk! kopi angguk! tanda kefahaman dan amalan dalam kehidupan belum tentu lagi. Mentalqinkan Mak Zu
USTAZ Hj Non dan Pak Imam Hj Hashim masih di rumah Mak Zu dalam usaha mentalqinkan lagi Mak Zu yang masih nyawa-nyawa ikan. Kata Ustaz Hj.Non “ini adalah sunnah Rasullullah SAW iaitu seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hendaklah kamu mentalqinkan orang yang sedang menghadapi maut,” bukan talqin atas kubur! seperti yang lazim diamalkan sesetengah orang masa ini, nak ajar orang dah mati … nak buat apa? tegasnya yang nak jawab dalam kubur tu malam si mati tu …, bila dah mati harta, keluarga sudah tidak berguna lagi melainkan amalan dan doa anak yang soleh. Kata-kata inilah selalu diungkapkan oleh Ustaz Hj Non ketika membicarakan tajuk kematian di dalam kuliahnya kerana masa ini banyak sangat amalan bidaah berlaku ketika kematian termasuk kenduri arwah yang mengikut bilangan hari tertentu. Justeru itu tegas Ustaz Hj Non lagi, “kita yang sepatutnya beri makan kepada keluarga simati tapi sebaliknya berlaku, sesungguhnya bersedekah kepada keluarga simati bagi meredakan kesedihan mereka.” Memakan jamuan di rumah simati adalah memakan harta anak yatim, sekiranya itulah peninggalan arwah suami kepada isteri dan anak-anaknya, jelas Ustaz Hj Non di dalam kuliahnya. 
Pada saat senja melabuh tirainya, Ustaz Hj Non tidak berputus asa bersama-sama Imam Hj Hashim untuk mentalqinkan Mak Zu yang tidak mampu melafaz dan mengucap kalimah syahadah, sedangkan kalimah ini adalah pasport ke Syurga. Namun keanehan berlaku pada Mak Zu bila ditalqinkan dengan kalimah “Lailahaillallah” ia tidak mampu mengikut kalimah syahadah itu, sebaliknya Mak Zu yang dalam suara kelemahan dan keampuhan nyawa ikan itu masih bertenaga untuk berkata “aku tak boleh bercakap”. Ustaz Hj Non kehairanan dan bertanya Pak Imam surau Taman Fairuz, Hj Hashim: “yang dia dok bercakap tu apa?” Imam Hj Hashim menggeleng-geleng kepala tanda tidak dapat memberikan jawapan kepada Ustaz Hj Non. Ahli jemaah surau yang hadir juga kehairanan dengan kelakuan aneh Mak Zu. Tiap-tiap kali ditalqinkan Lailahaillah, Mak Zu tetap berkata: “aku tak boleh bercakap.” Waktu senja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53 serta kemerahan senjanya yang semakin pudar di ufuk langit menandakan waktu Maghrib bakal berlabuh dengan waktu Isyak, seakan-akan sangsi dengan suasana ketika itu. Detik-detik itu sangsi dengan hamba Allah yang bakal melintasi sempadan kehidupan dengan kematian tanpa pasport iman yang asli. Seperti juga masa kini banyak kesangsian demi kesangsian dan korupsi demi korupsi dalam banyak sektor di dalam negara. Tengok sajalah … kad pengenalan disangsikan kerana kepalsuannya, lesen memandu disangsikan dengan kepalsuannya, duit disangsikan dengan kepalsuannya, alat solek disangsikan dengan kepalsuannya, ubat-ubatan pun palsu, makan minum dan macam-macam lagi di dalam kesangsian kepalsuannya. Sama juga masyarakat manusia kini juga dalam kesangsian diri sendiri, budaya, agama dan iman lebih-lebih lagi pada era dunia globalisasi tanpa batasan ini yang penuh dengan kepalsuan hidup seperti yang pernah dilalui dan dialami oleh usia muda Mak Zu dengan ‘kemerdekaan mayanya’ suatu ketika dulu. Mak Zu telah mengejar ‘kemerdekaan maya’ yang kini tidak memberi apa-apa makna kepada dirinya. Ke mana pergi ‘auranya’ yang tersohor suatu ketika dulu? kini tidak dapat membantu. Sama juga dengan remaja-remaja masa kini hilang jati diri, mahukan kebebasan dan ‘kemerdekaan maya’ seperti Mak Zu, jadi mat rempit atau minah rempit, kupu-kupu malam, tukang urut epal, urut sentuhan batin dan macam-macam lagi istilah yang berakhir dengan penyesalan tiada berkesudahan kerana maruah sudah tergadai. Tiada lagi ihsan diri, anak luar nikah dicampak di dalam tong sampah, dalam longkang dan di sana sini tanpa belas kasihan. Zina dan rogol bunuh berlaku saban hari, Apa nak jadi? Jahiliah? Iblis? Teguran Ustaz Hj Non dalam kuliah maghribnya di surau Taman Fairuz dalam mengulas fenomena membuang bayi masa kini. 

Malaikat Maut Menghampiri Jasad 

KEGELAPAN malam mengamit-gamit suasana hening yang memenuhi ruang tamu rumah teres Mak Zu bagaikan kegelapan bakal ditempuhi roh Mak Zu pada saat itu. Suasana ruang tamu rumah teres yang dibeli oleh Mak Zu dua puluh tahun yang lalu semakin hening bagaikan Malaikat Maut sedang menghampiri jasad Mak Zu yang semakin kaku dan kesejukan bagi batang pisang yang baru di tebang. Matanya kuyu separa celik merenung jauh bagaikan teringat pengalaman dan nostalgianya yang lalu … tapi sebenarnya tidak, renungan Mak Zu berhadapan saat getir kesudahan hidupnya yang palsu daripada ‘kemerdekan mayanya’. Macam juga cinta palsu anak muda masa kini hingga sanggup meninggalkan dan mengenepikan ibu bapa serta sanak saudara. Ada yang lari mengikut lelaki ke seberang, ke Lombok akhirnya menyesal tiada kesudahan. Ini semua gara-gara ‘kemerdekaan maya’ yang dikejar. Ada yang mengejar ‘kemerdekaan maya’ dengan menelan pil kuda, menghisap ganja, pil ecstacy, menghidu gam, menghidu tahi lembu dan lain-lain. Aduh! Apa nak jadi anak muda masa kini, macam Mak Zu ...!?. mengejar ‘kemerdekaan maya’ tanpa kesudahan dan hujung pangkal. Sanak-saudara Mak Zu dan kaum ibu yang bertudung nipis yang juga kawan-kawan Mak Zu suatu ketika dulu bercakap perlahan-perlahan sesama mereka tentang Mak Zu. Mereka tak baca Yasin atau ayat-ayat suci al-Quran mungkin tak tahu agaknya. Macam zaman sekarang ni, ramai di kalangan anak-anak muda dan sesetengah orang dewasa pun tidak pandai membaca al-Quran, tapi bila bab majlis khatam Quran merekalah yang paling sibuk. Kalau saudara terdekat meninggal, maka kelam kabut mencari Pak Imam, Pak Bilal dan jemaah surau untuk membaca al-Quran dan membaca surah Yasin. Itulah padahnya jika tidak mau mengaji al-Quran. Ada yang membayar upah mengaji empat puluh hari berturut-turut di atas kubur mencecah ribuan ringgit. Sesetengahnya pula berkata, apa nak dirisaukan sangat sekiranya berlaku kematian, telefon saja ‘wafat consultant’ iaitu pakej pengurusan jenazah A hingga Z dan siap duit semuanya beres. Apalah jahil sangat masyarakat masa kini bukan jahil tak tahu membaca al-Quran saja. tapi juga jahil dalam ilmu dan hal-ehwal agama. “Yang dok baca Quran atas kubur tu buat apa? Awat tak boleh baca kat rumah … pahala tak sampai ke?” ‘Tengok la ni mati pakai ‘wafat consultant’ keluh Ustaz Non ketika mengajar bab Aqidah di surau di Taman Fairuz. 
‘Kemerdekaan maya’ Yang Palsu 

“Lailahaillallah” Ustaz Hj Non terus mentalqinkan Mak Zu yang semakin hampir ajalnya. Mak Zu dengan nada yang lemah dan terkedu-kedu tetap dengan cetusan dari mulutnya, “ aku tak boleh bercakap” Ustaz HjNon menggeleng-geleng kehairanan dengan suasana dan keadaan di depan matanya sendiri. Ustaz Hj Non bingkas bangun dan mencari warisnya yang terdekat ingin bertanya sesuatu. Pak Dali sepupu Mak Zu tampil menghampiri Ustaz Hj Non dan mengajaknya ke ruang yang lain untuk berbicara. Ustaz Hj Non bertanya sesuatu kepada Pak Dali mengenai kisah-kisah silam Mak Zu sehingga susah baginya untuk melafazkan kalimah “lailahaillallah” walaupun beberapa kali diajar. “Mak Zu nama sebenarnya ialah Zuhaidah .…” Pak Dali memulakan ceritanya. “Ia seorang cantik dan rupawan pada usia remajanya dan pandai dalam masakan kampung, masak kari rempah giling, masak ikan darat dengan ubi kemili, masak kurma, masak nasi daging, maka ayam merah semuanya boleh serta berbakat pula dalam kesenian tambah pula suaranya merdu bagaikan buluh perindu. Bila ia melagukan bacaan Quran dalam majlis agama di kampungnya ramai orang kampung terpegun dengan kefasihan dan rentak lagu taranum bacaannya, yang memang tiada tandingan. Kalau ada Akademi al-Quran ketika itu sudah tentu dia memenangi anugerahnya. Ramai anak-anak muda kampung tergilakannya kerana segala-gala ada padanya. Ibu dan bapa Mak Zu begitu suka sekali di atas kebolehan dan anugerah rupa parasnya daripada Allah kepada anak mereka. Disebabkan pada usia remaja Mak Zu yang sebegitu dan dikagumi ramai menyebabkan ia suka kepada glamor dan publisiti. Ia mula berjinak-jinak dengan majalah sensasi, hiburan dan terdetik di hatinya menjadi seorang model dan penyanyi terkenal. Habis majalah-majalah hiburan dan sensasi menjadi tatapan Mak Zu ketika itu, meskipun perbuatan tidak disukai oleh arwah ayahnya, dan ibunya yang kini masih tinggal di kampung dalam usia yang menjangkau lapan puluhan tanpa diambil peduli oleh Mak Zu. Ibunya tersisih di kampung seorang diri bagaikan tiada waris. Macam juga hari ini sesetengah ibu disisihkan oleh anak-anak mereka di rumah kebajikan. Ibunya pernah beberapa kali menegur dan menasihatinya supaya lupakan saja glamor dan cita-cita keseniannya tetapi tak diendahkannya. Mak Zu juga telah melibatkan diri dengan kumpulan Ghazal Parti Zenkulana alunan irama Hindustan dan padang pasir, di kampungnya sebagai penyanyi utama. Alangkah seronok Mak Zu ketika itu kerana namanya semakin tersohor di kampung sekitarnya sebagai penyanyi pujaan ramai. Masa tu tidak ada AF3 dan AF4, kalau ada sudah tentu dia mendapat undian SMS tertinggi. Semasa menyanyi di pentas di rumah kenduri suara merdu Mak Zu memukau penonton kecil, tua dan muda di tambah pula dengan gelekan Man Jebong sebagai penari iringan. Dengan itu Ghazal Parti Zenkulana semakin tersohor dan Mak Zu semakin liar mengejar kegilaannya untuk mencari glamor selama ini. Hati Haji Zul ayah Mak Zu menjadi semakin sempit dengan dengan kelincahan Mak Zu yang melampaui batas. Berbuih mulutnya memberi kata-kata nasihat, tetapi tidak dihirau oleh Mak Zu yang bagaikan kerasukan syaitan dan iblis. Itupun Mak Zu tak minum air daun ketum, kalau tidak tentu lebih ligat lagi. “Zu! cukuplah dengan apa yang kau capai tuu … ingat Allah banyak-banyak, mengucap banyak-banyak,” nasihat Hj Zul pada anaknya. “Alaaah ayah ni sibuk laa … tak habis-habis membebel … kan menyanyi ni boleh dapat rezeki … Alhamdulillah nanti duit banyak boleh Zu hantar ayah ke Makkah bagi kali yang kedua,” balas Zu. “Astagfirullah al-Aziim”! terpancul dari mulut Hj Zul dengan kata-kata Mak Zu itu. “Biarlah aku tak ke Makkah lagi dengan duit haram kau tu ….” balas Hj Zul dengan tegas dan marah. Haji Zul naik berang dan dengan tidak semena-mena tangannya telah hinggap ke pipi Mak Zu yang putih gebu bertukar merah seperti merah jambu air yang ditanam oleh Hj Zul di belakang rumahnya. Mak Zu ketika itu terlolong kesakitan, tidak tertahan dengan kepedihan penampar Hj Zul bagaikan tergigit jeruk cili api muda yang selalu dimakannya bersama dengan bihun sup di kedai Pak Kadir di hujung kampungnya. Ibu Mak Zu datang memeluk badan Hj Zul bagi menenang dan meredakan kemarahannya yang bengang dengan kelakuan dan perangai anaknya Zu yang sudah melampau. “Kalau dia mengaji dan masuk musabaqah al-Quran tu tak apa … walaupun tak faham pengertiannya … aku tak larang tapi ni dok melalak dengan Ghazal Parti Zenkulana tak tentu hala … itu syaitan dan iblis namanya …,” rengus Hj Zul. Isterinya hanya diam dan tidak membalas sepatah kata pun sambil merenggangkan pelukannya. Dia tahu sifat Hj Zul yang dikahwininya 19 tahun yang lalu, yang dapat diredakan kemarahannya dengan pelukan yang erat, mesra dan sayang. Isteri Hj Zul tak pernah belajar ilmu psikologi di universiti pun pandai mententeramkan jiwa suaminya yang keberangan. Masa kini kebanyakan isteri dan suami yang pernah belajar psikologi pun, tak pandai nak tenteramkan jiwa suami atau isteri, masing-masing stres sebab itu pertelingkahan rumah tangga tak habis-habis terpapar di media cetak dan elektronik. Tendang isterilah! Curah cuka getahlah! Dan macam-macam lagi kerenah stres rumah tangga. Kebetulan pula isteri Hj Zul selalu menjadi sumber rujukan suri rumah dan orang-orang di kampungnya kerana kepandaiannya dalam ilmu rumah tangga dan sikap kesabarannya yang menggunung. 
Sejak dari peristiwa ditempeleng oleh Hj Zul, Mak Zu bertekad melarikan diri dari rumahnya bersama Man Jebong menuju ke Kuala Lumpur dengan hati yang pilu dan ngilu. Namun begitu demi mencari kepuasan nafsu dan ‘kemerdekaan maya’ semua itu terubat jiwanya. Ketika itu dirasakan dirinya ‘merdeka’ daripada segala-galanya tiada lagi pergantungan kepada sesiapa lagi, tapi itu sebenarnya ‘kemerdeka maya’. Mulai saat itu, Mak Zu dah tak kenal dosa dan noda, hidupnya hanyut di tengah-tengah sampah sarap kota yang penuh pancaroba, dosa dan noda bersama dengan ‘kemerdekaan maya’ yang dicarinya. Sejak dari itu juga ibu-bapanya sudah tiada di hatinya lagi kerana mengejar kepuasan yang di cari selama ini. Kegilaan seperti inilah berlaku kepada anak-anak remaja kita masa kini. Demi cinta monyet dan ‘kemerdekaan maya’ yang palsu, sanggup melarikan diri dengan teman lelaki. Bila perut dah terbojol baru menyesal diri sendiri. Anak dibuang sesuka hati. Tegas Pak Dali kepada Ustaz Hj Non. 

Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu 

“PAK Dali! ... Pak Dali!” suara memanggil namanya dan ia memberhentikan ceritanya pada Ustaz Hj Non. “Hah ada apa hal pulak,” bingkas pak Dali sambil meminta izin daripada Ustaz Hj Non bangun menuju kepada orang yang memanggil namanya di celah-celah orang ramai yang datang menziarah Mak Zu. Ustaz HjNon mengekorinya dari belakang masih lagi mencari jalan penyelesaian bagi penyudah kehidupan Mak Zu. Itulah sifat para ulama, kasih sesama insan tidak luput di hati. “Pak Dali …!, Mak Bedah dah sampai …! Mak Bedah adalah ibu Mak Zu yang baru tiba dari kampung terengsot-engsot berjalan dengan tongkat kerana kakinya bengkak terkena penyakit gout dan kencing manis, macam juga penyakit kronik yang dihadapi orang ramai hari ini seperti penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang, darah tinggi, sakit jantung, penyakit strok dan bermacam-macam lagi. Pak Dali membimbing tangan Mak Bedah menuju ke bilik di mana jasad Mak Zu sedang bertarung dengan kesakitan sakratul maut dan pautan syaitan laknatullah terhadap diri Mak Zu. Ustaz Hj Non berkata sesuatu kepada Mak Bedah sambil di angguk-angguk oleh Mak Bedah. Air matanya mengalir membasahi pipinya sambil berkata, “ibu masih sayangkan kau nak … meskipun engkau tak pedulikan ibu … ibu tahu engkau nakkan ‘kemerdekaan’ tapi kemerdekaanmu itu adalah ‘kemerdekaan palsu’ yang tak menjanjikan kebebasan sebenarnya kepadamu nak! Ibu ampunkan segala dosa-dosa mu nak! … agar rohmu merdeka dalam erti kata sebenarnya dan keimanan kepada Allah.” Ustaz HjNon terus berusaha mentalqinkan Mak Zu dengan kalimat penyelamat lailahailallah pasport ke Syurga. Inilah daya upayanya yang dapat di usahakan untuk memerdekakan Mak Zu daripada terus kekal di dalam Neraka Jahanam di akhirat kelak sekiranya mati tanpa kalimah iman, meskipun begitu ia akan melalui seksaan di dalam Neraka kerana ‘kemerdekaan mayanya yang palsu’ semasa hidup di dunia yang fana ini. Terkumat kamit dengan nada suara yang terketar-ketar keluar dari mulut Mak Zu menyebut ‘lailahaillallah’. 
Alhamdulillah! Bersyukur pada Allah tercetus dari mulut Ustaz Hj Non dan di ikuti oleh Pak Dali dan Pak Imam Hj Hashim. Mak Bedah kesedihan merebahkan mukanya ke pipi Mak Zu yang kini bagaikan batang pisang yang keras lagi sejuk, kini menuju ke alam Barzakh (kubur) yang tidak lagi mencari ‘kemerdekaan maya’ yang palsu. Detik masa untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 belum lagi berlalu, kini jasad Mak Zu terbujur kaku … di detiknya juga yang pilu lagi terharu kerana ‘kemerdekaan maya’ yang palsu tidak membantu. ‘Kemerdekaan maya’ yang diburu segenap penjuru rupanya palsu! Palsu! Palsu! Tiada membantu, kepada Allah jua kita menuju. Inna lillah wa inna alaihi rajiuun. 

Biodata: Dr Adnan Abd Rashid 
DILAHIRKAN pada 8 Mei 1959 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berjinak-jinak dalam dunia penulisan kreatif sebagai kegemaran masa lapang di samping menulis rencana ilmiah untuk jurnal dan prosiding persidangan. Cerpennya, Pak Ngah Pasca Merdeka, pernah disiarkan dalam Berita Minggu. Guru pelatih Maktab Perguruan Lembah Pantai Kuala Lumpur 79/80, kini berkhidmat sebagai Pensyarah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pakar Program Pendidikan di ISESCO, Rabat, Morocco 2010.

No comments: