Pages

Friday, October 22, 2010

Saudi beli senjata AS$60 bilion


WASHINGTON 21 Okt. - Amerika Syarikat (AS) mengumumkan perjanjian jualan senjata bernilai AS$60 bilion (RM186.9 bilion) dengan Arab Saudi, rekod penjualan terbesar sebagai sebahagian usaha untuk menyaingi Iran.
Pembantu Setiausaha untuk Hal Ehwal Politik-Tentera, Andrew Shapiro berkata, rancangan tersebut membabitkan penjualan 84 buah pesawat pejuang F-15, 70 helikopter tempur Apache, 72 helikopter taktikal Black Hawk dan 36 helikopter ringan.
Penjualan yang turut dilengkapi dengan naik taraf 70 buah pesawat F-15 terpakai, 'tidak akan melebihi jumlah AS$60 bilion', tambahnya ketika pentadbiran Presiden Barack Obama memaklumkan kepada Kongres berhubung rancangan tersebut.
Kongres mempunyai kuasa untuk melulus atau menangguh perjanjian itu dan menurut Saphiro, Israel dijangka tidak menentang penjualan senjata tersebut.
Penghantaran senjata ke Arab Saudi akan dibuat dalam tempoh antara 15 hingga 20 tahun.
"Ia akan memberi mesej tegas kepada negara-negara di rantau itu bahawa kami komited untuk membantu keselamatan rakan penting dan sekutu kami di Teluk Arab dan seluruh Asia Barat," ujar Saphiro.
Walaupun beliau menyatakan penjualan berkenaan 'tidak sepenuhnya berkaitan dengan Iran', Saphiro mengakui sebahagiannya adalah bertujuan membantu Arab Saudi mengatasi ancaman daripada republik Islam bukan Arab itu di Teluk.
Pegawai pertahanan AS berkata, perjanjian itu telah diusahakan sejak beberapa bulan lalu berikutan Arab Saudi, yang semakin bimbang dengan peluru-peluru berpandu milik Iran.
Seorang pegawai kanan pertahanan memberitahu pemberita bulan lalu, 'jika kamu melihat kepada kerajaan (Arab Saudi), ancaman besar yang dihadapi mereka di rantau itu datang dari Iran'.
Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, pakej persenjataan tersebut 'memberikan keupayaan pertahanan untuk mempertahankan negara serta kemampuan pencegahan'.
Pakej pertahanan itu turut menyenaraikan beribu-ribu bom pintar berpandukan laser termasuk peluru berpandu JDAMS, Hellfire dan Sidewinder. - AFP

No comments: